Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, March 1

Trend Wanita Berkerjaya



Bilangan tenaga kerja wanita berbanding lelaki semakin bertambah di seluruh dunia. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan ini antaranya kos sara hidup yang meningkat, kadar perceraian yang semakin bertambah dan penerimaan masyarakat terhadap wanita yang telah berkahwin dalam dunia kerjaya (termasuk artis).


Hari ini, wanita memegang pelbagai peranan di rumah, dalam dunia kerjaya dan dalam komuniti. Sesetengahnya berpendapat, budaya masyarakat terlalu memanjakan lelaki sama ada di rumah, dalam dunia persekolahan sehinggalah dalam dunia kerjaya sehingga akhirnya cenderung menjadi kurang bertanggungjawab dan tidak cukup matang dalam serba-serbi.

Di Australia, trend kerjaya wanitanya agak unik. Pada usia 25-45 tahun, kadar tenaga buruh wanita menurun kerana menumpukan perhatian kepada pengasuhan anak-anak mereka. Setelah usia 45 tahun, iaitu setelah anak-anak dewasa, bilangan tenaga buruh wanita kembali meningkat. Di Australia juga, bilangan yang memilih kerjaya separuh masa semakin bertambah berbanding sepenuh masa.

Apakah agaknya trend yang bakal berlaku kepada wanita berkerjaya di Malaysia dalam tempoh sedekad lagi. Adakah wanita perlu mengejar kouta 30 % dalam hirarki pengurusan tertinggi atau menyerahkan tugasan tersebut kepada lelaki? Namun, yang pasti, terdapat sebilangan wanita yang ditawarkan jawatan tersebut enggan menerimanya kerana mementingkan masa bersama keluarga.

Penglibatan ibu-ibu muda dalam sektor perkilangan suatu ketika dulu terutama di kawasan kampung dan felda membawa fenomena yang membimbangkan. Kesibukan ibu-bapa bekerja membuatkan anak-anak yang tidak memiliki asas agama dan ilmu yang kukuh merasa terabai, tidak dipedulikan dan bebas melakukan apa saja. Akibatnya, gejala penagihan dadah dan aktiviti liar menjadi sebati dengan sebilangan remaja dan belia kampung dan felda.

Apakah trend sedia ada akan berubah dan perlu diubah? Dalam era globalisasi, keibubapaan adalah tugas yang sukar dan mencabar. Ibu bapa perlu bergandingan untuk mewujudkan iklim yang membina bagi perkembangan anak-anak mereka. Dalam pada itu, wanita perlu bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan fitrah dirinya, mengetahui batasan keupayaannya serta bijaksana agar keutuhan institusi keluarganya tidak terabai dalam kesibukan dunia kerjaya dan aktiviti kemasyarakatan.

No comments: