Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, February 23

Mengapa Kufur?






Picture: Beautiful desert flowers on the east side of the Carrizo at www.admit-one.net




Sunday, February 21

Tragedi Berdarah Bab Berdieyinne




MEKNES, Maghribi 20 Feb. – Menara sebuah masjid bersejarah yang runtuh menyebabkan kira-kira 41 orang terbunuh dan mencederakan 75 yang lain di bandar Meknes, tengah Maghribi, kata pegawai tempatan hari ini.


Antara yang cedera dalam runtuhan menara Masjid Bab Berdieyinne di bandar lama tersebut, 51 daripadanya sudahpun dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan, demikian menurut pegawai pertahanan awam, Mohamed Ismael Alaoui.


Masjid kurun ke-18 berkenaan sesak dengan orang ramai yang menunaikan solat Jumaat ketika insiden berlaku dan pegawai tempatan memberi amaran angka korban berkemungkinan besar akan meningkat.


Kebanyakan penduduk berpendapat ia berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu.


“Menara dan sebahagian daripada bumbung masjid runtuh ke atas dewan solat ketika jemaah berkumpul untuk sembahyang Jumaat,” kata seorang penduduk.


Gambar rakaman televisyen menunjukkan beratus penduduk mengalihkan runtuhan dalam usaha pantas untuk mencari mangsa yang masih hidup.


Pasukan menyelamat menggunakan penyodok malah tangan kosong ketika ramai yang lain membentuk rantaian manusia untuk mengalihkan runtuhan dari kawasan kejadian.


“Selain solat Jumaat, jemaah juga akan menyembahyangkan jenazah yang diletakkan di dalam masjid,” kata seorang pegawai.


Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengumumkan insiden itu berlaku pada 1245 GMT (pukul 8.45 malam tadi waktu Malaysia) dengan korban sekurang-kurangnya 11 orang, namun ia semakin meningkat.


Penyelamat pada awalnya berdepan kesukaran mengalihkan runtuhan kerana masjid itu terletak di kawasan padat Bandar Lama yang dipisahkan dengan tembok-tembok tinggi.


Perkhidmatan kecemasan menghantar kebanyakan mangsa ke hospital di Fes, 60 kilometer di utara bandar ini. Mereka yang cedera ringan dirawat di Meknes.


Tragedi di Masjid Bab Berdieyinne adalah yang terburuk dalam sejarah negara utara Afrika ini, dengan kebanyakan bandar dan pekannya masih mengekalkan bangunan yang berusia beberapa kurun.


Masjid itu sendiri diperbuat daripada batu-bata campuran lumpur serta jerami dan menaranya menjadi mercu tanda Meknes. – AFP


Nota:


1. Sumber - Utusan Malaysia

2. Sejauh manakah tahap keselamatan masjid-masjid dan monumen-monumen lama kita.. juga bangunan yang baru dibina?


Saturday, February 20

Main Masak-Masak


Memasak antara aktiviti yang boleh menjana kreativiti, meredakan stress dan membina tabiat pemakanan yang sihat. Selain dari masakan rutin yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terdapat aneka jenis resepi yang boleh dicuba apabila berkelapangan. Setelah mahir, mencipta resepi sendiri adalah antara perkara yang sangat mengujakan.



Berikut antara laman sesawang yang boleh dirujuk sebagai panduan asas (kecuali bahan masakan yang tidak halal). Selamat mencuba ! :)



1. Mesra. Net Recipes (Himpunan resepi masakan Malaysia dan antarabangsa) dan Selera Malaysia (Hidangan ringkas masakan Malaysia)



2. My Resipi (Tempat untuk berkongsi resepi)



3. My Recipes (Koleksi resepi untuk jantung sihat)



4. Healthy Cooking Recipee (Koleksi resepi pemakanan sihat)



5. Chinese Food Recipees (Himpunan resepi masakan China)



6. Middle Eastern Recipees (Himpunan resepi masakan Timur-Tengah)



7. Just Fruit Recipes (766 resepi berasaskan buah-buahan)



Wednesday, February 17

Bersama Kita Hentikan Kitaran Sengsara


Dahulu saya tidak melihat pergaulan bebas dan kod etika berpakaian sebagai satu isu yang besar. Namun, perspektif itu berubah apabila tiga orang teman yang saya kenali dengan akrab mengandung di luar nikah dalam usia belasan tahun. Meskipun ketiga-tiganya mengambil keputusan untuk berkahwin dan menjaga bayi mereka, kesannya masih ada sehingga kini iaitu nama baik yang tercemar, kecelaruan nasab keturunan, keciciran dalam pembelajaran dan ketidakstabilan mental. Kesemuanya berpunca daripada pergaulan bebas, rasa ingin tahu yang tinggi dan kenaifan remaja dalam mengendalikan hidup.


Dalam meniti dunia akhir zaman, inilah antara cabaran sosial yang perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Islam sedari mula menggariskan batas-batas pergaulan dan kod etika berpakaian yang cermat dan teliti sebagai langkah pencegahan (sila teliti kupasan agamawan tentang hal ini). Terdapat garisan yang jelas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, hatta di antara ipar duai. Bahkan, kita sering diingatkan bahawa fitnah yang besar bagi seorang lelaki adalah saudara perempuan kepada isterinya sendiri. Dalam keluarga, tersedia juga etika pergaulan dan kod berpakaian yang jelas untuk mencegah gejala sumbang mahram. Begitu juga dalam pergaulan sesama jantina untuk mencegah perlakuan lesbian dan homoseksual.


Mencegah lebih baik dari mengubat. Justeru, ini antara perkara utama yang perlu ditekankan oleh ibu bapa, rakan sebaya.. juga dalam silibus pembelajaran di sekolah sebagai langkah pencegahan. Ini kerana, sebelum melangkah ke alam remaja, kanak-kanak perlu disediakan dengan panduan yang mencukupi agar mereka berupaya menjalani dunia remaja dengan cemerlang. Dalam masa yang sama, sebelum melangkah ke alam dewasa pula, para remaja perlu disediakan dengan panduan yang mencukupi untuk menjalani dunia dewasanya dengan cemerlang.


Maka, cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Bersama kita menghentikan kitaran sengsara ini dan memulakan langkah baru untuk membina kehidupan yang lebih bermakna.. buat diri sendiri dan negara bangsa yang kita kasihi berpandukan ajaran wahyu... dengan mengupayakan seluruh kekuatan fakulti intelek (quwwah al-ilmu) dan hikmah (quwwah al-adl) yang telah tersedia.

Saturday, February 13

Bisikan Rindu




Hatiku tertinggal di tanah Toyyibah

rindu berlabuh dalam pasrah.

Penantian bukan satu penyeksaan

tapi - keindahan.

Wednesday, February 10

Hijaukan Bumi: Kaktus


Maafkan saya, mutakhir ini saya jarang mengemaskini blog. Bukan saja jarang, malah kata seorang teman... 'pendek-pendek saja'. Insya-Allah, tulisan yang panjang-panjang dan menjentik minda saudara bakal muncul satu-persatu nanti. Buat masa ini biarlah yang pendek saja.. asal ada manfaatnya :).
3
2
Hijaukan Bumi
j
Saudara sukakan pokok tetapi bimbang tidak berkesempatan untuk menjaganya? Kaktus antara pilihan yang sesuai. Ia cuma perlu disiram seminggu sekali dengan air atau baja cecair (antaranya Easy Spray N21% P21% K21% + TE)




Pulang dari misi di Selatan tanahair, kaktus yang baru seminggu ditanam mulai berbunga. Meski sekejap, ia cukup bermakna :)



1
Terdapat pelbagai jenis kaktus. keistimewaan kaktus ini terletak pada ketinggiannya. Bak kata anak saudara saya: "macam pokok kelapa".
j




Kaktus-kaktus ini saya tanam dalam tiga balang kaca sederhana besar. Bahagian dasarnya (1/3 balang) diisi dengan batu putih. Sehelai kain dari fabrik yang mudah menyerap air seperti fabrik kapas dipotong mengikut ukur lilit balang, dibasahkan dan diletakkan di atas batu. Kain itu kemudiannya ditindihkan dengan tanah campuran (1/3). Kaktus kemudiannya ditanam dalam balang. Akhir sekali, batu putih ditaburkan disekeliling pokok supaya tanah campuran tidak terkeluar dari balang.
l
Selamat bercucuk-tanam! Semoga segala misi dan visi dapat disempurnakan dengan jayanya dalam jangka-masa yang telah ditetapkan :).



Friday, February 5

Katakan Saja




Tika sabarmu teruji

katakan saja:


"dunia sementara

rentasi apa jua dengan jiwa bahagia

penuh cinta... pada Allah dan rasul-Nya".



Tika hatimu gundah-gulana

katakan saja:


"usah bersedih...

tersenyumlah dan berlapang dada".



Tika rezkimu berlimpah dan hajatmu terpenuhi

katakan saja:


"Alhamdulillah...

sembah dan puji hanya bagi Allah".


Nanti... tika ajalmu mendatangi

katakan saja:


"Wahai jiwa yang tenang

dirimu telah lama redha dan... bersedia".