Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, March 5

Kajian PPSMI


KOMPETENSI GURU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK MENGGUNAKAN BAHASA INGGERIS SERTA IMPLIKASINYA TERHADAP PRESTASI KE ARAH PEMBANGUNAN MODAL INSAN MURID.



DIKEMUKAKAN OLEH:


Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA)


TUJUAN


Untuk menyampaikan dan membincangkan hasil dapatan dan kajian PEMBINA bersama-sama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknolgi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai “ Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Prestasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Murid”. Kajian ini meliputi 70 buah Sekolah Menengah dan 90 buah Sekolah Rendah meliputi seluruh Malaysia, dan 23000 murid.



Walau bagaimanapun disebabkan kajian ini belum lagi tamat seluruhnya, maka hanya sebahagian daripada dapatan kajian tersebut sahaja akan dibincangkan.



LATAR BELAKANG PELAKSANAAN PPSMI



Berikut disenaraikan urutan dan peristiwa bagaimana PPSMI diperkenalkan:



  • Pada 17 April 2002, Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkaji pelaksanaan PPSMI.

  • 6 Mei 2002, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesyorkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

  • 8 Mei 2002, Jemaah Menteri bersetuju Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

  • 10 Mei 2002, Majlis Tertinggi UMNO menyokong cadangan Jemaah Menteri.

  • 19 Julai 2002, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bersetuju Strategi dan Jadual Pelaksanaan PPSMI.

  • Julai 2002, Menteri Pendidikan mengumumkan dengan rasminya PPSMI akan digunakan mulai tahun 2003.


RASIONAL PELAKSANAAN PPSMI



  • Dasar ini digubal berasaskan hakikat bahawa Sains dan Matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam bahasa Inggeris.

  • Matlamat akhir dasar ini adalah membolehkan murid mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media supaya mereka mampu menguasai ilmu Sains – Matematik dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

  • Di samping itu untuk melahirkan generasi yang kukuh dalam penggunaan bahasa Inggeris. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 : Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM), dan Tinkatan 6 Mulai Tahun 2003. Kp (BS) 8591/Jld XVIII/(13), 27.11.2002).

  • Bahasa Inggeris dipelajari oleh murid selama 11 tahun, tetapi prestasinya masih belum memuaskan. Dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, maka diharapkan akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid.


STRATEGI DAN JADUAL PELAKSANAAN



  • 100%, Tahun 1, SK, SJKT dan SJKC bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

  • 100%, Tingkatan 1 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

  • 100%, bagi Tingkatan Enam Rendah untuk mata pelajaran Fizik, Biologi, Kimia, Matematik, Matematik T, Matematik Lanjutan T, dan Perkomputeran.

  • Peruntukan waktu bagi SJK, SJKT dan SJKC ditetapkan oleh kementerian. Walau bagaimanapun dari segi peruntukan waktu, didapati SJKC jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan SK dan SJKT kerana diberi peruntukan waktu yang lebih. Di samping itu mereka juga dapat memahami pengajaran dengan berkesan kerana diizinkan menggunakan bahasa Mandrin di samping bahasa Inggeris.


Pentaksiran



Mulai tahun 2003 hingga tahun 2007, semua peperiksaan awam mata pelajaran Sains dan Matematik akan disediakan dalam dwi-bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil (SJKT), dan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandrin (SJKC). Murid dibenarkan memilih untuk menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut dalam salah satu daripada dua bahasa atau kedua-dua bahasa.



  • Bagi Sekolah Menengah dan Tingkatan 6 , dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

  • Mulai tahun 2008 UPSR, bagi Sains dan Matematik soalan akan di sediakan di dalam Bahasa Inggeris sahaja (SK, SJKT dan SJKC).

  • Bagi mata pelajaran Sains dan mana-mana mata pelajaran lain yang berasaskan Sains dan Matematik di SM, akan disediakan dalam Bahasa Inggeris.

  • Walau bagaimanapun, pada tahun 2007, KPM mengumumkan bahawa soalan soalan peperiksaan masih akan diadakan di dalam 2 bahasa.


REAKSI MASYARAKAT


Pelaksanaan PPSMI secara tergesa-gesa ’ad hoc’ tanpa perancangan rapi menimbulkan berbagai-bagai reaksi masyarakat. Ada yang menyokong dan terdapat pula yang menentang. Antara isu-isu yang ditimbulkan ialah:


  • Bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1) yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dan Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan

  • Bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967: Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi telah diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) seperti berikut:


“Kechuali sa-bagaimana di-peruntokkan dalam Akta ini dan tertaklok kepada perlindongan2 yang terkandong dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubong dengan mana2 bahasa lain dan bahasa mana2 kaum lain dalam Malaysia, bahasa kebangsaan hendak-lah digunakan bagi maksud2 rasmi”.



  • Bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996: Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Pengantar Utama. Seksyen 17, Akta Pendidikan 199 menetapkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama seperti berikut:

(1) Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyn 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.



(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan adalah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi
pendidikan.



Peruntukan subseksyen 17(1) bermakna pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas hendaklah secara utamanya dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, kecuali bagi Sekolah Jenis Kebangsaan.


Pelaksanaan PPSMI akan menghilangkan identiti bangsa, kepatriotan dan kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa akhirnya akan lenyap peranannya. Istilah-istilah baru dalam bidang sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya tidak akan dibentuk lagi.



Pelaksanaan PPSMI akan melemahkan lagi pencapaian dan prestasi pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknologi. Malah matlamat KPM untuk mencapai hasrat nisbah pelajar aliran Sains dan Teknologi berbanding dengan aliran Sastera, dan iaitu 60:40 pada tahun
2010 akan gagal. Kesan negatif ini akan membawa secara kumulatif ke peringkat lebih tinggi seterusnya (peringkat sekolah menengah). Jika dibuat unjuran seterusnya, besar kemungkinan yang penawaran bilangan pelajar Matematik, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang cekap dan cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang-bidang Sains dan Teknologi, Kejuruteraan, Perubatan, Pertanian dan Perniagaan akan menurun, terutama di kalangan pelajar Melayu/Bumiputra (lebih-lebih lagi luar bandar dan pedalaman). Atau IPT akan terpaksa menyediakan kursus-kursus ’persediaan’ dan ’pemulihan’ kepada pelajar lulusan sekolah Menengah bagi menentukan asas pelajaran mereka mencukupi untuk mengikuti program-program pengajian di IPT ini. Ertinya PPSMI telah gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik dan Sains, terutama pelajar Melayu/ Bumiputra; dan gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Bahasa Inggeris pelajar rendah dan menengah. Kesan kumulatif jangka panjang ialah sebahagian besar (lebih 75%) pelajar Melayu/Bumiputra tidak akan menguasai secukupnya konsep ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains.



’They are weak in learning tools to learn Maths and Science’.


(Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ishak Haron, UPSI : Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah)



Untuk menambahjelaskan lagi dapatan ini, sila rujuk Rajah 4 , di mana dengan jelas menunjukkan bahawa peratus pelajar yang beroleh D dan E Matematik dan Sains PMR amat tinggi dan membimbangkan. Hampir separuh daripada pelajar tersebut iaitu 44.08% (Matematik) dan 45.94% (Sains) mendapat D dan E. Dengan keputusan seperti ini kita boleh bayangkan kemanakah mereka akan pergi selepas SPM.



  • Alasan pelaksanaan PPSMI diharapkan akan dapat meningkatkan pembelajaran, menambahkan minat dan penguasaan serta membaiki prestasi bahasa Inggeris pelajar tidak dapat diterima oleh masyarakat. Sebaliknya pelajar akan mengalami kerugian berganda ’double jeorpardy’. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Kelemahan murid dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan mereka tidak berminat , tidak bersedia dan tidak dapat mengikuti pengajaran Matematik dan Sains. Sepatutnya jika bahasa Inggeris yang hendak ditingkatkan, KPM perlu menyemak semula kandungan kurikulum Bahasa Inggeris, membaiki pedagogi, menambahkan waktu pembelajaran, memperkenalkan Kesusasteraan Inggeris dan sebagainya. Ramai yang berpendapat, yang lemah tidak diperbaiki, yang elok dimusnahkan. Misalnya antara langkah yang boleh diambil untuk baiki prestasi bahasa Inggeris ialah pada peringkat sekolah rendah penekanan pengajaran Bahasa Inggeris perlu diberi kepada kemahiran bahasa asas interpersonal (Basic Interpersonal Communicatif Skills atau BICS) yang memberi kemudahan kepada penggunaan bahasa untuk berkomunikasi. Pada peringkat sekolah menengah, kurikulum Bahasa Inggeris perlu memberi penekanan kepada latihan-latihan dan penggunaan bahasa Inggeris untuk memantapkan kemahiran berbahasa kognitif akademik (Cognitive Academic Language Profeciency atau CALP) yang menekankan kemahiran berbahasa, khusus untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik – (Prof. Datin Dr. Juriah Long, UKM).

Perlu ditegaskan bahawa pada hari ini, terdapat seramai lebih kurang 146,861 (29.35%) daripada 500,427 murid di Tingkatan 1 beroleh D dan E (gagal) Bahasa Inggeris ketika UPSR. Bayangkanlah dan fikirfikirkanlah bolehkah pelajar-pelajar ini mengikuti pengajaran Matematik
dan Sains dengan cemerlang jika penguasaan bahasa Inggeris mereka terlalu lemah. Mungkinkah mereka boleh cemerlang dalam SPM dan STPM. ( Sila rujuk Rajah : 1 dan 2)

Prestasi Bahasa Inggeris murid Tingkatan 4 lebih membimbangkan. Bilangan murid yang beroleh D dan E di dalam PMR amat tinggi, iaitu 50.20%. Sayugia diingatkan bahawa mereka yang gagal Bahasa Inggeris bukan bererti mereka juga lemah di dalam Sains dan Matematik


DAPATAN KAJIAN AWAL



Beberapa dapatan dan kesimpulan dapat dibuat berdasarkan kepada 9 buah sekolah.



KESIMPULAN



Dapatan awal telah dibentangkan, pola telah dapat dilihat dan eloklah kita menunggu keseluruhan dapatan untuk dirumuskan.


No comments: