Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, May 30

Masa Berkualiti ?


Sejauhmanakah kita menggunakan masa secara optimum. Seorang teman pernah mengatakan, hanya orang yang sibuk mempunyai masa. Benarkah begitu?


Ya, setiap kita diperuntukkan 24 jam sehari. Bersamaan 1440 minit dan 86,400 saat. Bagaimana kita memanfaatkan setiap saat yang kita miliki? Adakah kita perlu menggunakan 86,400 saat yang ada untuk bekerja semata-mata atau sebaliknya sekadar berangan-angan sepanjang masa? Sejauh mana kita bersikap adil kepada diri sendiri dan adakah itu yang dinamakan masa yang berkualiti? (Banyak betul soalan saya).


Masa berkualiti adakalanya digunakan sebagai pelarian. Sebilangan individu yang komited dengan kerjaya mengatakan "saya telah memberikan masa yang berkualiti untuk keluarga saya". Justeru, masanya banyak dihabiskan di tempat kerja sehingga adakalanya mengabaikan anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian yang tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapanya.


Ketika menyelia seorang pelajar di Seremban dan Rembau, seorang pengurus cari gali minyak menyatakan:


"Dahulu isteri saya juga bekerja. Bagaimanapun, pada satu hari, seorang senior kami berpesan - jangan sampai kamu menyesal kemudian, jaga anak-anak kamu kerana jika saat keemasan ini terlepas, tiada apa yang dapat dilakukan. Jangan jadi macam saya. Duit banyak pun tak guna. Sejak hari itu, kami mengambil keputusan agar isteri saya menguruskan anak-anak sepenuh masa kerana saya terlalu sibuk bekerja dan tidak sempat meluangkan masa bersama anak-anak".


Ya, pada saya, mereka telah mengambil tindakan yang bijak. Bagaimanapun, setiap keluarga adalah unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza dalam menyelesaikan masalah. Formula XYZ mungkin sesuai untuk keluarga A tetapi tidak sesuai untuk keluarga B dan sebaliknya.
k
Ibu bekerja atau surirumah sepenuh masa bukanlah persoalan utama yang menentukan keberkesanan dalam pendidikan anak-anak. Sebaliknya, apa yang lebih utama adalah sejauhmana masa yang ada digunakan secara efektif (berkesan) dan efisyen (cekap). Sebagai perbandingan, sebuah kajian menyatakan, 60% daripada kes juvana terdiri anak-anak yang ibunya tidak bekerja. Malahan, Ibu Malaysia 2008 yang mempunyai tujuh anak yang bekerja dalam profesyen perubatan (empat daripada doktor pakar) adalah seorang pesara guru yang turut menjaga ibu bapanya sendiri dan juga mertua.


Ya, persoalan yang sangat penting ialah bagaimana kita mengurus dan memanfaatkan masa dengan baik sehingga ia menjadi masa yang berkualiti sama ada dalam dunia kerjaya, dalam mengisi masa senggang (masa lapang) dan dalam kehidupan kita seharian... dalam hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia (hablum minallah wa hablum minnan nas)?

No comments: