Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, October 24

Murung Cabang Penyakit




Oleh Rosmaliana Aida Mohd



SESIAPA saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa malah kanak-kanak seawal usia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa. Bagaimanapun, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi daripada lelaki kerana mereka lebih bersikap tanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara mendalam.


Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, berkata pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang keyakinan diri, berasa rendah diri serta hidup dalam dunia mereka sendiri.Menurutnya, jika tidak dirawat segera penghidap masalah kemurungan akan berasa dunia mereka seolah-olah tamat di situ saja dan ini menyebabkan banyak kejadian bunuh diri berlaku.


"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan rawatan pakar selain ubat-ubatan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku".


"Ini disebabkan kemurungan bukan kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak yang memerlukan rawatan perubatan dengan segera," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.Antara sebab wanita lebih kerap berdepan dengan kemurungan ialah perubahan peringkat hormon yang dialami sepanjang hidup mereka terutama selepas mengalami haid, hamil, selepas bersalin, pramenopaus dan putus haid. Hormon dalam badan akan berubah sepanjang tempoh kehidupan dan wanita paling banyak mengalaminya. Ia sedikit sebanyak memberi banyak tekanan dalam kehidupan seharian mereka.


Selain itu katanya, tekanan atau stres melampau juga boleh mendorong ke arah kelainan ini. Kadangkala kemurungan boleh berlaku walaupun kehidupan individu berkenaan sihat dan normal. Antara penyebab tekanan termasuklah penat dalam usaha untuk mengimbangkan antara tugasan di rumah dan tempat kerja, mempunyai pekerjaan yang berat dan membebankan, status ibu atau bapa tunggal, masalah kewangan serta perceraian ataupun kematian pasangan hidup."Oleh itu, keseimbangan dalam melakukan kerja harian amat perlu untuk mengelakkan tekanan dihadapi dan lakukan perkara itu setakat termampu. Jangan memaksa diri melakukan perkara di luar kemampuan diri," katanya.


Namun begitu katanya, penyakit kemurungan juga boleh diwarisi sekiranya ada sejarah kemurungan dalam keluarga."Bagaimanapun sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat serta tidak terlalu bercita-cita tinggi hingga sukar digapai dan menyebabkan kekecewaan, maka ia satu cara hidup yang ringkas tanpa sebarang bebanan," katanya.


Malah ramai beranggapan seseorang itu gila jika berjumpa pakar psikiatri walaupun sebenarnya banyak masalah mental yang tidak ada kaitan dengan gila dan tidak kurang juga yang menganggap kemurungan sebagai masalah biasa. Menurutnya, faktor kemurungan boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti kematian anggota keluarga, putus kasih, perceraian, krisis ekonomi dan bebanan di tempat kerja serta akibat penyakit kronik.


Biasanya pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang minat terhadap perkara yang menggembirakannya. Mereka juga berasa tidak fokus, mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur dan kurang memberi tumpuan terhadap kerja.


Dianggarkan terdapat 300 jenis penyakit tergolong dalam penyakit psikologi dan kemurungan adalah satu cabang daripada penyakit jiwa. Penyakit kemurungan boleh memberi kesan kepada tubuh badan dan kehidupan sosial penghidapnya kerana ia satu penyakit yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keresahan dan kegelisahan secara berterusan tanpa sebarang sebab munasabah.Malah jika tidak ditangani secara rasional, masalah kemurungan ini boleh melarat kepada perkara lebih buruk hingga menjejaskan kesihatan diri individu itu sendiri.Ia sebenarnya penyakit keempat di dunia yang paling berpotensi menyebabkan ketidakupayaan individu dari segi sosial kerana kebanyakan daripada penghidap masalah ini lebih gemar menyendiri tanpa bergaul dengan sesiapa.


Simptom kemurungan:


Kesedihan atau 'kekosongan' perasaan yang berpanjangan.
Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
Mudah berputus asa.
Perasaan bersalah dan tidak berguna.
Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
Berperasaan lebih baik mati, kadangkala disertai dengan cubaan bunuh diri.
Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan.



Antara tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan masalah kemurungan:
Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur serta mengambil pemakanan seimbang.
Dapatkan tidur mencukupi kerana tidur adalah elemen rehat paling penting untuk tubuh serta minda supaya dapat kembali bertenaga secara fizikal dan mental keesokan harinya.
Elak bersendirian serta luangkan masa bersama keluarga.


Nota:

1. Ambilan dari Harian Metro

2. La tahzan, damaikan hati dan cemerlangkan diri dengan sabar dan doa yang tiada putusnya.

3. Belajar seni menceriakan diri dan orang lain.

4. Sebaiknya elakkan pergantungan kepada ubat penenang kerana ianya boleh memberikan kesan sampingan.

5. Amalkan sifat optimis dan positif (baik sangka)

6. Lingkungi diri dengan individu dan persekitaran yang positif, ceria dan menenangkan

7. Amalkan gaya hidup seimbang. Ikuti setiap usaha dengan tawakal dan redha.




No comments: