Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, April 18

Jin, Syaitan, Hantu & ...


Di Kota Mekah, Kak Serai meminta Ceri bertemu dengan Ustaz Malinja. Katanya, manalah tahu ada jin menghuni dalam tubuh Si Ceri.


"Kak Serai selalu nampak Ceri ni macam khayal saja. Ada jin kot. Alang-alang Ustaz Malinja ada di sini, baik Ceri jumpa dia. Buang apa-apa yang patut".

Dalam nada gurauan Ceri membalas:


"Yalah kot Kak Serai, saya memang selalu berada di alam lain".

Ceri tertawa suka. Hobinya yang suka berfikir, merenung dan bertafakur selama berada di kota suci Mekah dan Madinah itu rupanya disalahtafsirkan oleh Kak Serai.

Malam itu, Kak Serai, Ustaz Malinja dan Ustaz Mahsuri datang ke bilik penginapan Ceri, Ciku dan Cempedak.

Teruja Ceri dibuatnya. Manalah tahu memang benar ada jin bersarang ditubuhnya dan tiba-tiba suaranya yang manis-manis buah dan merdu itu bertukar menjadi garau dalam sekelip mata. Atau tiba-tiba dia boleh bertutur dalam Bahasa Perancis, Turki atau Urdu dengan lancar seperti air terjun.

Ceri, Ciku dan Cempedak akhirnya disahkan bebas dari unsur-unsur jin oleh Ustaz Malinja. Setelah mereka semua pulang, Ciku dan Ceri berbalas pandang sambil tersenyum sesama sendiri.

Ciku: Eh .. Ceri! Awak percaya ke dengan jin?

Ceri: Jin memang wujud. Mereka itu antara spesies yang terkenal dalam al-Quran. Kufurlah kalau saya tak percaya akan kewujudannya.

Ciku: Syaitan?

Ceri: Mestilah percaya. Syaitan sebangsa dengan jin. Suku-sakat Iblis yang telah bersumpah untuk memperdayakan anak cucu Adam sampai kiamat.

Ciku: Hantu?

Ceri: Hantu apa? Hantu bungkus, hantu pocong, hantu penanggal, hantu laut, hantu susu...

Ciku: Ops! Cukup-cukup... seriau saya dibuatnya...

Ceri: Hantu... jembalang... saka... semua tu 'repackaging' atau 'penjenamaan semula' jin dan syaitan. Jangan risau. Mereka makhluk Allah juga. Tidak mampu memudaratkan kita melainkan dengan izin-Nya jua.

Ciku: Sekarang penerbit filem kita berlumba-lumba menayangkan filem-filem seram. Makin menyeramkan makin mendapat pujian.

Ceri: Hm... bahaya tu! Cukuplah dengan apa yang ada. Tak payahlah memberi idea tambahan kepada jin dan syaitan untuk menakutkan manusia atau buah-buahan macam kita.

Ciku: Itulah. Masalahnya, sekarang ini masyarakat buah-buahan kita lebih takutkan jin, syaitan dan yang sewaktu dengannya berbanding Allah.

Ceri: Bahaya tu! Kita mesti buat sesuatu...

No comments: