Kehidupan sentiasa dikelilingi oleh maklumat. Kita hanya perlu memilih, mencari dan mencerna serta mencanainya dengan baik untuk dijadikan sebagai sumber ilmu. Pembelajaran tidak terhad kepada pembelajaran secara formal sahaja. Peluang untuk mempelajari perkara baru sentiasa terbuka di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, selagi kita berminat dan mengambil inisiatif untuk belajar.
Selagi manusia mahu membuka ruang fikirnya, manusia boleh belajar melalui 7 pancaideranya dengan beberapa kaedah mudah:
1. Mendengar, melihat dan memerhati
2. Membaca
3. Membuat eksperimen/mengkaji
4. Bertanya dan berbual
5. Merasai sendiri (pengalaman) termasuk mimpi
6. Memahami gerak hati
7. Belajar dan mengajar
Setiap manusia dan setiap kejadian di muka bumi ini mempunyai nilai pembelajaran. Contohnya, dengan memerhatikan sekumpulan semut bekerja, manusia dapat melihat sistem pengurusan, pembahagian tugas, nilai-nilai murni serta faktor fisiologi yang membolehkan semut terus bertahan di muka bumi. Dengan mengkaji struktur tubuh seekor burung, manusia memperoleh idea untuk mencipta kapal terbang. Melalui mimpi, manusia merasai pengalaman baru dan meneroka situasi yang belum pernah dilaluinya dalam dunia sebenar. Melalui pembacaan, manusia berinteraksi dengan penulis yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Dengan bertanya dan berbual, manusia mencungkil maklumat baru dan membuat pengesahan. Dengan belajar dan mengajar, manusia mempertajamkan kefahamannya dan mengenalpasti ruang-ruang kejahilan yang masih tersisa dan perlu diperbaiki.
Ini bermakna, selagi manusia membuka pintu akal dan hatinya, manusia akan sentiasa belajar dan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa kerana itu adalah fitrahnya. Pembelajaran pula tidak terhad kepada pembelajaran formal semata-mata. Justeru, ketinggian mutu keilmuan seseorang tidak hanya terletak kepada bilangan sijil dan ijazah yang dimilikinya, tetapi sumbangannya kepada agama, bangsa, negara, keluarga dan dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment