Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, October 1

Antara Puji dan Keji



"Orang kita cepat sangat mengutuk... kedekut dengan pujian". Itu antara isu yang ditimbulkan oleh Pn Mahmudah Sulam dalam pembentangannya di kelas kelmarin. Ya, mungkin ada benarnya.


Berapa ramai antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada ibu kita setiap kali kita menikmati hidangannya yang suci, lazat dan berkhasiat?


Berapa ramai di antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas dan teksi yang telah memandu dengan berhemah ke lokasi yang di tuju?


Berapa ramai di antara kita yang pernah menghadiahkan cenderahati kepada doktor dan petugas-petugas kesihatan yang telah merawat kita dengan baik?


Berapa ramai di antara kita yang mengisi borang kepuasan pelanggan untuk menghargai kakitangan tertentu yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam sesebuah organisasi?


Berapa ramai pula yang menghargai kebaikan anak-anak kecil serta memberi pujian yang mampu merangsang pertumbuhan sosio-psikologi mereka?


Berapa ramai antara kita yang menghargai dan memuji sumbangan dan pencapaian pasangan, ahli keluarga, rakan-rakan, kakitangan dan anggota masyarakat sebagai motivasi untuk membakar semangat mereka agar terus cemerlang dan menjadi sebaik-baik manusia?


Mahal sangatkah ucapan terima kasih, pujian dan penghargaan yang membina atau sekurang-kurangnya- sebuah senyuman yang tulus?


Bukankah pujian yang benar dan penghargaan yang munasabah (bukan ada udang di sebalik batu) adalah sebahagian daripada amar maaruf yang perlu disuburkan dalam masyarakat?


Bukankah kutukan yang tidak berasas dan teguran yang dilakukan secara tidak berhemah akan melahirkan bangsa yang lemah, pendendam, pemarah dan penuh hasad dengki?


Bukankah pujian itu tanda kesyukuran kita kepada Allah yang telah mengizinkan manusia melakukan kebaikan?


Dan, yang lebih penting lagi, berapa ramai di antara kita yang sentiasa berterima kasih kepada Allah atas rahmat dan kurniaan-Nya yang melimpah ruah? Dan, adakah 'kekedekutan' ini manifestasi dari pergolakan jiwa kita dalam hubungan menegak dengan Allah?



No comments: