Masa berlari. Meninggalkan manusia tanpa peduli. Kehidupan terus berubah. Zaman berganti zaman. Terasa bagai baru semalam baginda Rasulullah SAW berhijrah meninggalkan Kota Mekah yang dicintainya ke Yathrib. Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, mengadakan perjanjian Hudaibiah dan mentadbir bumi Madinah al- Munawarah bertunjang wahyu dan bersenjatakan kebijaksanaan baginda dan para sahabatnya yang mulia.
Ya, masa terus berputar... 7 kurun zaman keemasan Islam telah berlalu. 7 kurun zaman kejatuhan Islam juga sudah berlalu. Kini 7 kurun yang ketiga mula bertapak kembali. Kurun yang digeruni oleh para musuh Islam yang sombong dan penuh kedengkian. Kurun kebangkitan semula umat Islam yang bakal menyaksikan kejutan demi kejutan.
Zaman ini zaman kebangkitan Islam. Siapa yang meninggalkannya pasti akan ketinggalan zaman. Terumbang-ambing dan terkapai-kapai kelemasan dipukul arus deras kehidupan. Siapa yang meninggikan syiarnya pasti akan ditinggikan. Siapa yang merendahkan syiarnya.. pasti akan jatuh bak kaca berderai.. terhempas ke batu lalu dihinakan. Sejarah dan kajian ilmiah terkini telah membuktikannya. Dan..hanya orang-orang yang bijaksana yang dapat mengambil iktibar dan pengajaran.
Kurun ini cabarannya jauh berbeza dengan kurun sebelumnya. Teknologi berkembang sepantas daya taakulan manusia. Dunia seakan terlalu kecil. Kutub Utara dan Selatan bagai dua kediaman yang berjiran. Maklumat tersebar lebih pantas dari roket yang menerjah ke angkasa raya. Pertembungan budaya berlaku di alam maya dan realiti. Nilai-nilai baik dan buruk bersimpang siur lagi mengelirukan bagai hujan peluru dan jet pejuang yang melatari bumi Palestina, Iraq dan Pakistan. Fitnah berleluasa... kawan dan lawan terkadang terlalu sukar untuk dibeza... hingga bukan sedikit yang terpedaya. Bumi juga seakan terlalu uzur.. menghantar isyarat demi isyarat untuk bersara buat selamanya yang terkadang menelan ratusan ribu korban dalam sekelip mata.
Maka benarlah pesan al-Hakim Yang Maha Sempurna: Demi masa! Manusia itu sentiasa di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang berpesan-pesan pada kebenaran. Dan yang berpesan-pesan pada kesabaran.
Moga tahun baru hijrah ini membawa seribu makna buat kita semua. Masa yang ada sudah terlalu singkat untuk dibiarkan percuma tanpa perancanagn yang bijak dan perlaksanaan amal soleh yang efisyen. Sikap individualistik, ego yang terlampau, ilmu yang cetek, tadbir urus yang lemah, pemikiran yang sempit, personaliti yang lemah, jiwa yang kotor, akhlak yang buruk dan sifat taksub yang berlebihan sudah tidak lagi relevan dalam era ini. Untuk berjaya dalam era ini, manusia perlu terbangun secara holistik dan seimbang agar tidak berlaku ketempangan di mana-mana. Dan.. untuk itu, kita harus sentiasa bersedia untuk berubah dan bersegera melakukan penambahbaikan... sepenuh jiwa dan raga.. dan tentunya - dengan penuh kebijaksanaan!
Salam Maal Hijrah... semoga hari ini sentiasa lebih baik dari semalam.
No comments:
Post a Comment