Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, February 24

Globalisasi dan Peradaban Insan


Globalisasi menjadikan dunia terlalu kecil. Bagaimanapun, arus globalisasi tidak perlu digeruni mahupun dimusuhi. Bahkan, jika ditimbang dengan teliti, globalisasi adalah antara wahana terbaik untuk mengingatkan insan (si pelupa) untuk kembali kepada fitrahnya - keindahan akal budi dan ketaqwaan yang tiada berbelah bagi.

Persoalannya, bagaimana?

Islam dan Globalisasi


Globalisasi bukanlah asing bagi dunia Islam. Konsep 'single society' menurut Dr Ismail Ibrahim, sudah lama dijelmakan dalam konsep 'ukhuwah':


"Orang-orang mukmin itu bersaudara, sebab itu damaikanlah antara dua saudaramu, dan takutlah kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat". (Al-Hujurat, 10).


Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil a'lamin). Risalah Islam bukan sahaja untuk kesejahteraan semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama, bahkan jua untuk seluruh kejadian - semesta alam.


Manusia asalnya satu - Adam dan Hawa. Kemudian, manusia berkembang dan bertebaran di seluruh benua lalu membentuk pelbagai koloni yang tersendiri lagi unik di antara satu sama lain. Tiada suatu pun penciptaan Tuhan yang bersifat sia-sia. Kepelbagaian menjadikan setiap individu dan kelompok memiliki kekuatan dan ciri-ciri yang unik dan berbeza. Praktik 'konsep kekenalan atau litaarafu' membolehkan manusia saling belajar dan menambahkan lagi kekuatan sedia ada serta berlumba-lumba untuk menjadi 'sebaik-baik manusia' di sisi Allah dan rasul-Nya.

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah, ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya. (Al-Hujurat, 13).

Jelas sekali, sifat taksub yang keterlaluan atau sebaliknya kebencian kepada satu-satu bangsa atau kelompok tertentu tanpa nas yang kukuh pastinya tidak lagi relevan, bertentangan dengan konsep 'ukhuwah' dan amat merugikan.




Globalisasi dan Agenda Pembangunan Insan

Proses globalisasi menjadikan peradaban manusia bercampur baur dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Budaya dan trend terbaru tersebar pantas selaju cahaya. Maklumat dan penemuan terkini mudah dicapai di mana-mana. Sesiapa jua bebas menyebarkan ilmu dan membahaskannya secara terbuka.

K
Berbalik kepada persoalan di atas, kesempatan yang ada sewajarnya digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan manusia pada landasan yang benar. Seluruh mekanisme yang ada (pendidikan, jentera pelaksana, perundangan, diplomatik, ketenteraan, politik, ekonomi dan keusahawanan, internet, media massa, sains dan teknologi, penulisan berimpak tinggi, kartun, filem, muzik, sastera, psikologi, institusi keluarga, institusi masyarakat, persatuan dan pelbagai lagi) perlu digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya secara terancang dan sistematik.

Nilai akidah yang benar dan nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam apa jua ruang dan kesempatan yang ada. Ini bermakna, umat Islam perlu menjadi 'pemain utama' globalisasi dan bukannya sekadar menerima atau sekadar menjadi pemerhati. Kita memerlukan pasukan "pemain utama' yang berilmu, strategis, bijak mengambil kesempatan, memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu kelompok secara terperinci, proaktif, optimis, kreatif, inovatif, terbuka, dinamik, ikhlas, memiliki akhlak yang terpuji, sentiasa berhikmah dan peka dengan perubahan.

Dalam era globalisasi, digital dan robotik, tuntutan amar maaruf nahi mungkar perlu dilaksanakan menggunakan pendekatan yang relevan dengan perubahan zaman dan waqe' semasa. Ini bersesuaian dengan inspirasi 'ummatan wasatan' dan 'khaira ummah' yang bukan sahaja bertaqwa, malah bijaksana dalam menerajui perubahan yang membawa kepada kesejahteraan sejagat dan pembangunan peradaban insan yang terpuji lagi dirahmati.

No comments: