Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, October 3

Sejarah Semalam: Perlukah di Kenang?



“Kalaulah aku lakukan begini, pasti akan jadi begini”. Kalimat ini dan kalimat lain yang sewaktu dengannya sering kita dengari. Bahkan adakalanya terpacul dari mulut kita sendiri. Mengapa perlu berkalau-kalau?. Perlukah kita melafazkannya?. Adakah jiwa kita akan merasa tenang setelah itu?. Tanpa sedar, kata-kata itu menghumban kita ke sangkar derita.

Perlukah ditangisi kisah semalam?. Semalam bukan untuk ditangisi. Sejarah mungkin berulang. Namun, sejarah tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah kaedah penceritaan fakta sejarah yang sering diseleweng dan ditokok-tambah. Kisah semalam adalah teladan dan pengajaran. Semalam jua adalah peluang dan ruang yang telah dilepaskan. Memori semalam seringkali terlalu perit untuk dikenang. Pedih lagi memilukan. Namun kita takkan dapat lari dari kenyataan. Biar sepahit hempedu sekalipun, hempedu itulah yang telah kita telan.

Setiap kejadian mengandung hikmah tersendiri. Segalanya mengundang akal untuk berfikir, merenung dan bertafakur. Kita merancang, Allah merancang. Perancangan Allah jua yang pasti berlaku. Ketinggian martabat manusia berbanding haiwan adalah pada akalnya. Keberadaan Adam A.S. berbanding para malaikat adalah pada ilmunya. Namun, dalam kemuliaan dan keberadaan itu ada keterbatasannya. Bagaimana hendak menduga lautan luas, andai kail cuma panjang sejengkal? Begitulah perumpamaan ilmu manusia yang tidak mengerti realiti sebenar yang terselindung di balik denai kehidupan. Telusurilah nasihat dari Allah yang sentiasa relevan sejak zaman berzaman. Natijahnya, zaman berubah, namun fitrah manusia tetap sama. Renungilah surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”

Usah bersedih bila hajat tak kesampaian. Boleh jadi hajat yang ingin kita dakap itu adalah permulaan segala kemusnahan. Usah bersedih bila dikecewakan atau kasih terputus di tengah jalan. Boleh jadi Dia hendak menggantikannya dengan si dia yang 100 kali lebih baik. Usah bermuram durja dengan perpisahan. Boleh jadi itu lebih baik daripada saling berdekatan. Usah malu dilahirkan dalam kedaifan. Ramai hartawan, jutawan dan negarawan lahir daripada keluarga miskin yang serba kekurangan. Usah tersisih bila wajah kurang menarik. Boleh jadi kecantikan itu hanya akan merosakkan. Boleh jadi wajah cantik itu hanya menjadi sasaran kedengkian. Usah bermurung bila gagal mendapat pekerjaan. Boleh jadi kerjaya itu tidak sesuai dengan diri atau hanya membebankan. Jadikanlah itu sebagai motivasi untuk menjana keunggulan diri dan seterusnya mencipta peluang kerjaya untuk orang lain.

Rokok, arak, ubat batuk, ganja, lumba haram, heroin, morfin, ekstasi dan syabu-syabu bukan penyelesai masalah. Itu sekadar penambah beban kepada diri sendiri dan orang lain. Diri tambah derita, masalah tidak hilang. Kesihatan tergadai, jiwa merana. Begitu juga dengan membunuh diri. Bahananya lebih dahsyat. Kita menderita di akhirat. Orang yang kita tinggalkan menderita trauma di dunia selagi ada hayatnya. Kita mahu orang yang dibenci rasa bersalah sepanjang hayat, sebaliknya orang tersayang yang terseksa kehilangan. Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Kita tak sanggup menanggung beban derita di dunia yang hanya sementera sifatnya, namun sanggupkah kita menanggung beban derita selama-lamanya di akhirat nanti? Bila kita susah, ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Bila kita rasa kita menderita, ramai lagi orang yang lebih menderita daripada kita. Allah Maha Adil. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati. Sayang seribu kali sayang. Anugerah diberi, kita bazirkan. Umur diberi, kita buang.

Andai diri rasa bersalah, pohonlah kemaafan. Andai diri rasa berdosa, pohonlah keampunan. Azab Allah memang menakutkan. Penilaian Allah memang sangat halus dan teliti. Namun, rahmat Allah itu maha luas. Lebih luas daripada tujuh petala langit. Lebih luas daripada tujuh petala bumi.

Bersangka baiklah dan bersifat optimislah. Sejarah semalam adalah batu loncatan menuju kebitaraan. Hanya orang yang jahil dan malas akan menjadikannya sebagai alasan kehancuran. Apa jua yang telah berlaku, terimalah dengan tenang dan dada yang lapang. Semua itu adalah tarbiah Allah untuk mengukuhkan jiwa. Kebahagiaan itu hanya akan kita kecapi apabila hati itu tenang dan redha dengan segala ketentuan.

"Aku mengagumi seorang mukmin karena selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula." (Terjemahan HR Muslim)




Kesilapan semalam jadikan sempadan. Pepatah Melayu ada mengatakan: “Sesal dahulu pendapatan. Sesal kemudian tidak berguna”. Sesal dahulu atau berfikir dahulu sebelum bertindak sememangnya terbukti menghasilkan pendapatan. Benarkah sesal kemudian tidak berguna sama sekali?. Sesal kemudian sememangnya merugikan diri sendiri. Namun tidak bermakna penyesalan itu tidak berguna sama sekali. Penyesalan yang diikuti oleh taubat yang sebenar-benarnya (taubat nasuha) adalah titik permulaan segala kebaikan.

Hidup bukan untuk ditangisi tetapi untuk dihayati dan diisi sebaiknya. Bebaskanlah diri daripada belenggu yang melanda jiwa. Perlukah kita menelan hempedu yang pahit itu berkali-kali?. Cukuplah semalam sebagai pengajaran. Jadikan semalam sebagai panduan merintis kemenangan. Bahkan, jadikan semalam sebagai roket pintar untuk meraih al-falah atau kejayaan. Orang beriman tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua. Andai tersalah haluan, kembalilah ke pangkal jalan. Andai tersilap langkah, perbetulkanlah dengan penuh kebijaksanaan. Andai terluka diperjalanan, ubatilah kelukaan itu dan teruskanlah perjuangan. Andai tak mampu berdiri sendiri, pohonlah bantuan. Setelah mampu berlari, marilah kita saling bergandingan dan hulurkanlah tangan pada yang memerlukan.

Demi masa! Manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan pada kebenaran. Jua berpesan-pesan pada kesabaran (maksud Surah Al-Asr ayat 1-5).

Semalam yang telah berlalu, redhalah. Kini ia telah menjadi sejarah. Esok adalah misteri, bersedialah. Hari ini yang sedang kita lalui, hargailah. Saat ini adalah saat terbaik yang kita miliki. Pastikan hari ini lebih baik dari semalam yang telah kita lepaskan. Usah mengeluh dan berhati walang. Selagi akal masih waras. Selagi nafas masih tersisa. Selagi roh bersama jasad. Selagi mentari terbit di ufuk Timur. Peluang yang ada jangan kita siakan. Jadikanlah setiap saat itu saat yang sangat indah dan bermakna. Saat yang mengundang pahala dan rahmat Yang Esa. Saat yang penuh barakah. Selagi masih ada peluang dan ruang. Bersegeralah… sebelum terlewat!


*Artikel ini diterbitkan dalam Majalah Aspirasi PMUKM, Bilangan 31. 2007

No comments: