Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, March 6

Mencabar Kinabalu




KOTA KINABALU 5 Mac - Pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin hari ini mendedahkan antara petua yang diamalkannya bagi menambah kekuatan badan adalah dengan memakan kuning telur ayam kampung dicampur halia.


Menurutnya, petua yang diperoleh daripada jurupandu berpengalaman yang bertugas di Gunung Kinabalu itu terbukti berkesan menambah stamina dan kekuatan badan bagi mengharungi cabaran pendakian setiap hari.


"Selain itu saya juga memakan sejenis makanan tambahan yang dicadangkan oleh pakar bagi menguatkan sendi dan tulang.


"Saya akan mengambil makanan tambahan itu dalam bentuk pil sebanyak dua biji setiap pagi dan malam yang berharga RM260 sebotol," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Jurugambar Utusan Malaysia itu berkata, untuk mengekalkan stamina di tahap terbaik, antara makanan yang dielakkannya adalah makanan pedas dan berlemak selain minuman bergas dan air batu.


"Sejak mula melibatkan diri dalam pendakian pada 1997, saya tidak mengambil minuman bergas dan air batu bagi menjaga stamina sebaliknya mengambil air suam dan panas.


"Dari segi pemakanan pula saya tidak mengambil makanan pedas atau makanan segera tetapi sering memakan sup dan sayur-sayuran," katanya.


Mengulas mengenai misi pendakian ke-64 hari ini Mohd. Noor memberitahu, beliau ditemani mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Raizul Rahmat dan jurupandu, Azli Azie Atun.


"Pendakian berjalan lancar. Saya memulakan pendakian pada pukul 7 pagi dan sampai ke puncak pada pukul 1.26 petang sebelum sampai ke bawah pada pukul 4.30 petang," ujarnya.


Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 42, memulakan misinya menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali yang dijadual berakhir 20 April ini sebelum pendakian baru di Menara Kuala Lumpur.


Beliau juga akan melakukan 111 kali pendakian di menara itu dari 1 hingga 7 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.


Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.


Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).


Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS.


Nota:


1. Sumber- Utusan Malaysia

2. Makan untuk sihat.

3. Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah walaupun dalam keduanya ada kebaikan... al Mukminul qawiyyu ahabbu minal mukminidh dha’if..


No comments: