Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, June 8

Stres: Butang Hijau


Stres? Terdapat pelbagai cara untuk menangani stres. Antara yang paling mudah adalah dengan menukar cara gaya berfikir iaitu dari pemikiran negatif ke positif.

Bayangkan kita mempunyai dua butang pemikiran yang boleh dikawal. Letakkan butang itu dimana-mana sahaja bahagian yang mudah dicapai. Mungkin anda boleh bayangkan ianya terletak dibahagian dada seperti Ultraman atau dibahagian kepala seperti Teletubbies.


Butang hijau bersinar menandakan pemikiran positif, manakala butang merah menyala menandakan sebaliknya. Butang hijau adalah baik sangka, optimis, sabar, redha, berani, tenang dan tawakal. Butang merah adalah prasangka, ketakutan dan rasa curiga yang meluap-luap. Butang hijau mendorong manusia berfikir secara waras, kreatif dan berhikmah. Butang merah pula mendorong individu menjadi pemarah, terlalu risau, cemburu buta dan bertindak terburu-buru.

Contohnya, ketika sedang memandu Perdana hitam metalik baru, tiba-tiba sebuah Perodua Kancil merah memotong laju dengan berbahaya. Ramai memilih untuk membebel dan memaki hamun sehingga letih. Sayangnya, tenaga yang digunakan untuk bebelan dan makian tersebut tidak menyelesaikan masalah sebaliknya hanya meninggikan lagi kadar stres, tekanan darah dan cenderung menyusutkan kadar pahala sedia ada. Dalam menghadapi situasi ini, jika kita menggunakan butang hijau, mungkin kita akan tertawa kecil kerana membayangkan pemandu Perodua Kancil itu sedang senak perut yang tidak dapat ditahan-tahan atau isterinya sedang kesakitan untuk melahirkan cahaya mata sulung.

Apakah warna butang anda sekarang? Jika merah, segera tekan butang hijau supaya diri menjadi lebih tenang, rasional dan dapat mengawal keadaan. Dalam menjalani kehidupan, terdapat pelbagai perkara dan situasi yang tidak dapat dielakkan. Namun kita boleh memilih untuk menghadapinya dengan hati yang ceria atau sekadar merungut sehingga tumbuh 'sesunggut' dan seterusnya memudarkan lagi aura seri di wajah nan bercahaya.

No comments: