Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, May 12

Kembara Lebah



Masa pantas berlalu. Meninggalkan sesiapa saja tanpa sebarang bicara. Selamat terbang ke Sweden kepada Cik Norjana Saim yang bakal mengikuti program ijazah kedoktoran dalam bidang Kerja Sosial di University of Umea. Semoga dipermudahkan segala urusan,diperteguhkan jiwa, dipertajamkan akal, dikurniakan kesihatan… rezeki dan rahmat yang melimpah ruah dan selamat dari mara bahaya. Selamat bertemu guru-guru yang bijaksana dan teman-teman baru yang baik lagi bijak bistari. Istimewanya di Sweden, tiada sebarang yuran pengajian dikenakan seperti juga di Jerman. Bagaimanapun, menurut sumber yang boleh dipercayai, yuran pengajian akan mula diperkenalkan pada tahun hadapan.


Pastinya tika dan saat ini, ramai teman-teman yang sedang bertebaran ke serata benua bagai sang lebah yang gigih mengumpulkan madu dari taman-taman ilmu. Sampai masanya, dengan izin Yang Esa, lebah kan kembali jua ke sarang. Selamat kembali dan menabur budi. Kepada yang masih berhempas-pulas di medan ilmu, selamat berjuang. Jihad kita bukan hanya mengangkat senjata tetapi juga membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu kejahilan, kemunduran dan kebinasaan. Jihad kita merangkumi segala jurus dan lapangan kehidupan. Dan untuk itu, ia bermula dengan jihad membangun diri sendiri. Diikuti keluarga, masyarakat dan negara. Kita tak akan pernah sempurna dan kerana itu kita perlu saling mengingatkan, bertolong-tolongan pada jalan taqwa dan kebaikan jua saling memperteguh bagai satu bangunan.


Nanti, sampai masanya kita kan pulang jua ke negeri abadi. Semoga pulangnya kita nanti disambut dengan senyuman jua sebaik-baik keindahan – yang tak pernah terdengar dek telinga, tak pernah terlihat dek mata dan tak pernah terjangkau dek akal. Sebuah kerajaan agung – hadiah yang penuh kesempurnaan, hakcipta terpelihara … milik Tuhan, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna (bukan 'kerajaan langit' milik Ayah Pin) buat hamba_Nya yang tulus setelah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan 'Ujian Penilaian Realiti Kehidupan' (UPRK).


No comments: