Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, January 1

Kementerian Pembangunan Lelaki dan Bandar

Hari ini kita punya kementerian khas untuk wanita dan pembangunan luar bandar. Khas untuk membela dan membangunkan wanita yang sering diberikan stigma sebagai kaum yang lemah dan masyarakat luar bandar yang sering disinonimkan dengan perkataan miskin, kolot dan mundur. Persoalannya, adakah kaum lelaki benar-benar kuat dan apakah masyarakat bandar benar-benar maju dan hebat?

Senario
Bilangan siswi mengatasi siswa di Institusi Pengajian Tinggi bukanlah suatu perkara yang asing lagi. Jika dahulu nisbah siswa kepada siswi adalah 7:1 kini angka tersebut sudah terbalik kepada 1: 7. Malahan dalam sesetengah universiti dan jurusan tertentu, nisbahnya lebih dari itu.
Dalam badan-badan kerajaan dan korporat, sebahagian wanita kini berada dalam hirarki tertinggi dalam organisasi. UM, UKM dan yang terbaru UPSI kini diterajui oleh wanita. Bank Negara Malaysia, sebuah organisasi yang gah dan disegani juga diterajui oleh wanita. Itupun kita belum lagi menyemak kepimpinan di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang rata-ratanya semakin dimonopoli oleh wanita.

Ke Mana Belia Lelaki?

Senario di atas bukanlah suatu yang menghairankan. Namun, dalam kita berbangga dengan kredibiliti wanita hari ini, ianya mengajak kita berfikir untuk mengembalikan semula darjat lelaki ke tempat yang selayaknya. Ketidakseimbangan ini perlu segera diperbetulkan. Populasi lelaki berbanding wanita adalah lebih tinggi. Justeru, secara logiknya tidak sepatutnya senario ini timbul apabila peluang sama rata diberikan.


Ke mana menghilangnya belia lelaki kita. Soalan ini ringkas dan mudah dijawab namun jawapannya sering saja membuat hati sedih dan tersayat. Daripada 27 buah Pusat Serenti di Malaysia, 26 daripadanya dipenuhi oleh kaum lelaki. Itupun belum ditambah dengan pusat pemulihan dadah yang dimiliki oleh individu perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Sehingga Mei 2002, Menteri Dalam Negeri telah meluluskan pendaftaran dan penubuhan 187 buah pusat pemulihan persendirian (PPP) bagi rawatan dan pemulihan penagih dadah iaitu terdiri dari 121 buah klinik swasta dan 66 buah dikendalikan oleh pihak swasta, orang perseorangan, badan bukan Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukarela sebagai alternatif kepada rawatan dan pemulihan yang disediakan oleh Kerajaan (Agensi Dadah Kebangsaan, 2007).

Lelaki.. Satu Tanggungjawab

Menjadi lelaki bermakna memikul tanggungjawab yang berat. Justeru, persediaan mental, fizikal dan spritual yang kukuh diperlukan. Fitrahnya lelaki adalah sebagai pelindung dan pemimpin bagi wanita. Namun, bagaimana kaum lelaki mampu melaksanakan amanah ini dengan tubuh dan pemikiran yang telah diracuni oleh dadah, rokok, arak, pornografi dan perilaku songsang yang tidak bertamadun?

No comments: