Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, June 27

Seminar Kebangsaan Pembangunan Komuniti




Tema: Imbas Kembali Pembangunan Komuniti bagi Merealisasi Komuniti Berkualiti


Tarikh: 14 Julai 200 (8.00 am - 5.00 pm)


Tempat: Auditorium Institut Sosial Sains Malaysia (ISM)


Anjuran: Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Institut Pengajian Sains Sosial Malaysia, UPM


Peserta: 200 peserta dari JKMM, JPW, LPPKN, DSN, ISM dan lain-lain kementerian berkaitan, pekerja komuniti, ahli akademik dan saintis sains sosial.


Topik Pembentangan


  • Teori dan amalan pembangunan komuniti

  • Mengimbas semula pembangunan komuniti

  • Melaksanakan program pembangunan komuniti melalui pendekatan pendidikan pengembangan

  • Dari anggota masyarakat ke anggota masyarakat: Merancang dan melaksanakan program pembangunan komuniti

  • Program pembangunan komuniti: Satu strategi untuk pengurusan berkesan

  • Penglibatan komuniti dalam menangani isu berkaitan kanak-kanak

  • Kesukarelawanan: Ke arah mengoptimumkan untuk kesejahteraan masyarakat

  • Pendayaupayaan orang kurang upaya melalui perkhidmatan komuniti

  • Pengendalian kes keluarga melalui komuniti

  • Penglibatan komuniti dalam penjagaan warga tua

* Pendaftaran seminar adalah PERCUMA. Kepada sesiapa yang berminat, sila hantar maklumat peribadi (nama, alamat, nombor telefon, emel dan jawatan) kepada:


Sekretariat Seminar Kebangsaan Pembangunan Komuniti, Institut Sains Sosial Malaysia, UPM, 43400 Serdang, Selangor


Fax: 603-8941 2970


Laman Web: http://ipsas.upm.edu.my/


Puan Nurul Akhtar Kamarudin (03-8946 8955) nurulakhtar@putra.upm.edu.my


Dr Khadijah Alavi (03-8946 8599) khadijahalavi@yahoo.com





Friday, June 26

Biar Sederhana Asal Bahagia


Biar papa asal bergaya… prinsip ini sangat berbahaya. Sebaiknya kita tukarkan menjadi… biar sederhana asal bahagia. Hutang usah dijadikan kebiasaan. Berbelanja jangan sampai melebihi pendapatan. Lebih besar periuk yang ada, tidak bermakna keraknya mesti lebih besar dari sebelumnya. Orang yang bijaksana, berhemat di waktu gawat mahupun senangnya.


Ukur baju di badan sendiri. Setiap kita punya ukur lilit kepala, pinggang, bahu, lengan, jari jua rambut yang berbeza. Keperluan kita mungkin kehendak bagi orang lain. Begitu juga sebaliknya. Kenalpasti dan bezakan antara keperluan dan kehendak. Sering terjadi, kita memenuhi kehendak sehingga mengabaikan keperluan. Kesannya, kehidupan menjadi tempang.


Dekad ini, godaan berhutang ada di mana-mana. Ada yang dinamakan ansuran mudah. Tampak mudah namun sebenarnya tambah menyusahkan. Jika kiraan dibuat, nilainya seringkali sekurang-kurangnya dua kali ganda belian tunai. Kad kredit dan pinjaman pribadi pula begitu mudah didapati. Mengggunakannya memang mudah. Apa saja boleh dibeli. Terkadang membazir tidak dimanfaatkan. sampai di rumah, terbiar sepi menjadi tukun tiruan. Ada juga yang ‘baik hati’ berbelanja sakan untuk keluarga, teman-teman dan buah hati. Bermewah-mewahan sebulan dua… tiga, empat atau lima… selebihnya, bulan keenam dan seterusnya terkedu kelu melihat bil yang sampai ke tangan. Surat dan panggilan ‘cinta’ bertali datang. Hati ikut berdebar… bukan dari buah hati, tapi ‘ceti’. Bukanlah pelik saat ini.. dalam usia muda belia, sudah punya gelar 'bangkrapsi'.


Hidup biar sederhana.Beringat di waktu senang… berjimat di waktu gawat. Sediakan payung sebelum hujan… menabung sedari awal dan laburkan sedikit untuk diniagakan. Utamakan keperluan dan jauhi pembaziran. Berhati-hati dengan skim cepat kaya yang beragam rupanya. Di situ ada riba, perjudian dan penindasan. Kebarangkaliannya satu antara dua- siapa untung, menindas… siapa rugi-ditindas.


Orang beriman, sederhana serba serbinya. Tidak kedekut hingga menyusahkan dan tidaklah pula boros lagi membazir berwenang-wenang. Halal haram dijaga rapi… harta di tangan tapi bukan di hati... menunjuk-nunjuk… bermegah-megah.. sungguh jauhlah panggang dari api. Ya, hidup biar sederhana asal bahagia – penuhi keperluan, berpada dengan yang ada dan tebarkan senyuman berseri... dari jiwa sentosa :)

Limpah Rahmah




Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu, nescaya berhasillah cita-cita segolongan mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu.

Padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri

dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun;

dan Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam)

dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya

dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkannya kepadamu amatlah besar.
)
~terjemahan maksud Surah an-Nisa' ayat 113~

Thursday, June 25

Pantun Budi


Asam kandis mari dihiris,

Manis sekali rasa isinya;

Dilihat manis dipandang manis,

Lebih manis hati budinya.


Ayam hutan terbang ke hutan,

Tali tersangkut pagar berduri;

Adik bukan saudara bukan,

Hati tersangkut kerana budi.


Ayam rintik di pinggir hutan,

Nampak dari tepi telaga;

Nama yang baik jadi sebutan,

Seribu tahun terkenang juga.


* Koleksi pantun Melayu

* Dewan Bahasa dan Pustaka (2000). Sekalung budi seuntai bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, June 24

Menangani Stres dengan Mengemas



Stres? Tak tahu apa nak buat? Apakata 'main kemas-kemas' (mengemas)! Mengemas apa saja - dari sekecil-kecil barang sehingga ke sebesar-besar ruang. Bergantung kepada masa yang ada. Anda boleh memilih untuk mengemas dompet, beg, dash-board kereta, laci, meja, almari, peti sejuk, bilik, balkoni, ruang tamu, laman atau mana-mana ruang yang anda suka. Mudah saja, keluarkan 'harta karun' yang tidak perlu (sampah sarap, kertas terpakai atau apa saja yang tidak sepatutnya berada di situ seperti sudu dalam almari pakaian atau buku di atas mesin basuh). Jika perlu, alih/keluarkan barang yang ada, bersihkan 'secukup rasa' (sehingga berpuas hati) dan susun semula dengan menarik. Jika suka, ubah gaya susunan dan semburkan dengan pewangi. Serikan dengan 'sesuatu' yang menarik seperti bunga segar dan sebagainya. Atau, lari dari kebiasaan dengan menggabung-jalin rempah ratus, sayuran-sayuran, buah-buahan, alatulis, pinggan mangkuk dan bahan-bahan terpakai sebagai hiasan.


Mengemas sememangnya aktiviti yang mengasyikkan. Terkadang membuat kita lupa untuk makan. Apatahlagi apabila yang dikemas itu almari buku, majalah, surat khabar dan koleksi keratan akhbar dan majalah. Terlihat tajuk menarik terus ralit membaca sehingga tidak perasan masa berlalu. Mujur saja ada kewajipan solat sebagai penanda waktu. Jika anda 'spesies' manusia sebegitu, yang pantang berjumpa buku, sebaiknya pasang jam loceng supaya tidak 'terbabas' masa dan sediakan juga kudapan yang lazat lagi berkhasiat.


Elakkan mengemas banyak ruang sekaligus kecuali anda punya banyak masa atau melakukannya secara berkumpulan supaya tidak terlalu penat dan berserabut. Lakukan berdikit-dikit. Senyum... kemas dengan riang sambil mendengar muzik /rancangan yang ceria. Ya... lakukan dengan tulus dan riang hati agar ianya bukan saja membantu meredakan stres, memperoleh ruang yang bersih, selesa dan harum, menjana idea yang lebih bernas... malah juga memenuhi tuntutan menjaga kebersihan yang merupakan sebahagian dari iman.


Selamat mengemas ! :)


Tuesday, June 23

Sebaik-baik Qudwah



"Para remaja hari ini memerlukan contoh ikutan dalam hidup. Selain ibu bapa yang sering dijadikan sumber teladan, para remaja juga amat suka kepada personaliti yang mempunyai daya selebriti seperti artis, pelakon, ahli-ahli sukan dan juga penghibur. Tetapi fitrah remaja akhirnya memerlukan contoh atau qudwah yang lebih kekal dan mendukung nilai-nilai fitrah yang tinggi. Rasulullah SAW mewakili imej teladan yang terbaik. Baik pada zaman kanak-kanak mahupun remaja. Apabila diangkat sebagai Rasul pilihan, peribadi dan akhlaknya amat terserlah dan berjaya memikat hati-hati manusia yang ingin mencari kebenaran dan keabadian".


~Prof. Dr. Sidek Baba~


* Sidek Baba (2008). Jalur berfikir remaja Islami, Shah Alam: Dar Bariyazi.

Monday, June 22

Menghitung Hari

Sudahkah anda menghitung hari? Menetapkan matlamat-matlamat kecil yang perlu dicapai setiap hari. Tidak terlalu besar hingga mustahil dan tidak juga terlalu kecil hingga tidak memberikan sebarang cabaran. Orang yang cemerlang memecahkan setiap harinya kepada beberapa bahagian, menghargai setiap saat yang dimiliki, memberikan kredit kepada setiap pencapaian (bersyukur dan meraikannya) dan tidak lupa memperuntukkan sedikit masa untuk 'bersantai' bagi menjana semula tenaganya. :)

Sunday, June 21

Citra Diri Insan Beriman


Dari Abu Abdullah an-Nukman bin Basir RA.
k
Katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang). Dan di antara keduanya ada perkara kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya.
p
Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.
Ketahuilah! Larangan Allah adalah segala yang haramnya.
k
Ketahuilah! bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati
- Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


~terjemahan maksud hadith ke-6 dalam Matan Arbain Nawawiah~

Saturday, June 20

Tips Memajukan Diri



Terdapat pelbagai kaedah untuk memajukan diri. Antaranya:


1. menghadiri majlis ilmu (secara formal atau tidak formal)

2. membaca bahan bacaan yang bermutu (seperti buku-buku berunsur agama, motivasi, ilmiah dan wacana semasa)

3. mendengar/menonton/melanggan program atau rancangan yang bermanfaat (seperti radio IKIM dan program berunsur pendidikan serta pembangunan diri)

4. bergaul dengan individu yang positif dan suka memajukan diri

5. mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri serta melakukan penambahbaikan

6. sentiasa memberikan saranan atau bercakap dengan bahasa yang positif kepada diri sendiri

7. menetapkan matlamat hidup yang jelas (jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang)


Moga Luka Cepat Sembuh




"Jodoh adalah sebahagian daripada takdir-Nya dan manusia lemah dari mengetahuinya. Bahkan tak tahu apa yang akan berlaku satu jam daripada sekarang. Kasih tak semesti bersatu. Saya sudah jangka akan hal ini. Saya takkan mampu memiliki awak... kerana awak terlalu sempurna...".


Mesej Langsat terpapar di skrin PDA putih susu. Ceri termenung seketika. Haruman Lavender dari sudut balkoni memenuhi ruang tamu kecilnya yang serba ringkas. Hadiah dan cenderahati dari Langsat tersusun kemas di dalam almari kaca. Ditelan mati anak, diluah mati bapak. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Bukan senghaja dia mahu melukakan hati buah yang selalu terlibat dengan kerja amal itu, namun demi kebaikan bersama, dia perlu berterus-terang sedari mula. Sungguh dia amat menghargai setiap lamaran kasih yang menyapa kerna ia tahu, bukan mudah untuk meluahkan perasaan. Jejaka masyarakat buahnya terlalu pemalu dan lebih suka memendam perasaan. Sangat berhati-hati bagai sang tiram yang menjaga mutiaranya dari terlepas ke tangan.


Gerimis membasahi bumi. Sepasang arowana berenang penuh gemalai di dalam akuarium. Ceri menarik nafas dalam-dalam. Tak mungkin dia mampu memuaskan hati seluruh kejadian. Keredhaan Allah dan rasul-Nya- itu yang paling utama. Diikuti ibu-bapa dan guru-gurunya. Kasih yang terabai memang menyakitkan. Namun soal hati, jodoh dan pertemuan, terkadang payah untuk dibicarakan.


"Lang... dirimu tercipta untuk memimpin buah lain pada jalan-Nya. Diri ini bukanlah terlalu sempurna cuma sudah tersurat tiada jodoh antara kita. Moga suatu masa nanti, Lang kan temui permata sejati, mencurah cinta dan bakti sepenuh hati, saling meneguh... saling mengukuh- demi Ilahi". Ceri berdoa penuh harap. Mengharapkan sahabatnya itu terus cemerlang dalam menongkah cabaran yang mendatang. Kehidupan ini terlalu singkat untuk hanya berbicara soal hati dan perasaan. Perjuangan perlu diteruskan dan amanah perlu disempurnakan sebelum diri berpulang ke pangkuan ar-Rahman.


Seekor puyuh sedang memerhatikan anak-anaknya bertatih terbang. Suara imam membaca khutbah dari masjid berhampiran jelas kedengaran. Ceri menutup PDA, mengambil wudhuk dengan tertib, mengenakan telekung putih, membentangkan sejadah putih dan berteleku dengan tenang di situ. Jumaat karim. Moga hari ini nur, barakah dan rahmah melimpah-limpah. Begitu juga esok, tulat, langkat dan seterusnya.

Thursday, June 18

Pejuang Berhati Teguh



Hai Nabi! Bangunkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika kamu berjumlah dua puluh orang yang berhati teguh, nescaya akan mengalahkan dua ratus (musuh), dan jika kamu seratus, nescaya akan mengalahkan seribu orang-orang yang kafir, disebabkan mereka itu kaum yang tidak mengerti.


~terjemahan maksud ayat Surah al-Anfal ayat ke 65~

Wednesday, June 17

Wajah Baru Pembangkang I




Ketika di kampus, tanpa senghaja, sedikit kontroversi tercetus setelah saya melepaskan artikel bertajuk Kepentingan Pembangkang dalam Kerajaan untuk diterbitkan dalam majalah kolej. Maklum saja, sayap-sayap muda parti politik sentiasa peka dengan apa yang berlaku.


Bagi saya, tiada apa yang perlu dirisaukan berhubung artikel tersebut. Ia sekadar menjelaskan mengapa kita memerlukan pembangkang dalam satu-satu organisasi sebagai pemantau kualiti 'barangan atau perkhidmatan' yang ditawarkan.


Pada saya, berada dalam saf pembangkang adalah tugas yang mulia seandainya melunaskan amanah dengan cara yang bijaksana lagi berhemah. Bagaimanapun, kedudukan pembangkang selalu dipandang serong dan negatif kerana sering bertindak seperti orang yang kalah.


Dalam situasi semasa, masyarakat memerlukan pembangkang yang berfikir, bersikap dan bertingkah seperti orang yang menang atau dalam kata lain, pembangkang yang berjiwa besar.


Tuesday, June 16

Kasihnya Nabi pada Binatang




Menelusuri kehidupan Rasulullah sememangnya indah. Tiada sekalipun singgah rasa jemu meski dibaca berulang kali.


Saya temui buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW oleh Nawawi Dasuki ketika menunggu ibu singgah di pasar Parit Sulung. Buku terbitan Wisdom Mind bersaiz A8 setebal 273 ms ini hanya berharga RM12. Penjualnya seorang remaja yang gigih berjalan ke sana ke mari mencari pelanggan. Dia bahkan memberikan saya diskaun dua ringgit menjadikan nilainya hanya RM10. Melihat kegigihannya, saya ambil dua buah, meski tahu rak buku kecil saya sudah terlalu sesak. Tambahan pula harganya agak murah berbanding isi kandungannya.


Bab ke 72 dalam buku ini mengisahkan bagaimana baginda menyantuni haiwan. Ketika Saidatina Aishah memukul unta yang sukar dikendalikan nabi menegur dengan katanya:


"Wahai Aishah, berlaku baik dan lembutlah, kerana sesuatu yang demikian akan menjadi indah. Begitu juga jika sebaliknya".


Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.


Ketika melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.


Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut.


Begitulah sebahagian daripada kisah ihsannya nabi kepada haiwan yang tidak berakal yang terkadang menyusahkan namun ditangani dengan kesantunan. Sungguh, maka benarlah bahawa Rasul itu pembawa rahmat kepada sekalian alam.



Buku ini tidak menyediakan rujukan terperinci namun usaha menghimpunkan kisah-kisah tersebut secara ringkas dan mudah difahami wajar dipuji.



Monday, June 15

Antara Dua Simpang



Wahai anakanda kesayangan...
tika ujian mendatangi
kau punya dua pilihan
menerimanya dengan tenang dan dada yang lapang
jua berusaha dan bertawakal, tiada henti
lalu dosamu dihapuskan dan darjatmu ditinggikan.

Atau...
terus bersungut dan merungut
hingga yang mudah jadi payah
yang payah tambah parah
dan kau pun menyalahkan seluruh kejadian, bahkan Tuhan
lalu dirimu dihimpit murka
dan duka pun bertimpa-timpa

Wahai anakanda kesayangan...
ujian kan tetap datang
kerna itu lumrah kehidupan
lalu terpulang pada anakanda
memilih antara dua - bahagia atau sengsara.
k
Bangi, Jun 2009.


Sunday, June 14

Jejaka Tampan?

*** Amaran : Jangan tenung lama-lama :)
Berikut merupakan tiga jejaka yang diwartakan paling tampan di dunia (terdapat dua lagi individu tetapi tidak saya sertakan di sini iaitu Hitrik Roshan dari India dan seorang penyanyi terkenal dari Turki). Tampankah mereka? Jika ya, yang mana satu yang lebih tampan di mata anda? Akan adakah lagi jari yang terpotong kerana terpesona? Ataupun...tiada satupun di bawah. Atau anda merasakan, jejaka Melayu lebih tampan berbanding jejaka Arab, India, Pakistan dan Turki? Atau, anda merasakan ayah, abang atau suami anda lebih tampan berbanding mereka? Apapun, semuanya terpulang kepada anda kerana ketampanan seseorang terletak pada mata yang memandang. Dan setiap individu memiliki kriteria tersendiri dalam menentukan 'tahap' ketampanan tersebut. Ketampanan tidak hanya terletak pada paras rupa... tetapi juga status seseorang di mata umum, kebijaksanaannya dalam mengemudi kehidupan, pencapaian dirinya dan budipekertinya yang terpelihara. Dan... jika anda seorang jejaka, soalan saya adalah: Tampankah anda? :)


Imran Abbas- seorang pelakon dari Pakistan
Hamdan Faza dari Emiriah Arab Bersatu


Cucunda King Faisal

Saturday, June 13

Corat-Coret Dunia Kampus




"... keputusan dah keluar. Alhamdulillah, akhirnya merasa juga 4.0 untuk semester akhir. Untuk semester keseluruhan, 3.78. Terima kasih atas nasihat dan doa... ".

Mesej ini saya terima tiga hari lepas dari seorang pelajar yang berdedikasi dan aktif. Alhamdulillah, akhirnya ia berupaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademiknya disamping memiliki personaliti yang menarik dan seimbang. Sungguh, tiada perkara yang lebih membahagiakan seorang guru yang ikhlas selain melihat anak-anak didiknya berjaya dalam urusan dunia dan akhirat.


Kepada adik-adik yang bakal meneroka dunia kampus, selamat datang dan tanamkanlah cita-cita untuk memperoleh keputusan yang cemerlang atau ijazah kelas pertama dengan CGPA sekurang-kurangnya 3.70 ke atas.


Usah terlalu ghairah berpersatuan pada semester pertama. Mantapkan terlebih dahulu pengajian anda. Setiap orang mempunyai kapasiti yang berbeza. Ada siswa yang boleh cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum dan ada yang sebaliknya. Kemudian, pada semester kedua, apabila telah memperoleh CGPA yang baik, secara automatik estim kendiri akan meningkat dan adik-adik juga berasa lebih tenang, ceria dan yakin. Ketika itu, saya amat mengalu-alukan adik-adik untuk bergerak aktif dalam persatuan.


Seseorang pernah bertanya kepada saya, apabila bertembung antara kepentingan akademik dan persatuan, mana satu yang perlu didahulukan. Jawapan saya -akademik. Alasannya mudah, yang satu wajib dan yang satu lagi sunat. Secara logiknya, dahulukan yang wajib kemudian barulah diikuti dengan perkara yang sunat. Apabila yang wajib telah disempurnakan, buatlah yang sunat sebanyak manapun kerana ianya mendatangkan manfaat yang besar kepada diri kita sendiri akhirnya. Jika perkara sebaliknya berlaku, saya kira, ianya amat berbahaya. Ibaratnya kita menunaikan solat tahajud sepanjang malam tetapi meninggalkan solat subuh.


Sedari tahun pertama pengajian sehinggalah ke tahun akhir, hampir sepuluh orang senior dan rakan sekolej yang gagal dan diberhentikan. Meskipun di kalangan kami, panggilannya agak manis iaitu pingat Gagah Berani, pasti ianya memberikan masalah yang besar kepada siswa yang terlibat kerana ianya melibatkan masa depan yang panjang. Kesemuanya berpunca dari penglibatan yang terlalu aktif dalam persatuan dan akhirnya ianya memberikan kesan psikologi yang negatif kepada kedua-dua belah pihak: siswa yang gagal dan persatuan yang diceburi.


Saya kira, ini fenomena yang biasa berlaku di mana-mana universiti sekaplipun. Semoga ianya tidak berlaku kepada adik-adik dan generasi selepas ini. Sudah lumrah belia terutamanya golongan pelajar pintar cerdas (genius) suka meneroka apa jua, sehingga adakalanya kehilangan fokus. Justeru, kenali diri sendiri supaya kita tahu di mana batas diri kita serta pilihlah rakan-rakan dan senior yang baik untuk didampingi dan dijadikan role-model (suka belajar, berakhlak mulia, aktif dan sentiasa positif). Tetapkan fokus adik-adik terhadap pelajaran disamping terlibat dengan aktiviti yang berupaya memantapkan kemahiran serta mengembangkan bakat adik-adik secara optimum (dalam batasan tadi).


Peluang mungkin datang hanya sekali dan kerana itulah kita sentiasa diingatkan agar melakukannya dengan cara yang terbaik. Selamat maju jaya dan semoga dirahmati. :)

Friday, June 12

Atas Nama Cinta


Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang taat, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, maka Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.


~terjemahan maksud ayat Surah al-Ahzab, ayat 35~

Thursday, June 11

Relung Duka III

berat mata yang memandang.... berat lagi bahu yang memikul...
apa mungkin.... nyawa manusia kini lebih murah dari sekilo gula?

sungguh... kita hanya memandang...sedang mereka yang merasa..



Wednesday, June 10

Bola

Saudara pernah jatuh berkali-kali dan bangkit semula? Atau, jatuh dan terus 'memenyekkan' diri di dasar lantai? Tahniah jika saudara tergolong dalam golongan yang pertama. Saudara adalah individu yang hebat dan berupaya memotivasikan orang lain. Sebaliknya, takziah jika saudara termasuk dalam golongan kedua. Saudara adalah individu yang lemah dan berpotensi melemahkan semangat orang lain. Atau, saudara termasuk dalam golongan ketiga – yang tidak pernah jatuh? Jika demikian, saudara perlu bersedia kerana lambat-laun (Insya-Allah) saudara akan jatuh jua.

Sunday, June 7

Hello PhD !




Minggu lepas, seorang teman lama yang baru ditukarkan ke kementerian baru di Putrajaya menghubungi saya dalam telor utara yang pekat.


“ Kak nak habaq ni… kak baru lepas viva. Tengah dok baca tesis Jamiah ni.. tu yang teringat”.


Alhamdulillah. Tahniah! Seronok rasanya bila melihat seorang demi seorang teman memperoleh ijazah doktor falsafah dari dalam dan luar negara.


Saya masih ingat kata-kata teman saya yang berusia dalam lingkungan 40an dan memiliki enam orang cahaya mata ini, kira-kira 3 tahun yang lepas:


“Kak ni belajar tak pandai. Naik sikit demi sikit. Tapi Alhamdulillah, Allah izinkan kak sampai tahap ni”.


Ya, itulah keistimewaan teman saya yang suka merendah diri dan tidak pernah mengenal putus asa ini. Aset utamanya adalah EQ yang tinggi. Perkataan ‘malu’ dalam menuntut ilmu dan mengembangkan kerjaya hampir tiada di dalam kamus hidupnya. Dengan IQ yang sederhana dan ketahanan diri yang tinggi (resistance), akhirnya kejayaan demi kejayaan diperolehinya melangkau teman-teman yang dirasakan lebih pintar berbanding dirinya.


Pesan saya kepada diri sendiri dan teman-teman yang sedang bergelumang dengan kuliah dan tesis, moga cepat-cepatlah bergraduat sebelum kita dijemput untuk 'pulang'. Sehelai ijazah Master dan PhD bukanlah menandakan ilmu kita sudah terlalu tinggi berbanding orang lain kerana ramai orang yang memiliki ilmu yang lebih tinggi dalam bidang-bidang tertentu tetapi tidak didokumentasikan dalam bentuk master dan PhD. Walau apapun, dalam situasi masyarakat yang materialistik dan mementingkan sijil ini, ianya penting sebagai satu bentuk jihad untuk kita mendapatkan lesen bagi menyumbangkan kepakaran secara optimum serta menjadi agen pembangunan negara bangsa… kerana sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lainnya :).

Saturday, June 6

Relung Duka II




Seseorang menghantar dua keping gambar melalui MMS-sebelum dan sesudah. Gambar pertama adalah wajahnya yang ceria tertawa iras pelakon terkenal dari luar negara. Pada gambar itu tertera tulisan yang berbunyi:


Once upon a time, they call me young gun...


Gambar kedua menyusul. Sekujur tubuh kurus cekung kelihatan seperti sedang bermogok lapar selama sebulan. Wajahnya sugul menyakitkan dengan rupa yang tidak terurus dan pandangan yang kosong, bagai menunggu tali digantungkan ke leher. Pada gambar itu tertera perkataan:


Inilah saya sekarang...



Wajah yang berbeza dalam satu nama. Katanya, silalah pilih mana satu antara kedua gambar itu sebagai kenangan andai malam itu ia berjaya membunuh diri. Detik itu sungguh sadis sekali. Semuanya penangan dadah yang telah merosakkan fungsi mentalnya sehingga tidak mampu lagi mengawal emosi, pemikiran dan perlakuan. Sungguh-sungguh dia cuba menguji 'ayat-ayat saya'. Syukurlah, esoknya ia masih lagi bernyawa dan kembali bertugas seperti biasa.


Saya tidak tahu berapa lama ia mampu bertahan. Semoga ia berjaya dalam jihadnya memerdekakan diri dari belenggu dadah yang merantainya hingga ke saat ini. Sehingga artikel ini ditulis, entah berapa belasan ribu wang dilabur untuk menempah tiket neraka jahanam. Kata seorang teman, rindu pada dadah bukan sebarang rindu. Rindunya yang penuh dendam. Rindu yang mengundang murka dan kebinasaan.


Niat sememangnya tidak menghalalkan cara. Babaknya bermula dengan niat untuk membuktikan kepada teman-temannya yang ia boleh meninggalkan dadah dengan mudah setelah mencuba.


Dadah, walau apa pun bentuk dan warnanya, usahlah dicuba-cuba. Sekali 'terkena', berpalingnya tak semudah membilang beruang koala yang tertidur kekenyangan di atas pokok berdaun rendang. Begitu juga dengan perkara lain yang jelas haram lagi merosakkan -arak, judi, zina, homoseksual, lesbian dan entah apa-apa lagi. Tiadalah salahnya jiwa bebas lagi yang suka meneroka. Terokalah apa jua asal saja tidak melangkau sempadan agama kerana jiwa yang terbabas dari fitrahnya takkan sekali tenang tenteram. Dan dalam pada itu, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu saling 'memelihara tepi kain' agar mampu terus bertahan (survival of the fittest) merentas zaman... tidak sekali-kali mereput, terkoyak dan berlubang-lubang.


Friday, June 5

Pembantu Rumah: Penyelamat atau Penyengat?





MENGIKUT statistik Jabatan Imigresen, sehingga Jun 2008 seramai 256,097 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Ini bermakna 300,00 keluarga mempunyai pembantu rumah kerana mengikut syarat satu keluarga boleh mengambil seorang pembantu rumah saja. Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman, berkata sukar untuk menentukan peratusan sebenar keluarga di negara ini yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah kerana tiada perangkaan yang tepat mengenai keluarga yang memilikinya.




Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga. Walaupun peratusan pembantu rumah di negara ini masih kecil, ia kini menjadi pilihan keluarga yang suami atau isteri keluar bekerja, terutama di bandar besar. Siti Fatimah berkata, pada asasnya pembantu rumah dilihat jalan penyelesaian bagi penjagaan kanak-kanak ketika ibu bapa keluarga bekerja.



Namun, katanya seperti bentuk jagaan lain, penjagaan anak oleh pembantu rumah sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. “Sebenarnya lebih banyak kebaikan dan faedah diperoleh sesebuah keluarga jika mendapat perkhidmatan pembantu rumah berbanding keburukan. Namun, semua itu bergantung kepada individu yang menjadi pembantu rumah itu sendiri. “Dalam keadaan normal, iaitu pembantu rumah tidak memberikan masalah atau seperti yang dikehendaki majikan, amah membantu kerja di rumah 24 jam sehari. Ini berlaku kepada amah yang tinggal bersama majikan. Namun tidak bermakna majikan boleh memerah tenaga pembantu rumahnya tanpa henti,” katanya. Beliau menjelaskan banyak faedah diperoleh jika sesebuah keluarga menggajikan pembantu rumah, termasuk pergerakan suami isteri ke tempat kerja pada waktu pagi akan lebih mudah, malah rumah lebih terurus, kemas dan bersih yang dapat memberi ketenangan minda kepada keluarga.



Pembantu rumah juga membantu menguruskan kain dan pakaian keluarga dengan baik, memudahkan kerja memasak dan majikan ada masa berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan dengan bantuan pembantu rumah yang mana masa berkenaan boleh diluangkan dengan ahli keluarga, malah perhatian lebih dapat diberikan kepada anak-anak. Lebih penting lagi, dengan ada pembantu rumah, bayi akan diberikan perhatian khusus ketika ibu keluar bekerja dan anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk. “Dengan kata lain, pembantu rumah ini menjadi penyelamat kepada keluarga yang suami atau isteri bekerja dan mengurangkan tekanan kepada keluarga,” katanya.




Apabila ada kebaikan, akan ada keburukan apabila mengambil perkhidmatan pembantu rumah bagi membantu menjaga dan menyelesaikan kerja rumah. Paling jelas, kata Siti Fatimah, pengambilan amah memerlukan kos permulaan yang tinggi dan terkini dilaporkan kosnya semakin meningkat, termasuk kos perkhidmatan dan levi pekerja. “Apabila sesebuah keluarga mempunyai pembantu rumah, perbelanjaan harian juga bertambah kerana pembantu rumah menjadi ahli dalam isi rumah. Bebanan juga wujud apabila tamat tempoh kontrak biasanya dua tahun, pembantu rumah tidak mahu menyambung kontrak mereka dan majikan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi mencecah hingga RM7,000 untuk mengambil amah baru. Ini tidak termasuk kos kenaikan gaji amah yang diambil bekerja,” katanya.




Pengambilan amah juga menimbulkan persoalan di kalangan majikan sama ada mereka mampu melaksanakan tugas, baik atau sebaliknya. “Setelah membayar sejumlah wang yang besar serta mengambil masa mengikut prosedur ditetapkan, tiada jaminan bahawa pembantu rumah yang dipilih memenuhi jangkaan majikan. Ia banyak bergantung kepada nasib. “Jika bernasib baik, dapat pembantu rumah yang baik dan pelaburan itu berbaloi. Jika sebaliknya berlaku, majikan yang terseksa kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengambil amah baru,” katanya.




Pembantu rumah juga dikatakan menyebabkan ruang peribadi tiada di rumah dan suami isteri tidak bebas kerana kehadiran orang luar dalam rumah mereka. Mungkin ada suami berasa kurang selesa kerana tidak lagi tanpa berbaju ketika di rumah dan membataskan suami isteri untuk bermesra apabila ada pembantu rumah. Keluarga yang mempunyai pembantu rumah mungkin mendedahkan anak kecil kepada salah laku dan penderaan oleh amah yang tidak bertanggungjawab. Perkara ini sering didengari dan banyak dilaporkan di media, terutama jika anak yang dijaga masih belum boleh bercakap. Anak yang sudah pandai bercakap akan mengadu dengan ibu bapa jika mereka disakiti atau keperluan mereka tidak dipenuhi pembantu rumah. Perkara ini sebenarnya, kata Siti Fatimah, masih boleh ditangani jika majikan melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa, melihat bahasa badan anak apabila bersama pembantu rumah, meminta bantuan jiran melihat anak dan pembantu rumah ketika keluar bekerja atau meletakkan kamera litar tertutup (CCTV).




Selain itu, pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan anak-anak dan mungkin boleh memberikan pengaruh buruk kepada golongan itu dari segi pertuturan dan tingkah laku. Dari sudut lain, dengan bantuan pembantu rumah, anak-anak mempunyai peluang terhad untuk berinteraksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa, selain terlalu bergantung kepada amah dan mungkin kanak-kanak kehilangan peluang diajar kemahiran hidup seperti membasuh kasut sekolah dan mengemas bilik sendiri. Malah, dalam keadaan lain, kebergantungan kepada pembantu rumah menyebabkan kanak-kanak lebih rapat dengan amah berbanding ibu bapa sendiri. “Dengan kata lain, kita lihat pembantu rumah ini seakan ‘penyengat’ bukannya menyelamatkan keadaan ketika ibu bapa keluar bekerja. Justeru, majikan yang mengambil pembantu rumah perlu bijak mencari jalan mengatasi konflik yang wujud supaya amah tidak menjadi ‘penyengat’ dan memberi 1,001 masalah kepada keluarga,” katanya.




INFO:




Kebaikan ada pembantu rumah




Bantuan domestik 24 jam
Pergerakan ke pejabat pada waktu pagi lebih mudah.
Rumah yang kemas dan bersih akan memberi ketenangan minda kepada keluarga.
Kain dan pakaian keluarga diuruskan dengan baik.
Memudahkan kerja memasak.
Masa dan tenaga berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan pembantu rumah dan masa yang ada boleh diluangkan dengan ahli keluarga.
Anak dan bayi dapat perhatian khusus daripada penjaga.
Anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.



Keburukan




Kos permulaan yang tinggi
Tiada jaminan mendapat pembantu rumah yang baik dan benar-benar cepat membuat kerja. Ini satu perjudian.
Ada pasangan berasa tidak selesa atau hilang privasi dengan kehadiran orang luar dalam rumah mereka.
Jika anak belum boleh bercakap mereka mungkin terdedah kepada salah laku atau penderaan oleh pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.
Pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak.
Pembantu rumah asing boleh memberi pengaruh yang buruk kepada anak-anak dari segi pertuturan dan tingkah laku.
Anak-anak dijaga pembantu rumah mempunyai peluang terhad berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.
Kebergantungan keterlaluan kepada pembantu rumah menghilangkan peluang anak berdikari dan belajar kemahiran hidup.
Kebergantungan yang tinggi menyebabkan anak-anak rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa masing-masing.

* Sumber - Berita Harian


Kalam Terindah


Dan jika sekiranya pohon-pohon di muka bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambah kemudiannya dengan tujuh lautan lagi, nescaya tiada habis kalimah Allah (dituliskan). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.


~Terjemahan maksud ayat Surah Luqman ayat ke-27~

Thursday, June 4

Demi Masa



Kehidupan dunia ini terlalu singkat untuk dibazirkan sesuka rasa.


Tuesday, June 2

Warna-warni Hidangan Akademia


Diam tak diam, semester ketiga sudah mencecah ke pertengahan. Untuk itu, bersama seorang teman dari Thailand, kami kembali menekuni nota-nota psikologi kanak-kanak bagi ujian pertengahan semester Khamis ini. Terima kasih kepada seorang sarjana bernama Santrock yang telah menulis buku rujukan yang terperinci, mendalam, mudah difahami dan berwarna-warni- Life Span Development edisi ke-7 dan ke-11. Terkini, edisi ke -12 sudah berada di pasaran. Saya kira, saya antara ‘peminat tegar’ buku-buku beliau sejak 'berkenalan' dengan buku ‘Adolescent Development’ pada tahun 2006. Sekarang saya sedang ternanti-nanti ketibaan buku ‘Child Development’ yang dijanjikan akan tiba dalam masa tujuh hari lagi dari Singapura (jika Malaysia menjadi hub buku-buku ilmiah, pasti urusannya lebih cepat).

Saya kira, anjakan baru dalam penerbitan karya akademik diperlukan. Entah kenapa, kebanyakan (mungkin semua) buku-buku akademik kita hanya berwarna hitam dan putih. Menghazam karya-karya akademik tidaklah sesukar yang disangka. Malah, jika kena caranya, ianya lebih ‘santai’ dan menghiburkan berbanding karya popular. Semalam saya sempat berkongsi dengan anak-anak saudara saya yang masih berusia lima (Nazira & Nazura) dan tujuh tahun (Syuhada). Ternyata mereka sangat berminat dengannya dan berupaya mencerap beberapa fakta fisiologi manusia dengan baik sambil bermain. Justeru, saya percaya, karya akademik bukan eksklusif untuk bacaan mahasiswa dan ahli akademik sahaja. Karya akademik 'enak dan berkhasiat' untuk dijadikan santapan sesiapa sahaja yang mahu belajar dan sentiasa ingin maju. Dan... chef yang hebat, bijak menggoda selera sesiapa saja untuk menikmatinya :)