Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, April 15

Timur atau Barat?




Sesetengah orang berbangga punya teman ‘mat saleh’ atau ‘minah saleh’. Bagaimanapun, lain pula halnya dengan Fifi (bukan nama sebenar):


“Muka memang cantik… handsome.. kulit putih… tinggi.. tapi susah nak cari yang bersih. Kebanyakannya suka bertukar-tukar pasangan. Ngeri bila fikir balik”.


Meskipun tidak semuanya begitu, namun label tersebut seakan sudah sebati dengan masyarakat Barat. Bahkan, kalangan cendekiawan Barat sendiri melontarkan keresahan mereka terhadap isu ini. Kehamilan di luar nikah menjadi fenomena biasa dan tidak dilihat sebagai satu kesalahan. Bilangan pasangan yang bersekedudukan bertambah kepada 60% dalam masa sedekad. Dalam pada itu, semakin ramai pula yang memilih untuk hidup bersendirian ataupun menjalani kehidupan songsang bersama teman sejenis. Seorang teman yang berasal dari New Jersey pernah menyatakan:


“Barat sudah rosak dan kini masyarakat Timur mula mengikuti jejak yang rosak itu”.


Benar, situasi ini mula menular ke Malaysia dan negara-negara Timur. Di saat Barat mula memandang ke Timur untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi krisis nilai yang melingkarinya, masyarakat Timur menjadi ‘anak ketam’ yang kehilangan jati diri. Tidak semua yang berasal dari Barat bersifat negatif, bagaimanapun, perkara yang negatif itulah yang mudah menjadi ikutan kerena sesetengahnya beranggapan itulah definisi sebenar kemodenan. Dalam era globalisasi, tanpa jati diri dan daya tahan yang teguh, sebilangan kita akan mudah ‘hanyut’ tanpa mengira peringkat usia dan status. Situasi menjadi bertambah parah apabila budaya ini dihidup-suburkan dengan bantuan pasukan media elektronik dan media cetak yang tidak bertanggungjawab.


Seorang teman dari Timur Tengah memberitahu, dia memilih untuk tidak mempunyai teman lelaki kerana budaya di tempatnya beranggapan yang ia adalah tiket untuk berbuat apa saja. Di Malaysia, melihat muka depan Harian Metro, Mastika, Warta Perdana dan beberapa majalah tabloid saja sudah cukup untuk membuatkan sesetengah kita tidak jadi membelinya. Berita-berita sensasi yang dipaparkan menjadikan sesetengah media penulisan berwibawa hampir-hampir saja setara dengan majalah bertaraf picisan. Dalam pada kita cuba menidakkan situasi yang kian gawat ini, kajian-kajian akademik memperkukuhkan lagi bukti yang ada meskipun cuba dipertikai oleh sebilangan individu yang takut kedudukannya tergugat. Bilangan yang terlibat sememangnya hanya peratusan kecil dari warga Malaysia namun jika dibiarkan ianya bakal menjadi wabak yang sukar dibendung. Pastinya, kita tidak mahu warga Malaysia yang terkenal sebagai bangsa yang santun dan berbudi tingggi ini memiliki label-label yang ‘mengaibkan’.


Untuk itu, kita perlu kembali kepada agama dan budaya hidup tinggi yang telah kita warisi sejak berkurun lamanya. Dalam pada itu, semangat kekitaan atau jamaah dalam konteks yang luas perlu diterapkan. Dan, saya percaya, saat ini… kita perlu saling ‘menjaga tepi kain orang lain’ secara beradab di samping menjaga ‘tepi kain’ kita sendiri agar kita sama-sama terbangun dengan cemerlang, disegani lagi dirahmati.


No comments: