”Tak naklah mati bila dah tua. Nanti banyak dosa”.
Tidak lama kemudian, Aiman diserang batuk. Ia kemudiannya menjadi asbab paru-parunya diserang jangkitan kuman, koma dan meninggal dunia.
Ibunya pasrah dan sudah bersedia untuk kehilangannya namun tidak ayahnya. Mimpi berturutan melihat cahaya keluar dan masuk semula ke dalam jasad arwah disangkanya petanda si anak akan pulih semula. Oleh yang demikian, kematian Aiman lebih mudah diterima si ibu berbanding si ayah.
Setiap hari kita berpotensi untuk mati atau menerima berita kematian orang lain. Benar... kematian insan yang signifikan dalam kehidupan kita bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, redha atau tidak redha, realitinya mereka sudah tiada di dunia ini. Apapun, hubungan kita dengan arwah tidak terputus. Saat ini, doa anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang ditebarkan semasa hayatnya akan terus-terusan memberi manfaat kepada arwah meskipun jasadnya sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru, benarlah pendapat orang yang bijaksana, kumpullah harta yang kekal abadi untuk bekalan hidup di kemudian hari (alam akhirat yang kekal abadi).
Biarkan mereka beristirehat di sana. Bersemadi dengan tenang di alam barzakh. Saya selalu percaya, setiap individu adalah khalifah. Setiap khalifah diberikan amanah dan tugasan tertentu dalam jangka masa tertentu. Apabila jangka masa tersebut tamat, manusia akan kembali kepada penciptanya. Ini bermakna, setiap kematian insan menandakan beban tugasan kekhalifahan mereka di dunia ini sudah berakhir dan disambung oleh insan lain yang masih lagi hidup atau bakal dilahirkan sehingga ke hari kiamat.
Kehidupan dunia ini tiada yang abadi. Hargai setiap insan yang masih hidup dan berada disekeliling kita namun dalam masa yang sama sentiasa bersedia untuk dipisahkan pada bila-bila masa sahaja. Akhirnya kita menyedari, yang kekal untuk dijadikan sandaran dan harapan hanyalah Allah. Ini penting supaya kita mudah sembuh (coping skill), tidak mengalami kemurungan terlalu lama, tenang dan dapat menguruskan diri dan persekitaran dengan baik kerana kehidupan di dunia ini sentiasa penuh dengan kemungkinan dan perkara yang adakalanya tidak terduga.
No comments:
Post a Comment