Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, May 13

Setelah 51 Tahun Merdeka



Tragedi berdarah 13 Mei 1969 masih berbekas. Rusuhan kaum yang berpunca dari jurang ekonomi antara kaum yang terlalu jauh sewajarnya menjadi peringatan yang mendalam kepada generasi hari ini. Dalam era globalisasi, jurang ekonomi bukan lagi masalah utama yang bakal menggugat kestabilan negara. Sebaliknya, perhatian kini tertumpu terhadap krisis kepimpinan, integriti dan percaturan politik mutakhir.


Seorang teman berkata, rakyat yang ‘korup’ akan memilih pemimpin yang juga ‘korup’. Dengan itu, wajarkah sistem demokrasi dipersalahkan dalam krisis kepimpinan hari ini? Atau sebenarnya rakyat sudah terlalu bijak dan terlalu berani menanggung apa jua risiko sehingga mencetuskan pelbagai polemik yang tidak terduga? Justeru, apakah kini kita perlu kembali kepada sistem monarki secara total agar tidak berlaku perebutan kuasa antara rakyat jelata? Jika ini berlaku, bagaimana pula untuk menjamin peristiwa ‘Sultan Mahmud mangkat dijulang’ atau perebutan kuasa antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah setelah kemangkatan Raja Ali di Perak tidak berulang kembali dalam lipatan sejarah tanah air. Atau kita mungkin memerlukan sistem demokrasi terpimpin atau satu badan syura yang benar-benar berkredibiliti, telus dan adil untuk memilih dan melatih pemimpin di peringkat nasional? Sebuah badan yang berupaya memastikan setiap calon yang bertanding bukan sahaja berupaya menerajui negara tetapi juga seorang negarawan tulen yang memiliki semangat patriotism, integriti dan daya juang yang tinggi walau dari parti mana sekalipun mereka berasal. Jika ya, siapa pula yang benar-benar layak dan berwibawa untuk menerajui dan mewakili badan tersebut dan berapa ramaikah pula bilangan pemimpin sedia ada yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan sama ada dari barisan kerajaan mahupun pembangkang?

No comments: