Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Monday, September 15

Membangun Insan Murabbi I


Hari ini kita memiliki ribuan guru tadika, guru sekolah, fasilitator, tutor, pembimbing, penceramah, jurulatih, mentor, pakar motivasi, pendakwah dan ahli akademik. Mereka ini semua kita boleh golongkan sebagai guru berasaskan tugasan mereka menyampaikan ilmu. Persoalannya, berapa ramaikah dari kalangan mereka ini yang memiliki kualiti murabbi?

Murabbi adalah individu yang bukan sahaja berilmu dan bijaksana, malah bertaqwa, baik dan berbudi pekerti mulia. Justeru, murabbi mempunyai dua kriteria penting : berilmu dan berakhlak mulia. Peranan guru dalam pendidikan bukan sekadar mengajar ilmu yang bersifat teoritikal (theoritical knowledge) tetapi juga ilmu yang bersifat personal (personal knowledge). Ilmu teoritikal bersifat universal, berulang dan boleh dijelaskan sepenuhnya melalui bahasa sama ada bertulis atau pun melalui pertuturan. Ianya merangkumi mata pelajaran atau subjek yang disampaikan oleh guru sama ada ilmu wahyu, sastera, pendidikan, sains sosial mahupun sains tulen. Ilmu personal pula bersifat sebaliknya. Ianya berhubung dengan pengalaman yang spesifik, tidak berulang dan tidak dapat diajar sepenuhnya melalui penulisan dan pertuturan. Dalam ertikata mudah, ilmu teoritikal adalah subjek yang diajar oleh guru dan ilmu personal adalah gaya hidup guru yang bersebati dengan nilai-nilai mulia pada setiap waktu dan ketika.

Murabbi yang terbaik adalah Nabi Muhammad SAW. Sejarah menyaksikan, tiada suatu kitab pun yang diturunkan Allah tanpa murabbi. Dalam konteks ini, murabbi adalah para rasul yang diamanahkan Allah untuk menyampaikan wahyu_Nya kepada manusia. Sekadar perumpamaan, Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya boleh sahaja menurunkan al-Quran dalam bentuk ukiran-ukiran indah pada tugu-tugu emas yang muncul tiba-tiba dari perut bumi di Kota Mekah. Ianya tentulah fenomena yang mengujakan masyarakat Arab jahiliah waktu itu. Namun, pasti ada agenda besar mengapa Allah Yang Maha Bijaksana mengutus Nabi Muhammad SAW, anak yatim piatu lagi miskin itu untuk bersusah-payah menyampaikan risalah-Nya.



uuu

*Diubahsuai dari nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam Dr Yedullah Kazmi, The Notion of Murabbi: An Islamic Critique of Trends in Contemporary Education.



No comments: