Sambungan kipas komputer riba berputar laju dengan cahaya biru. Mesej dari Mahsuri, isteri Ustaz Malinja bertubi datang. Marah dan sedih barangkali. Ceri membiarkan sahaja. Sabar menanti hati perempuan itu rasional semula.
"Kalau awak nak suami saya, ambillah... tapi pesan pada dia, lepaskan saya cara baik". Aik! Lain macam saja bunyinya. Ceri tersenyum kecil membaca rangkap terakhir sambil meneguk jus jambu batu di dalam gelas kristal perlahan-lahan. Terasa mahu saja jari nakalnya menaip - ok. Namun tak sampai di hati untuk memprovokasi.
"Usahlah dirisaukan. Puan lebih hebat dari saya untuk dicemburui. Kehidupan dunia ini terlalu singkat dan saya tak punya masa untuk itu... kerna saya sedang berlari, menyempurna segala misi sebelum ajal bertandang". Ceri menyusun kata. Menaip pantas dan menghantarnya segera ke ruang digital. Dia segera menyedari, tanpa iman, hati yang patah sering saja mengundang dendam dan kebencian.
Bacaan surah al-Fath yang merdu berkumandang dari masjid universiti. Mahsuri barangkali sudah tenang. Tiada lagi mesej penuh emosi menjengah PDA putih. Ceri tersenyum bahagia, mendoakan kesejahteraan mahligai Mahsuri dan Ustaz Malinja dari segala marabahaya. Di matanya, mereka model keluarga yang sempurna dan dia mahu mereka kekal begitu selamanya.
"Kenapa perempuan suka suami orang? Kesianlah pada kami yang masih bujang...". Entah kenapa, pesan Delima dalam nada mengusik tiba-tiba menjelma diingatan. Ceri tertawa sendirian sambil menyemak tarikh luput pasport antarabangsa berkulit merahnya. Malas sekali melayan gosip liar yang bertebaran. Disember ini dia mahu terbang ke Melbourne, Febuari ke Hong Kong, Mac ke Vienna manakala April ini ke Turki dan London untuk menghadiri persidangan. Kesemua artikel akademik yang tertunda dan sebuah cerpen di atas meja bercat hijau lembutnya segera disiapkan. Ya, dia tak punya masa untuk memeningkan kepalanya dengan soal hati dan perasaan yang terkadang merimaskan. Namun, dia juga perempuan. Dan hanya perempuan yang bijaksana dapat memahami hati perempuan... lalu mengemudinya dengan berhikmah pada jalan taqwa dan kemuliaan.
No comments:
Post a Comment