Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, June 24

Menangani Stres dengan Mengemas



Stres? Tak tahu apa nak buat? Apakata 'main kemas-kemas' (mengemas)! Mengemas apa saja - dari sekecil-kecil barang sehingga ke sebesar-besar ruang. Bergantung kepada masa yang ada. Anda boleh memilih untuk mengemas dompet, beg, dash-board kereta, laci, meja, almari, peti sejuk, bilik, balkoni, ruang tamu, laman atau mana-mana ruang yang anda suka. Mudah saja, keluarkan 'harta karun' yang tidak perlu (sampah sarap, kertas terpakai atau apa saja yang tidak sepatutnya berada di situ seperti sudu dalam almari pakaian atau buku di atas mesin basuh). Jika perlu, alih/keluarkan barang yang ada, bersihkan 'secukup rasa' (sehingga berpuas hati) dan susun semula dengan menarik. Jika suka, ubah gaya susunan dan semburkan dengan pewangi. Serikan dengan 'sesuatu' yang menarik seperti bunga segar dan sebagainya. Atau, lari dari kebiasaan dengan menggabung-jalin rempah ratus, sayuran-sayuran, buah-buahan, alatulis, pinggan mangkuk dan bahan-bahan terpakai sebagai hiasan.


Mengemas sememangnya aktiviti yang mengasyikkan. Terkadang membuat kita lupa untuk makan. Apatahlagi apabila yang dikemas itu almari buku, majalah, surat khabar dan koleksi keratan akhbar dan majalah. Terlihat tajuk menarik terus ralit membaca sehingga tidak perasan masa berlalu. Mujur saja ada kewajipan solat sebagai penanda waktu. Jika anda 'spesies' manusia sebegitu, yang pantang berjumpa buku, sebaiknya pasang jam loceng supaya tidak 'terbabas' masa dan sediakan juga kudapan yang lazat lagi berkhasiat.


Elakkan mengemas banyak ruang sekaligus kecuali anda punya banyak masa atau melakukannya secara berkumpulan supaya tidak terlalu penat dan berserabut. Lakukan berdikit-dikit. Senyum... kemas dengan riang sambil mendengar muzik /rancangan yang ceria. Ya... lakukan dengan tulus dan riang hati agar ianya bukan saja membantu meredakan stres, memperoleh ruang yang bersih, selesa dan harum, menjana idea yang lebih bernas... malah juga memenuhi tuntutan menjaga kebersihan yang merupakan sebahagian dari iman.


Selamat mengemas ! :)


No comments: