Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, September 1

Hadiah Merdeka?


BERATUR ... Kenderaan orang ramai beratur mengisi minyak di sebuah stesen Petronas ekoran kenaikan harga bahan api itu menjelang tengah malam tadi. - UTUSAN / ZULAZHAR SHEBLEE

Berikut penjelasan Datuk Ismail Ahmad ialah Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung isu ini:

APA itu RON?

RON adalah singkatan kepada ‘Research Octane Number’, iaitu kadar untuk menyukat ketahanan terhadap ‘ketukan’ (knocking) sesuatu minyak petrol di dalam enjin. Petrol RON95 pula adalah merujuk kepada campuran 95 peratus iso-oktana dan lima peratus heptana. Mulai hari ini, kerajaan mula memperkenalkan petrol RON95 di seluruh negara. Pada masa sama, petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan penggunaan RON92 adalah kecil, iaitu sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan penjualan petrol di negara ini. Justeru, kerajaan mengambil langkah memperkenalkan RON95 bagi memastikan pengguna mendapat faedah langsung produk petroleum yang lebih berkualiti pada harga disubsidi. Pada masa sama, ia juga satu usaha kerajaan dalam mengurus sumber tenaga negara bagi menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan mengurangkan tanggungan subsidi ke atas produk petrol.

Bagaimanapun, petrol RON97 masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan memerlukan nilai RON minimum 97, terutama kenderaan berkuasa tinggi. Selain itu, petrol RON95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M yang mana ia dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada pengeluaran asap kenderaan. Spesifikasi EURO2M adalah standard baru bagi petrol dan diesel yang akan diguna pakai mulai hari ini, selaras dengan penggunaan RON95 di seluruh negara. Penggunaan EURO2M mengurangkan kandungan sulfur dalam petrol dan diesel daripada 3,000 parts per million (ppm) kepada 500 ppm yang mengurangkan pelepasan asap kenderaan di udara. Keadaan ini dapat menyumbang kepada kualiti udara lebih baik.

Sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak terbabit diadakan bagi mendapat maklum balas impak penggunaan RON95 dari pelbagai sudut. Semua pihak berkenaan memberi reaksi positif dengan pelaksanaan RON95 memandangkan ia sesuai bagi kebanyakan enjin kenderaan dan boleh menyumbang kepada kualiti udara yang lebih bersih.

Pengguna boleh merujuk buku panduan kenderaan atau pengeluar enjin kenderaan bagi memastikan tahap minimum RON yang diperlukan. Kebanyakan enjin kenderaan ketika ini menggunakan teknologi yang direkabentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95. Dengan menggunakan petrol mempunyai nilai RON minimum bersesuaian dengan keperluan kenderaan seperti disyorkan pengeluar enjin kenderaan, akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelak berlakunya fenomena ketukan enjin.

Oleh itu, sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum. Negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan petrol RON95 adalah lebih 80 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang menjadi bahan bakar utama kenderaan. Kerajaan dengan kerjasama syarikat minyak, sudah mula memperkenalkan penjualan petrol RON95 di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang dan Putrajaya mulai 12 Mei lalu.

Statistik menunjukkan 80 peratus pengguna sudah bertukar menggunakan petrol RON95 berbanding RON97 di stesen terbabit. Selain itu, sehingga kini tiada rungutan atau aduan mengenai prestasi enjin kenderaan akibat penggunaan petrol RON95. Ini menunjukkan kesesuaian produk itu kepada enjin kenderaan yang menggunakannya. Sehingga kini sebanyak 1,445 stesen minyak di seluruh negara sudah menjual petrol RON 95 dan dilaksanakan sepenuhnya mulai hari ini.

Di samping itu, harga runcit petrol dan diesel masih mengekalkan kaedah Automatic Pricing Mechanism (APM) di mana kedudukan harga purata kos produk bulanan bagi petrol dan diesel menentukan kadar subsidi pada bulan berkenaan.

Nota: Bijaksana dalam berbelanja, seperti biasa lazimnya harga barang akan turut meningkat akibat peningkatan kos pengangkutan dan permintaan tinggi barangan tertentu menjelang musim perayaan.

No comments: