Sejak di alam persekolahan kita diajar untuk bertanya, bercerita dan berfikir berlandaskan lima persoalan asas:
APA ?
MENGAPA ?
BILA ?
SIAPA ?
BAGAIMANA ?
Natijahnya, tidak semua persoalan ini digunakan sepenuhnya. Dalam membina peradaban, persoalan tentang APA sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang lebih penting adalah BAGAIMANA. Persoalan APA itu Islam dan apa itu kebahagiaan lebih bermanfaat apabila diikuti dengan BAGAIMANA untuk menjadi seorang muslim yang baik dan bagaimana untuk memastikan semua orang berbahagia. Persoalan APA itu peradaban lebih bermakna apabila disusuli dengan persoalan BAGAIMANA untuk membina peradaban yang unggul. Persoalan APA itu filem dan teater lebih mengujakan jika dituruti dengan persoalan BAGAIMANA menjadikan filem dan teater sebagai wahana untuk mendidik masyarakat disamping mengaut keuntungan berlipat ganda.
Persoalan APA dalam agama membawa kita menghayati prinsip dan ajaran-ajaran agama. Persoalan APA juga adalah persoalan tentang ideologi, teori, situasi semasa dan dapatan-dapatan yang sudah sedia ada. Persoalan tentang BAGAIMANA dalam agama membawa manusia menghayati dan mengamalkan agama. Persoalan BAGAIMANA juga membawa manusia berfikir, meneroka, mengkaji, mencipta dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang wujud dengan idea-idea, kreativiti dan inovasi baru yang lebih canggih dan berguna.
Persoalan BILA membawa manusia mengimbau sejarah dan menghargai setiap detik masa, mengurus, mentadbir dan merancang masa agar tidak menanggung kerugian. Persoalan MENGAPA membawa manusia mencari jawapan berasaskan panduan wahyu. Persoalan APA surah pertama yang diturunkan pastinya lebih menarik apabila ditambah dengan persoalan MENGAPA surah al-A'laq menjadi keutamaan. Persoalan SIAPA pula, pada akhirnya, dipenghujungnya membawa manusia pada satu titik pertemuan -
"LAILAHA ILLALLAH & INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN"
Manusia yang sentiasa bertafakur dan bertadabur sentiasa melontarkan persoalan tentang APA dan BAGAIMANA. Dan... manusia yang berjaya dapat menjawab persoalan APA, MENGAPA,BILA, SIAPA dan BAGAIMANA dengan tepat.
* Diubah suai berasaskan nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam oleh Prof. Dr. Yedullah Kazmi.
No comments:
Post a Comment