Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, August 28

Khabar Ramadan


Ramadan yang tenang.. insan beriman bahagia dalam ketaatan. Kelmarin, teman saya di Shah Alam memberitahu, bapanya sudah pulih dari wabak dan sudah kembali ke rumah. Alhamdulillah... terhentilah sudah tangisannya dan dapatlah teman saya itu bersahur dan berbuka puasa bersama bapanya lagi.

Buat teman-teman yang masih punya ibu dan bapa mahupun ibu dan bapa tiri dan ibu dan bapa mertua, hargailah setiap kesempatan yang ada untuk membahagiakan keduanya di dunia. Walau secengih dan seburuk manapun perilaku mereka, mereka tetap punya hak untuk dihormati dan dilayan dengan sebaiknya. Benar, tak semua orang dikurniakan ibu bapa yang baik dan bertanggungjawab. Beruntunglah sesiapa yang memiliki ibu bapa yang baik lagi bertingkah terpuji. Namun, usahlah bersedih andai perkara sebaliknya berlaku. Teguhkan diri dengan kesabaran dan munajat yang tiada putusnya disamping melayani kerenah mereka dengan bijaksana. Saya percaya, sebagai khalifah Allah, saudara berupaya untuk mengurus dan memperbetulkan kepincangan yang ada dengan penuh berhikmah.


Ramadan kareem yang menginsafkan. Seperti selalunya, Ramadan yang mulia ini turut membawa pulang insan-insan terpilih berpulang ke pangkuan ar-Rahman untuk selama-lamanya.

Semalam, negara kehilangan pakar ekonomi dan juga seorang senator yang sangat istimewa iaitu Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan dari China ke Singapura. Semoga rohnya berbahagia di kembara alam barzakh dan alam akhirat yang setia menanti. Al-Fatihah.


Semalam juga, ibu saudara saya yang ramah dan baik hati telah berpulang ke rahmatullah dalam usianya 90 tahun. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-fatihah.


Semakin usia bertambah, semakin banyak khabar suka dan duka singgah ke gegendang telinga. Sebagai insan beriman, kesemuanya diterima dengan penuh prihatin, tenang dan redha. Dalam melayari kehidupan, terkadang angin membawa kapal kita ke destinasi terpilih namun adakalanya angin yang sama juga bertukar menjadi taufan yang membinasakan. Persiapkan diri sebaiknya untuk mengharung badai yang melanda. Tak semua yang kita mahukan akan kita perolehi dan tak semua yang kita mahukan adalah baik untuk dunia dan akhirat kita. Apapun, berbahagialah dengan apa jua. Mudah-mudahan kehidupan kita di dunia ini sentiasa lebih baik berbanding sebelumnya dan semoga Allah mengizinkan kita menyempurnakan kehidupan kita itu dengan kesudahan yang sangat baik (husnul khatimah) pula. Amin ya rabbal a'lamin.


No comments: