Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, April 22

Bila Tugasan Datang Bergolek


Mabuk kerja? Adakalanya terdapat terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam satu masa. Usah terlalu cemas sehingga akhirnya semua kerja terbengkalai kerana terlalu panik. Realitinya, tanggungjawab sentiasa lebih banyak dari masa yang ada. Kebijaksanaan menyusun dan mengutamakan keutamaan adalah penting untuk membolehkan masa digunakan secara optimum.

Sebaiknya senaraikan tugasan-tugasan dan rutin harian yang perlu dilakukan samada yang sangat penting mahupun kurang penting. Kelompokkan tugasan kepada empat bahagian: penting & segera, penting tetapi kurang segera, kurang penting tetapi perlu segera, kurang penting tidak perlu segera. Oh ya, tambah lagi satu kategori: langsung tidak penting dan tidak bermanfaat seperti bergosip dan memfitnah orang lain di internet. Nilaikan keutamaan dan laksanakan tugasan mengikut keutamaan.

Jika tugasan boleh dilakukan secara berkumpulan, agihkan tugasan mengikut kesesuaian dan buat pemantauan. Berikan kepercayaan kepada individu lain meskipun anda seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan. Tugasan yang dilakukan secara berkumpulan lazimnya akan menghasilkan output yang lebih baik dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita boleh memanipulasi dan mempergunakan orang lain dengan sewenang-wenangnya.


Terdapat juga tugasan yang boleh dipecahkan dan hasilnya lebih mudah dilaksanakan. Contohnya menyiapkan kertas projek atau menulis buku setebal 200 ms. Pastinya mustahil dapat disiapkan dalam sehari. Bagaimanapun, ianya menjadi lebih mudah dan mengujakan apabila dipecahkan mengikut bab atau anda konsisten menulis 11 halaman sebagai contohnya setiap hari.


Dalam kesibukan itu, jangan lupa berikan masa untuk diri sendiri & keluarga atau individu yang signifikan dengan anda. Ya, walau sesibuk manapun, jangan lupa untuk tersenyum, mengambil pemakanan yang berkhasiat, beriadah, beristirehat, beribadah dan menyambung silaturahim. Kesemua itu penting supaya kehidupan kekal seimbang, ceria dan tidak terlalu tertekan disamping anda dapat menyempurnakan tugasan dengan efektif dan efisyen. Natijahnya, orang yang bijaksana sentiasa menguasai keadaan dan bukannya dikuasai oleh keadaan.


No comments: