Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, May 17

Segugus Cinta Seuntai Rindu


Ceri memandang ke langit biru dari sudut balkoni. Gugusan awan putih berarak tenang. Air teh limau panas di atas meja menebarkan aroma citrus yang menyenangkan. Diam tak diam, sudah setahun dia bersekolah di Gombak. Taman ilmu dan budi yang membuat akal dan nuraninya terus bersinar bak Kejora di langit tinggi. Guru-guru yang bijaksana, staf pentadbiran yang sentiasa berusaha untuk membantu dan mempermudahkan segala urusan serta rakan-rakan yang prihatin. Semua itu membuat jiwanya tambah damai. Namun usah tanyakan dia peta gombak apatahlagi lokasi Carefour, Giant atau Jaya Jusco. Dia cuma tahu jalan pulang ke Bangi atau menghala terus ke Utara merentas Lebuhraya Duke dan Lebuhraya Utara-Selatan.

Angin berhembus perlahan. Udara segar bertiup dari taman botani yang menghijau subur dan mawar yang tiada jemu mengudupkan senyuman merah jambu nan harum. Memori Ceri terus berlegar jauh. Mengenang buah-buah yang telah mendidik dan mengasuh keperibadiannya. Ayahnya yang pendiam dalam tegas, berani dalam tenang dan sesekali berlucu dalam hikmah. Ibunya yang lemah-lembut jua halus berseni dalam cekatan dan jitu falsafah dalam ramah. Mereka membuatkan dirinya jatuh cinta berkali-kali sampai kini. Jatuh cinta pada Rabbi. Kecintaan yang melimpahkan cinta pada ilmu, pada kebenaran... pada indahnya Islam, pada murninya iman jua pada luhurnya ihsan. Cinta yang menjadikan dirinya bijaksana menata kehidupan. Cinta yang membuat dirinya tekal tenang meski seluruh bima sakti hiruk-pikuk bergoncangan.

"Segala puji bagi-Mu duhai Rabbi... atas limpahan kurnia-Mu yang takkan mungkin dapat kami balas walau pada sezarah oksigen yang dihirup. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerna mengurniakan kami... guru-guru yang bestari dari saat roh kami ditiupkan hingga akhir nanti. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerana menitipkan kami keluarga yang bahagia, masyarakat yang terpelihara, sahabat-sahabat yang baik budi dan anak-anak didik yang penuh santun jua seluruh kejadian langit dan bumi... sebagai guru kami". Dalam sedar, bait-bait merdu beralun dari bibirnya yang sentiasa mewah dengan kalimah tayyibah. Air jernih berlinangan dalam syukur yang terlafazkan. Adi, si kunang-kunang kesayangan, terdiam kerinduan di birai balkoni... membilang-bilang nikmat tuhan dengan sayapnya yang comel.

No comments: