Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, September 18

Ujian Karisma


Antara dugaan paling besar bagi individu berkarisma adalah pengikut atau peminatnya sendiri. Pemujaan dan pengagungan berlebihan menjadikan mereka takjub dengan diri sendiri, lalai, melanggap norma dan akhirnya jatuh secara perlahan-lahan atau tumbang sekelip mata.

Suatu ketika dulu, melalui internet, saya menemukan ceramah dan penulisan yang saya kira bernas daripada seorang pemimpin pesantren di negara jiran. Bahasanya tidak terlalu tinggi dan mudah difahami oleh semua golongan masyarakat. Namanya menjadi sebutan ramai dan sering menjadi fokus media di sana. Pada tahun 2005, saya dan teman-teman berkesempatan ke sana sebagai sebahagian daripada pengisian aktiviti seminar. Setibanya di sana, kami mendapati suasana pesantren yang penuh sesak dengan lautan manusia bagaikan orang mengerjakan umrah. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang khusus menjual pakaian dan peralatan solat keluaran pesantren tersebut. Selepas selesai menyampaikan ceramah, hadirin terutamanya kaum ibu sanggup beratur panjang sehingga melebihi 100 meter untuk menunggu giliran bergambar bersamanya dan isteri. Timbul kerisauan di hati kami melihat situasi ini.

Dua tahun kemudian, apa yang kami bimbangi benar-benar terjadi. Dia mula melakukan kesilapan-kesilapan kecil dan diikuti kesilapan yang besar. Kredibilitinya merudum, pandangannya kurang didengari dan pondoknya mulai kosong.

Situasi yang hampir sama seperti ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Hanya individu yang berilmu, bertaqwa, bijaksana, sentiasa berhati-hati dan ikhlas sahaja yang dapat melepasi dugaan ini dengan baik. Namun, situasi yang lebih membimbangkan adalah apabila pengikut terlalu taksub kepada tokoh dan tidak bertindak untuk memperbetulkan kesilapannya. Harus diingat, mereka ini bukan nabi. Oleh itu, mereka bukanlah maksum dan berpotensi melakukan kesilapan. Kesilapan ini perlu segera diperbetulkan supaya mereka ini terus dapat berfungsi dalam masyarakat dengan baik dan bukannya merosakkan masyarakat.

Justeru, jika benar-benar sayangkan tokoh kerana Allah janganlah terlalu memujanya tetapi cukuplah dengan menghormatinya, membantunya dan berdoalah agar Allah memelihara kesejahteraan dirinya daripada serigala-serigala buas yang sentiasa berkerumun mengelilinginya.

No comments: