Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, November 4

Membangun Insan Murabbi II


Mencari Murabbi dalam era globalisasi yang mencabar ini bagai mencari nombor bertuah dalam balang kaca. Ada tapi sukar dicari. Hanya insan bertuah saja yang menemuinya. Walhal, keperluan insan Murabbi sangat kritikal dalam melahirkan generasi yang bijaksana dan trampil serba-serbi.

Murabbi bukan sekadar berpengetahuan luas malah berbudi pekerti mulia. Murabbi bukan sekadar mendidik dengan lidah dan penulisannya, bahkan setiap gerak-diamnya menjadi sumber pembelajaran yang amat berguna dan berpengaruh dalam kehidupan anak didiknya. Nabi kesayangan umat, Rasulullah SAW sebagai contohnya, semasa hayatnya, baginda bukan sahaja manusia yang paling bertaqwa dan berilmu, malahan juga memberi suri tauladan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan. Baginda tidak sekadar bercakap atau berteori, sebaliknya menunjukkan tingkah yang sentiasa berhemah dan tindakan yang tepat dalam apa-apa jua situasi yang berlaku sama ada di rumah, di masjid, di pasar, di medan perang atau di mana saja. Tingkah baginda dalam kehidupan seharian menjadi cerminan akan keindahan dan keagungan ajaran wahyu dan al-Quran yang telah bersebati dengan diri baginda.

Keindahan peribadi Rasulullah pastinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Namun, ia seharusnya memberi aspirasi yang tinggi kepada sistem pendidikan hari ini dalam menangani kemelut gejala sosial, keruntuhan akhlak, kemalasan, penyelewengan kuasa, kerosakan akidah dan pelbagai lagi penyakit masyarakat masakini.

Rasulullah adalah Murabbi pada zamannya. Begitu juga para sahabatnya. Masing-masing memiliki iman yang sangat tinggi mutunya, berpengetahuan luas dan berakhlak mulia. Ilmu menjadi budaya dan gaya hidup bernilai tinggi menjadi identiti zamannya.

Hari ini, masyarakat ketandusan Murabbi sebagai contoh tauladan yang hidup. Globalisasi dan kepesatan media massa membolehkan masyarakat mengenali aneka ragam role model dan akhirnya keliru dalam memilih idola. Hari ini pula, sebilangan masyarakat berlumba-lumba menjadi selebriti dan watak-watak tersohor dalam bidangnya tanpa terlebih dahulu menyediakan diri untuk menjadi role model apatah lagi Murabbi yang baik. Sebaliknya, kesempatan yang ada digunakan untuk mempengaruhi masyarakat memuja hedonisme , materialisme, 'mengganas' dan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat. Situasi ini menjadi lebih gawat apabila ibu bapa, keluarga, jiran-jiran dan rakan sebaya juga tidak dapat menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk diikuti.

Justeru, melahirkan insan Murabbi seharusnya menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan hari ini bagi menangani pengaruh-pengaruh negatif yang berleluasa. Persoalannya, di manakah kita mahu bermula? Barisan kepimpinan tertinggi negara, golongan profesional, tokoh-tokoh prolifik, usahawan, seniman, selebriti, ibu bapa atau anak-anak yang baru saja dilahirkan ke dunia?

No comments: