Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, May 30

Masa Berkualiti ?


Sejauhmanakah kita menggunakan masa secara optimum. Seorang teman pernah mengatakan, hanya orang yang sibuk mempunyai masa. Benarkah begitu?


Ya, setiap kita diperuntukkan 24 jam sehari. Bersamaan 1440 minit dan 86,400 saat. Bagaimana kita memanfaatkan setiap saat yang kita miliki? Adakah kita perlu menggunakan 86,400 saat yang ada untuk bekerja semata-mata atau sebaliknya sekadar berangan-angan sepanjang masa? Sejauh mana kita bersikap adil kepada diri sendiri dan adakah itu yang dinamakan masa yang berkualiti? (Banyak betul soalan saya).


Masa berkualiti adakalanya digunakan sebagai pelarian. Sebilangan individu yang komited dengan kerjaya mengatakan "saya telah memberikan masa yang berkualiti untuk keluarga saya". Justeru, masanya banyak dihabiskan di tempat kerja sehingga adakalanya mengabaikan anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian yang tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapanya.


Ketika menyelia seorang pelajar di Seremban dan Rembau, seorang pengurus cari gali minyak menyatakan:


"Dahulu isteri saya juga bekerja. Bagaimanapun, pada satu hari, seorang senior kami berpesan - jangan sampai kamu menyesal kemudian, jaga anak-anak kamu kerana jika saat keemasan ini terlepas, tiada apa yang dapat dilakukan. Jangan jadi macam saya. Duit banyak pun tak guna. Sejak hari itu, kami mengambil keputusan agar isteri saya menguruskan anak-anak sepenuh masa kerana saya terlalu sibuk bekerja dan tidak sempat meluangkan masa bersama anak-anak".


Ya, pada saya, mereka telah mengambil tindakan yang bijak. Bagaimanapun, setiap keluarga adalah unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza dalam menyelesaikan masalah. Formula XYZ mungkin sesuai untuk keluarga A tetapi tidak sesuai untuk keluarga B dan sebaliknya.
k
Ibu bekerja atau surirumah sepenuh masa bukanlah persoalan utama yang menentukan keberkesanan dalam pendidikan anak-anak. Sebaliknya, apa yang lebih utama adalah sejauhmana masa yang ada digunakan secara efektif (berkesan) dan efisyen (cekap). Sebagai perbandingan, sebuah kajian menyatakan, 60% daripada kes juvana terdiri anak-anak yang ibunya tidak bekerja. Malahan, Ibu Malaysia 2008 yang mempunyai tujuh anak yang bekerja dalam profesyen perubatan (empat daripada doktor pakar) adalah seorang pesara guru yang turut menjaga ibu bapanya sendiri dan juga mertua.


Ya, persoalan yang sangat penting ialah bagaimana kita mengurus dan memanfaatkan masa dengan baik sehingga ia menjadi masa yang berkualiti sama ada dalam dunia kerjaya, dalam mengisi masa senggang (masa lapang) dan dalam kehidupan kita seharian... dalam hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia (hablum minallah wa hablum minnan nas)?

Friday, May 29

Perubahan


Adakalanya kita selesa dengan situasi yang ada. Bagaimanapun, apakata sesekali kita lakukan perubahan. Teroka situasi baru dan nikmati kehidupan yang lebih ceria dan segar. Selagi tidak menyalahi batasan syariah apa salahnya kan :). Selain meredakan stress, ianya juga meluaskan horizon pemikiran, mengenali kekuatan dan kelemahan diri, mengembangkan bakat dan mungkin juga membolehkan kita menjana pendapatan baru.


Berikut antara cadangan yang ada. Mungkin anda boleh memilih salah-satunya untuk menceriakan minggu anda atau mencari alternatif lain yang lebih menarik.


1. cuba resepi baru dan kongsikan dengan keluarga dan teman-teman

2.mengembara ke tempat baru dan menikmati keindahan beribadah di tempat-tempat baru

3. ubah atau cipta fesyen rambut dan pakaian

4. tukar susun atur perabot dan mood kediaman atau tempat kerja

5. lakukan aktiviti baru yang tidak pernah dilakukan sebelum ini

6. berkenalan dengan teman-teman baru tanpa mengira umur, status, kerjaya dan jantina... dari kanak-kanak seawal usia satu tahun hingga 'centenarian' (warga tua berusia 100 tahun atau lebih)... hayati kehidupan mereka, fahami mereka dan belajar sesuatu

7. mendengar dan mencipta lagu-lagu baru

8. ubah cara bekerja atau guna teknik-teknik terbaru dalam kehidupan seharian

9. cipta hobi baru

10. cuba peralatan IT baru atau perisian baru

11. belajar dan bincangkan topik-topik baru

12. buka kamus, belajar perkataan-perkataan baru dan gunakan dalam kehidupan seharian

13. mulakan tabiat baru yang positif seperti memandu dengan senyuman, jika malas bersenam mulakan pagi dengan aktiviti kecergasan ringan, jika sebelum ini anda suka marah-marah dan membebel... apakata tukarkannya dengan senyuman yang menceriakan

14. jika biasa memandu kenderaan persendirian, sesekali gunakan pengangkutan awam, nikmati situasi gawat dan perhatikan gelagat masyarakat

15. jika anda suka menulis, pelbagaikan bentuk penulisan...sambil bermain-main dengan idea, fakta dan konsep-konsep baru

16. lihat sesuatu perkara dari pelbagai dimensi... dan mencuba-cuba pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan sesuatu masalah

17. cipta formula dan teori-teori baru




Thursday, May 28

Tempoh Kritikal


Pembangunan anak-anak bermula dengan pemilihan pasangan kerana setiap anak bukan sahaja mewarisi harta dan reputasi kedua ibu-bapanya... tetapi juga identiti (genetik, perwatakan dan sahsiah). Dalam pada itu, tempoh paling krtikal dalam pertumbuhan dan perkembangan manusia adalah dari usianya tiga bulan di dalam kandungan sehinggalah ia berusia 5 tahun. Dalam tempoh itu, otak berkembang dengan sangat pesat. Ianya ibarat span yang boleh menyerap apa sahaja dengan pantas. Paten-paten baru terbentuk melalui rangsangan yang dilakukan oleh ibu-bapa/penjaga seiring dengan percambahan dendrit pada sel-sel neuron. Sel-sel otak yang tidak dimanfaatkan tidak akan berkembang dan akhirnya lupus begitu sahaja. Sebaliknya sel-sel yang dirangsang dengan sebaiknya akan berkembang dengan cepat. Apa sahaja yang dilihat, didengar, diperhatikan dan dipelajari oleh anak-anak dalam tempoh ini akan berkekalan sehingga usianya mencecah dewasa. Dan, ini semua menuntut ibu bapa menzahirkan role-model yang baik dan mendidik serta mengasuh anak-anak bersesuaian dengan tuntutan agama, budaya hidup unggul dan kemahiran insaniah yang bersesuaian dengan zamannya.


Persoalannya, sejauh manakah kita memanfaatkan tempoh kritikal ini untuk membangunkan generasi unggul?


Wednesday, May 27

Pepatung

Maafkan saya, paparan kali ini agak 'menjolok mata'.



Kelihatan cantik dan menawan bukan?




Inilah Miss Tiffany...

Ratu.... ops.. lelaki cantik yang telah bertransformasi menjadi... 'pepatung' yang berwarna-warni.


Persoalan: Selamatkah remaja dan belia lelaki kita dari fenomena 'Kota Sadom' ini?





Tuesday, May 26

Bengkel Kaunseling ke-26 UKM




MENGAPAKAH gejala sosial dalam kalangan belia masih terus berleluasa? Apakah puncanya? Salah satu sebab berlakunya peningkatan masalah ini adalah kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab individu serta masyarakat sendiri.


Jika masalah tersebut tidak ditangani dengan kaedah berhemah maka dikhuatiri hasrat kerajaan untuk melahirkan Modal Insan Kelas Pertama bagi merealisasikan Wawasan 2020 tidak tercapai.


Sebelum nasi menjadi bubur dan sebagai langkah pencegahan masalah sosial yang semakin berleluasa, Bengkel Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-26 anjuran Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama pelajar Diploma Psikologi (Kaunseling) sesi 2008/2009 akan diadakan pada 2 dan 3 Jun ini.


Bengkel dua hari itu akan berlangsung di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori UKM, Bangi.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Bengkel tersebut, Dr. Rozainee Khairuddin berkata, tujuan utama penganjuran bengkel itu adalah untuk memberi pendedahan, pengetahuan teori dan amali serta kefahaman, penjelasan dan peneguhan dalam bidang kaunseling kepada para peserta.


"Bengkel ini turut memberi pendedahan mengenai peranan kaunseling dalam menangani isu-isu berhubung keluarga masyarakat dan membincangkan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.


"Ia juga mewujudkan kesedaran bahawa kesejahteraan keluarga dan masyarakat menjadi tanggungjawab bersama," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.


Menurut Rozainee, pesertanya pula terdiri daripada pelajar-pelajar program Diploma Psikologi (Kaunseling) serta orang ramai.


Selain itu, Rozainee berkata, bengkel ini akan menyaksikan pembentangan kertas kerja daripada para pembentang yang terlibat dalam bengkel kebangsaan itu.


"Pembentangan kertas kerja itu meliputi topik seperti peranan kaunseling dalam kefungsian dan kohesi keluarga, kesihatan mental dan gaya kognitif remaja delinkuen serta meningkatkan kesejahteraan psikologi dan keupayaan berfikir warga tua.


"Kesihatan mental dan sokongan sosial dalam kalangan isteri yang didera, peranan psikologi dalam menangani tingkah laku agresif dan aktiviti jenayah dalam kalangan mat rempit dan sebagainya akan turut dibincangkan dalam bengkel ini," katanya lagi.


Tambahan pula, pihak penganjur menyediakan terapi pasangan dan terapi keluarga struktur untuk para peserta.


Katanya, yuran penyertaan untuk bengkel itu diklasifikasikan seperti berikut iaitu peserta atau pembentang dikenakan bayaran sebanyak RM250 manakala siswa dan para pelajar pula perlu membayar RM100.


Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut, sila hubungi Sekretariat Bengkel Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-26, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi talian 03-8915 264/ 5208/ 5210 dan faks 03-8921 3541.


Sumber: Harian Metro

Sunday, May 24

Relung Duka

tika kita merasakan
kehidupan menyeksakan
penuh dengan pancaroba
kita pandang kiri kanan
buka mata dan telinga
saksi derita yang berhamburan
di seluruh jagat raya
lalu pasti ada syukur
bernaung di bumi bertuah - Malaysia

keamanan kan binasa
saat kita lalai leka
asyik berdendang seloka
dalam jalur yang berbeza
kerna ada mata yang sengsara
melihat kita bahagia

Saturday, May 23

SPA Kereta



Jangan tak percaya, kereta juga boleh menikmati SPA :). Terletak berhampiran Hentian Kajang (4 km dari UKM, Bangi), pusat servis kereta Muhajirin One Enterprise ini menawarkan perkhidmatan yang cekap dengan harga berpatutan.


  • Servis kereta

  • Drive Thru Car Wash (cucian luaran secara pandu lalu) - RM 4.00 shj.

  • Perkhidmatan fotokopi dan produk Tupperware juga ditawarkan di sini

Masa operasinya juga unik.


  • Isnin, Selasa, Khamis & Jumaat - 6.00 pm - 10.00 pm

  • Rabu - tutup

  • Sabtu & Ahad - 9.00 am - 3.00 pm

* Catatan: Ini bukan iklan berbayar, tetapi penghargaan kepada perkhidmatan berkualiti.


Berita Gembira



"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Bagi mereka berita gembira di kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah, yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."


~ Terjemahan maksud ayat Surah Yunus, ayat 62-64~

Friday, May 22

Keranda Terbang



*Pesawat pengangkut tentera, Hercules C-130 yang membawa 110 penumpang, terhempas ke atas beberapa rumah dan terbakar di Jawa Timur semalam, 98 terkorban.


*pesawat berusia lebih 30 tahun itu terjunam ke arah beberapa deretan rumah menyebabkan bangkainya berselerakan dan asap hitam tebal menjulang ke udara.


*11 krew dan 98 penumpang menaiki pesawat itu, termasuk 10 kanak-kanak.


*Menurutnya, pesawat itu berada dalam keadaan baik dan terdapat kabus di lokasi sebelum nahas. Ia dalam penerbangan biasa dari Jakarta ke pangkalan tentera udara di Jawa Timur, menghantar kakitangan tentera dan keluarga mereka sebelum dijadualkan terbang ke Sulawesi dan Papua.


*Ekor pesawat sepanjang Kira-kira 15 meter masih bersambung, namun bahagian badan sehingga hadapan pecah dan terbakar," kata Suwardi, ketua daerah kecil di Magetan di mana kemalangan berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan. - Reuters/Agensi




----


* Persoalan: Sejauh mana tahap keselamatan pesawat tentera kita?



Thursday, May 21

Seminar Keluarga Islam






*26-27 Mei 2009

*Dewan Besar IKIM


Sesi I : Hakihat Semasa Keluarga di Malaysia

Sesi II: Baik Buruk Bentuk-bentuk Penjagaan Anak Masa Kini

Sesi III: Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Panduan untuk Keluarga

Sesi IV: Memperkasa Anak untuk Cabaran di Luar Rumah


Forum "Piagam Keluarga sebagai Asas Pembinaan Keluarga Sejahtera"

Wednesday, May 20

Indahnya Bahasa



“Dah lengkap dah… dah elok dah… cuma satu saja lagi, pakailah sarung kaki…”.


Kata-kata itu dilafazkan dengan penuh cermat dan berhati-hati dari bibir Delima, pengerusi Sekretariat Kerohanian usai solat Maghrib di surau Kolej Kediaman. Kata-kata itu, nadanya penuh keikhlasan lagi mendalam. Tiada nada benci apatahlagi menghukum. Ceri tertunduk malu biarpun tabir tebal hijau tua yang memisahkan antara jemaah lelaki dan perempuan tidak disingkapkan sedikit seperti selalu. Siang tadi, sewaktu bergegas ke dewan kuliah, dia terserempak dengan senior yang dihormatinya itu tapi malu untuk bertegur-sapa. Barangkali seniornya yang tinggi lampai itu memerhatikan setiap kaki yang lalu-lalang di hadapannya. Dan, keesokan harinya, dalam remang subuh, Ceri bersegera ke Bazar Kampus dan memenuhkan bakul basikal ungunya dengan sarung kaki baharu.

Pengurusan Marah



Mengurus marah bukan perkara mudah. Orang yang gagah menumbangkan lawan belum tentu berupaya menumbangkan marahnya sendiri. Marah adalah satu perkara yang normal. Namun, hanya orang yang hebat berupaya mengawal marahnya dengan baik.


Marah tercetus di minda. Minda yang dikuasai marah akan menghantar isyarat kepada emosi dan akhirnya terzahir dalam tingkahlaku. Orang yang hebat peka terhadap isyarat tersebut dan segera mengarahkan mindanya agar tenang dan sabar, mengunci kejap lidahnya daripada menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya, berfikir secara positif, menangguhkan pembuatan keputusan penting untuk sementara waktu dan mengawal tingkah-lakunya sehinggalah marahnya reda.

Tuesday, May 19

Harta Pusaka


Harta pusaka. Jangan sampai ada yang dinafikan haknya. Sifat tamak dan bakhil yang terlampau sering saja membuat manusia binasa. Pasangan dan anak-anak terkadang menjadikan sesetengahnya tega menindas orang lain. Namun, adakah itu hadiah yang terbaik untuk mereka? Doa insan teraniaya dan kemurkaan Allah membuatkan jiwa merusuh dan hidup serba tidak kena.


Perhatikan kehidupan manusia yang tamak haloba. Tiada keberkatan dalam hidup mereka. Manusia yang tidak bersyukur tak akan pernah puas dengan apa yang dimilikinya. Dalam beberapa kes yang saya temui, sebilangannya tidak sempatpun merasai walau sesen pun dari harta peninggalan tersebut. Ketika urusan harta pusaka selesai, dirinya sudahpun terperosok jauh di dalam kubur. Sebilangannya sempat menikmati namun kehidupannya tidakpun lebih baik dari orang lain. Musibah datang bertimpa-timpa sehinggalah ke akhir hayatnya. Kemewahan yang dihimpun dari penderitaan orang lain hanya mengundang petaka di dunia dan dalam kehidupan yang berikutnya.


Setiap yang berlaku mengandung ibrah untuk direnung-renungkan. Harta dunia yang sementara seharusnya dijana sepenuhnya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Zuhudlah dengan apa yang ada ditangan orang lain dan nikmatilah ketenangan jiwa dari hati yang bersyukur dari rezeki yang halal dan dari titik peluh kita sendiri. Dalam pada itu, tika punya kesempatan dan kekuatan, bantulah orang yang dizalimi dan menzalimi agar nurani tidak luluh saat jasad mereka pulang ke pangkuan Ilahi.


Sunday, May 17

Tragedi Influenza A (H1N1): Kepulangan yang Mengundang Bencana



Hari ini hari ketiga Cik Nor Jana berada di Sweden. Cuaca sederhana sejuk namun angin sentiasa bertiup kencang. Ramai mengatakan, dia datang pada waktu yang tepat. Umea kawasan yang tenang. Untuk ke universiti, dia hanya perlu menunggang damcykel milik Melinda (bukan nama sebenar- warga Malaysia yang sedang menuntut di universiti yang sama) merentas hutan kecil. Ternyata dia sudah cukup bersedia, sebelum terbang dia sempat berebut basikal dengan anak saudaranya yang comel. Musim semi tidak seindah yang dibayangkan. Tiada bunga berkembangan. Yang ada cuma dahan dan ranting. Siapa tahu, barangkali ada kejutan. Bunga-bunga akan berkembangan di luar jangka dan salji kan muncul tiba-tiba. Maklum saja, planet bumi sudah terlalu uzur dan bocor di sana-sini.


Tajuk di atas tiada kena mengena dengan Cik Norjana, tetapi Melinda, pemilik damcykel ungu itu yang kini ‘terpenjara’ di Malaysia. Dia dan keluarganya perlu dikuarantin sehingga 20 Mei ini kerana kebetulan dia berada dalam satu penerbangan yang sama dengan pelajar lelaki berusia 21 tahun yang telah disahkan menghidap Influenza A (H1N1) atau Selsema Khinzir kelmarin. Siapa sangka kapal terbang dari US yang dinaikinya di Sthockholm turut membawa bersama mereka virus untuk dibawa pulang ke tanah air. Pelbagai agenda yang diatur terpaksa ditangguh atau dibatalkan terus.


Mungkin ini sekadar peringatan kedua terhadap bahayanya binatang berkaki pendek dan tidak berleher ini terhadap legasi manusia ini selepas J.E. Tambah berbahaya, ia menyerang sesiapa saja walaupun tidak bersentuhan atau mengambil khinzir.
Saya percaya, mereka yang berada di dalam penerbangan tersebut bukan calang-calang orangnya. Pasti antaranya adalah pelajar pintar berpotensi hebat dan juga golongan profesional yang banyak menyumbang kepada negara. Dalam jangka masa panjang, jika wabak seperti ini tidak dapat dikawal, ia bakal melumpuhkan produktiviti dan ekonomi rakyat dan negara.
Meminjam kata Cik Norjana, ianya mungkin tidak mendatangkan masalah kewangan bagi golongan berada ataupun yang bekerja dengan kerajaan. Namun ianya pasti menimbulkan masalah besar bagi golongan berpendapatan rendah, mereka yang bekerja sendiri, dibayar gaji mengikut hari dan pekerja swasta yang tidak mendapat ihsan majikan. Apatahlagi jika mereka tinggal di bandar yang memerlukan kos sara hidup yang tinggi.


Rentetan itu, adalah tidak adil dan jauh dari logik untuk kita mengorbankan kepentingan awam untuk memenuhi sektor industri tidak halal yang akhirnya menggugat kesejahteraan manusia sejagat. Ya, ini mungkin sekadar peringatan awal dan tidak mustahil akan ada lagi peringatan-peringatan seterusnya andai peringatan pertama dan kedua ini tidak diendahkan.


Kita menghormati kebebasan beragama dan budaya hidup masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Namun untuk kesejahteraan bersama, pastinya banyak lagi spesies haiwan lain yang jauh lebih menguntungkan lagi halal dan berkhasiat untuk diternak secara besar-besaran di negara ini. Mungkin arnab adalah salah satu alternatif yang baik kerana daging putihnya bukan sahaja berkhasiat malah binatang ini begitu cepat membiak dan membesar dengan pantas. Pastinya pasarannya lebih luas berbanding khinzir bahkan menguntungkan semua pihak. Dan dengan itu, barulah 'keADILan' yang dilaung-laungkankan dapat diterjemah dengan sebaiknya.

Segugus Cinta Seuntai Rindu


Ceri memandang ke langit biru dari sudut balkoni. Gugusan awan putih berarak tenang. Air teh limau panas di atas meja menebarkan aroma citrus yang menyenangkan. Diam tak diam, sudah setahun dia bersekolah di Gombak. Taman ilmu dan budi yang membuat akal dan nuraninya terus bersinar bak Kejora di langit tinggi. Guru-guru yang bijaksana, staf pentadbiran yang sentiasa berusaha untuk membantu dan mempermudahkan segala urusan serta rakan-rakan yang prihatin. Semua itu membuat jiwanya tambah damai. Namun usah tanyakan dia peta gombak apatahlagi lokasi Carefour, Giant atau Jaya Jusco. Dia cuma tahu jalan pulang ke Bangi atau menghala terus ke Utara merentas Lebuhraya Duke dan Lebuhraya Utara-Selatan.

Angin berhembus perlahan. Udara segar bertiup dari taman botani yang menghijau subur dan mawar yang tiada jemu mengudupkan senyuman merah jambu nan harum. Memori Ceri terus berlegar jauh. Mengenang buah-buah yang telah mendidik dan mengasuh keperibadiannya. Ayahnya yang pendiam dalam tegas, berani dalam tenang dan sesekali berlucu dalam hikmah. Ibunya yang lemah-lembut jua halus berseni dalam cekatan dan jitu falsafah dalam ramah. Mereka membuatkan dirinya jatuh cinta berkali-kali sampai kini. Jatuh cinta pada Rabbi. Kecintaan yang melimpahkan cinta pada ilmu, pada kebenaran... pada indahnya Islam, pada murninya iman jua pada luhurnya ihsan. Cinta yang menjadikan dirinya bijaksana menata kehidupan. Cinta yang membuat dirinya tekal tenang meski seluruh bima sakti hiruk-pikuk bergoncangan.

"Segala puji bagi-Mu duhai Rabbi... atas limpahan kurnia-Mu yang takkan mungkin dapat kami balas walau pada sezarah oksigen yang dihirup. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerna mengurniakan kami... guru-guru yang bestari dari saat roh kami ditiupkan hingga akhir nanti. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerana menitipkan kami keluarga yang bahagia, masyarakat yang terpelihara, sahabat-sahabat yang baik budi dan anak-anak didik yang penuh santun jua seluruh kejadian langit dan bumi... sebagai guru kami". Dalam sedar, bait-bait merdu beralun dari bibirnya yang sentiasa mewah dengan kalimah tayyibah. Air jernih berlinangan dalam syukur yang terlafazkan. Adi, si kunang-kunang kesayangan, terdiam kerinduan di birai balkoni... membilang-bilang nikmat tuhan dengan sayapnya yang comel.

Saturday, May 16

Langkah Pertama




Perjalananan beribu batu bermula dengan setapak langkah. Salah satu daripada resepi orang-orang yang berjaya adalah berani memulakan langkah. Idea yang baik dan perencanaan yang teliti tidak bermanfaat selagi tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Pastikan yang ianya tidak hanya berlegar di minda agar lebih banyak manusia yang menerima tempias manfaatnya. Yakin pada keupayaan diri dan bersedia untuk menimba pengalaman baru. Letakkan sasaran yang realistik dan serlahkan yang terbaik. Yang pertama mungkin tidak sempurna namun tetap yang terbaik untuk mencipta kejayaan yang lebih bermakna.



Friday, May 15

Langkah Berjaga-jaga.

*Beberapa hari lepas, seseorang yang mewakili seorang temannya yang baru pulang dari US mengatakan: "Tak ada apalah, Malaysia saja yang kecoh-kecoh". Pada saya, lebih baik kita 'kecoh sekarang' daripada 'kecoh kemudian' yang tiada berguna.

*Apabila wabak penyakit berjangkit berlaku, kita diperingatkan dengan dua perkara untuk mengawalnya iaitu:

1. individu daripada kawasan yang masih belum dijangkiti menjauhi lokasi yang dijangkiti.
2. individu dari kawasan yang dijangkiti tidak keluar daripada kawasan yang dijangkiti.


*Saya temukan tulisan tentang Influenza A (H1N1) atau Selsema Khinzir (Swine Flu) di laman ini - The Secret Medicine dan Wikipedia.

*Apa yang dibimbangi telah berlaku dengan pengesahan satu kes itu semalam dan ia memperlihatkan kepentingan kawalan keselamatan dan juga pemeriksaan perubatan yang ketat di terminal dan sempadan antarabangsa di samping kerjasama orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera.

*Mungkinkah para saintis serta pakar perubatan moden dan alternatif kita berupaya mencari penawar bagi wabak ini dan juga wabak-wabak akhir zaman lainnya yang bakal muncul satu per satu ?

Kasih Sayang dalam Dunia Binatang



Binatang! Ia sering dikaitkan dengan tingkah-laku yang buas dan tidak berperikemanusiaan. Bagi saya, seperti juga dalam dunia manusia... tak semua haiwan begitu. Jika anda suka memelihara binatang atau selalu menonton rancangan The Planet Animal, anda akan dapat menyaksikan sifat-sifat baik dalam koloni haiwan. Perhatikan si ibu ayam. Ia lazimnya hanya akan makan setelah kesemua anak-anaknya makan. Tugas menjaga kebajikan anak-anak juga turut dipikul oleh haiwan jantan. Keluarga saya juga pernah memelihara kucing dari pelbagi generasi. Apabila ibu kucing mati, tugas menjaga anak kucing lazimnya akan diambil alih oleh abangnya yang telah membesar. Begitu juga ayam, saya selalu melihat ayam jantan memelihara anak-anak ayam yang masih kecil setelah ditinggalkan ibu ayam yang mati atau mengeramkan telur-telur baru. Ayam Turki jantan pula lazimnya bertindak sebagai pendamai. Apabila ada spesies ayam lain bertelagah, ia akan mengembangkan bulu dan ekornya, mengibas-ngibaskan sayapnya dan mengeluarkan bunyi seakan marah sehingga pergaduhan terlerai. Haiwan juga saling bekerjasama apabila terdapat musuh di sekitar mereka. Sebagai contohnya, apabila ternampak helang berlegar-legar di angkasa, masing-masing akan mengeluarkan bunyi yang bising sebagai amaran kepada binatang-binatang yang lain agar berjaga-jaga.


Sebenarnya banyak lagi perkara yang dapat dicerakinkan dari dunia haiwan. Yang nyata dalam dunia haiwan, kasih sayang tidak mengenal batasan spesies dan jantina. Terkadang manusia jauh lebih kejam berbanding haiwan. Haiwan tidak membunuh atau menyerang tanpa sebab. Haiwan hanya bertindak ganas untuk mempertahankan diri dan meneruskan kelangsungan hidupnya. Haiwan tidak menghimpunkan dua keganasan dalam satu masa seperti membunuh dan memperkosa, membunuh dan membakar mangsa, meragut dan membunuh, apatahlagi melakukan penghapusan etnik atau pembunuhan beramai-ramai dengan senjata biologi dan bom nuklear. Haiwan tidak sekejam Amerika yang telah meledakkan Little Boy dan Fat Man di Jepun sehingga mengorbankan 220,000 manusia di Nagasaki dan Hiroshima. Haiwan tidak pernah sezalim Zionis, Serbia, Komunis dan... Isabela. Bacalah sejarah manusia dan haiwan. Sungguh, binatang tak pernah sekejam dan sejahil manusia meski tiada berakal dan hanya memiliki otak yang terkadang jauh lebih kecil berbanding matanya.




Thursday, May 14

Kelapangan



Tidakkah mereka tahu bahawa Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa dikehendaki-Nya, dan menyempitkannya (bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu menjadi ayat-ayat (tanda) bagi orang-orang yang beriman.


~terjemahan Surah Az-Zumar, ayat 52~

Wednesday, May 13

Setelah 51 Tahun Merdeka



Tragedi berdarah 13 Mei 1969 masih berbekas. Rusuhan kaum yang berpunca dari jurang ekonomi antara kaum yang terlalu jauh sewajarnya menjadi peringatan yang mendalam kepada generasi hari ini. Dalam era globalisasi, jurang ekonomi bukan lagi masalah utama yang bakal menggugat kestabilan negara. Sebaliknya, perhatian kini tertumpu terhadap krisis kepimpinan, integriti dan percaturan politik mutakhir.


Seorang teman berkata, rakyat yang ‘korup’ akan memilih pemimpin yang juga ‘korup’. Dengan itu, wajarkah sistem demokrasi dipersalahkan dalam krisis kepimpinan hari ini? Atau sebenarnya rakyat sudah terlalu bijak dan terlalu berani menanggung apa jua risiko sehingga mencetuskan pelbagai polemik yang tidak terduga? Justeru, apakah kini kita perlu kembali kepada sistem monarki secara total agar tidak berlaku perebutan kuasa antara rakyat jelata? Jika ini berlaku, bagaimana pula untuk menjamin peristiwa ‘Sultan Mahmud mangkat dijulang’ atau perebutan kuasa antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah setelah kemangkatan Raja Ali di Perak tidak berulang kembali dalam lipatan sejarah tanah air. Atau kita mungkin memerlukan sistem demokrasi terpimpin atau satu badan syura yang benar-benar berkredibiliti, telus dan adil untuk memilih dan melatih pemimpin di peringkat nasional? Sebuah badan yang berupaya memastikan setiap calon yang bertanding bukan sahaja berupaya menerajui negara tetapi juga seorang negarawan tulen yang memiliki semangat patriotism, integriti dan daya juang yang tinggi walau dari parti mana sekalipun mereka berasal. Jika ya, siapa pula yang benar-benar layak dan berwibawa untuk menerajui dan mewakili badan tersebut dan berapa ramaikah pula bilangan pemimpin sedia ada yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan sama ada dari barisan kerajaan mahupun pembangkang?

Tuesday, May 12

Kembara Lebah



Masa pantas berlalu. Meninggalkan sesiapa saja tanpa sebarang bicara. Selamat terbang ke Sweden kepada Cik Norjana Saim yang bakal mengikuti program ijazah kedoktoran dalam bidang Kerja Sosial di University of Umea. Semoga dipermudahkan segala urusan,diperteguhkan jiwa, dipertajamkan akal, dikurniakan kesihatan… rezeki dan rahmat yang melimpah ruah dan selamat dari mara bahaya. Selamat bertemu guru-guru yang bijaksana dan teman-teman baru yang baik lagi bijak bistari. Istimewanya di Sweden, tiada sebarang yuran pengajian dikenakan seperti juga di Jerman. Bagaimanapun, menurut sumber yang boleh dipercayai, yuran pengajian akan mula diperkenalkan pada tahun hadapan.


Pastinya tika dan saat ini, ramai teman-teman yang sedang bertebaran ke serata benua bagai sang lebah yang gigih mengumpulkan madu dari taman-taman ilmu. Sampai masanya, dengan izin Yang Esa, lebah kan kembali jua ke sarang. Selamat kembali dan menabur budi. Kepada yang masih berhempas-pulas di medan ilmu, selamat berjuang. Jihad kita bukan hanya mengangkat senjata tetapi juga membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu kejahilan, kemunduran dan kebinasaan. Jihad kita merangkumi segala jurus dan lapangan kehidupan. Dan untuk itu, ia bermula dengan jihad membangun diri sendiri. Diikuti keluarga, masyarakat dan negara. Kita tak akan pernah sempurna dan kerana itu kita perlu saling mengingatkan, bertolong-tolongan pada jalan taqwa dan kebaikan jua saling memperteguh bagai satu bangunan.


Nanti, sampai masanya kita kan pulang jua ke negeri abadi. Semoga pulangnya kita nanti disambut dengan senyuman jua sebaik-baik keindahan – yang tak pernah terdengar dek telinga, tak pernah terlihat dek mata dan tak pernah terjangkau dek akal. Sebuah kerajaan agung – hadiah yang penuh kesempurnaan, hakcipta terpelihara … milik Tuhan, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna (bukan 'kerajaan langit' milik Ayah Pin) buat hamba_Nya yang tulus setelah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan 'Ujian Penilaian Realiti Kehidupan' (UPRK).


Monday, May 11

Guru Garang



Sesiapa yang mempunyai guru yang garang, dia akan turut memiliki sifat itu. Guru itu akan menyempitkan ketenangan yang ada dalam diri murid, mengajar anak jadi pemalas dan mengajarnya berbohong supaya terselamat dari pukulan guru itu. Guru itu mengajar anak itu menjadi penipu, maka sikap itu akan menjadi adat dan akhlak budak itu (darah daging). Rosaklah kemanusiaan yang ada dalam dirinya.


~Ibnu Khaldun~

*Dalam Zahazan Mohamed (2006). Anakku hebat anakku soleh, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

Sunday, May 10

Diam Nabi



Rasulullah SAW pendiam kerana empat perkara: Pendiam kerana sopan-santun, kerana menghargai orang lain, kerana berhati-hati dan kerana berfikir.


~Ibnu Abi Halah~



*dalam Imam al Ghazali, (2001). Akhlak seorang Muslim, terjemahan Abu Laila dan Mohamad Tohir, Kuala Lumpur: Victory Agencie.

Saturday, May 9

Hikmah




Hamba yang degil, hawa nafsunya perlu dipukul dengan tongkat, tetapi orang yang baik, cukup dengan menggunakan kata-kata.

~penyair~



*Sumber: Imam al Ghazali, (2002). Minhajul abidin, terjemahan Zakaria Adham, Kuala Lumpur: Victoria Agencie

Friday, May 8

Krisis Personaliti


"Ku... luculah... banyak pulau-pulau kita sedang mengalami split personality?". Ceri tertawa kecil. Makalah Jurnal Psikologi Tumbuhan diletakkan semula di rak putihnya. Cermin rak ditutup perlahan.


"Bahaya tu Ceri... cuba bagi contoh?" Ciku angkat kening. Setahunya split personality adalah tumbuhan yang mempunyai dua personaliti yang jauh berbeza.


"Ada banyak. Salah satunya, ada pulau yang kini menjadi hub-halal serantau tapi dalam masa yang sama... pengedar 'A' terbesar". Ceri senyum buah. Manis-manis buah.


" A tu apa Ceri?". Ciku musykil. Akhbar Warta Tumbuhan yang kian sensasi itu diletakkan semula di atas meja.


" Nama sopan untuk b*** ". Bisik Ceri perlahan. Bimbang nanti perkataan yang terakhir itu terlekat dilidah. Ciku tertawa. Lekuk lesung pipitnya bertambah dalam.


" Ceri... sopan macam manapun... b*** tetap b*** ". Ceri menjeling dalam senyuman. Matanya terbayang-bayang sekumpulan b*** sedang berenang-renang riang - menuju ke seberang.


Thursday, May 7

Maaf




"Hai anakku! Apabila engkau ingin mempersaudarakan seseorang, maka buatlah dia marah terlebih dahulu. Sekiranya dia memaafkanmu sewaktu marahnya, maka ambillah dia sebagai saudaramu. Jika tidak, maka berhati-hatilah terhadapnya".


~Lukmanul Hakim~

Wednesday, May 6

Kereta: Selepas 5 Tahun




Kereta anda sudah berusia 5 tahun? Millage kereta anda sudah melebihi 95,000 km? Jika ya, masanya sudah tiba untuk lebih berhati-hati. Mungkin kereta kesayangan anda memerlukan major service untuk memastikan kelangsungan jangka hayatnya. Mungkin juga sudah sampai masanya untuk menukar timing belt (bajet sekitar RM 250 ke atas) sebelum ianya terputus dan memberikan kesan lebih buruk kepada engin. Keadaan tayar yang botak juga membahayakan perjalanan terutamanya apabila keadaan jalan licin akibat hujan lebat.


Jika kereta anda berbunyi seperti helikopter sebagaimana yang saya alami semalam dalam perjalanan ke Behrang, ianya mungkin petanda drive sharp anda rosak (bajet sekitar RM 140 ke atas untuk satu unit drive sharp). Jika dibiarkan, tayar hadapan kereta mungkin akan mendahului anda di jalan raya. Memang melucukan dan mengasyikkan kerana anda berpeluang 'menghayati jalan raya' dan alam namun berbahaya. Selain kerosakan drive sharp, ianya juga mungkin berpunca dari tayar yang pecah atau pancit.


Belajar untuk tenang dan usah panik di jalan raya kerana ia membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Jika terdapat sebarang kerosakan atau bunyi yang 'pelik', berhenti di tempat yang selamat dan periksa keadaan kenderaan. Jika perlu, hubungi mekanik berhampiran atau agen insurans (sesetengahnya menyediakan perkhidmatan menyelenggara dan membaik pulih kenderaan yang diinsurankan pada saat-saat kecemasan). Jika sesuai, teruskan perjalanan ke tempat yang lebih selamat atau terus menuju ke bengkel kereta secara perlahan-lahan atau dalam kadar kelajuan yang munasabah. Hidupkan lampu kecemasan jika perlu agar pengguna jalan raya yang lain lebih berhati-hati dengan kereta anda yang mungkin akan terhenti secara tiba-tiba. Dalam pada itu, elakkan memandu seorang diri di waktu malam di kawasan yang sunyi kecuali keadaan memerlukan terutamanya jika anda seorang perempuan - bagi tujuan keselamatan.



Tuesday, May 5

Cantik


Sayangi diri dan terima diri seadanya. Setiap kita cantik dalam cara tersendiri. Kecantikan datang dari kesihatan. Kesihatan datang dari kebersihan dan tatacara hidup yang sempurna.


Definisi cantik sentiasa berubah mengikut zaman dan mata yang memandang. Usah biarkan diri terseksa dan binasa hanya semata-mata untuk memenuhi definisi kecantikan orang lain yang tidak relevan. Hitam atau putih, tinggi atau rendah, kurus atau gemuk, besar atau kecil, kurus atau kerinting, masing-masing punya kecantikan dan tarikan tersendiri. Kerana ingin putih, Micheal Jackson merana. Kerana inginkan kulit tan dan memiliki susuk tubuh yang menawan, ramai wanita menderita kanser. Kerana ingin kurus, ramai remaja wanita menderita bulimia dan aneroksia nervosa yang akhirnya membawa kepada kematian. Kerana ingin dipandang cantik, sebilangan wanita Asia mengambil susuk dan mengamalkan rejim kecantikan yang menjauhkan diri dari Tuhan.


Diri kita mempunyai haknya tersendiri. Mengorbankan kesihatan untuk 'cantik' adalah kesilapan yang sangat besar. Apatah lagi apabila ianya melibatkan akidah yang bakal melupuskan peluang untuk kekal cantik selamanya di syurga abadi. Ianya jelas menzalimi diri sendiri.


Kecantikan sebenar lahir apabila kita mensyukuri keberadaan diri seadanya dan memelihara setiap aset yang dimiliki sebaiknya sebagai ibadah. Kecantikan sebenar lahir dari keyakinan yang tidak berbelah bagi, ilmu yang benar, hati yang bahagia, tuturkata yang terpelihara, personaliti yang seimbang, kesederhanaan, nama yang baik dan tingkah-laku yang terpuji. Hargai diri sendiri dan berbahagialah kerana setiap kita cantik dalam cara tersendiri.


Monday, May 4

Lewat



"Adalah terlewat apabila anda berfikir hendak menggali telaga ketika anda berasa dahaga"


~Pepatah Jepun~

Sunday, May 3

Islam, Iman & Ihsan



ISLAM


Dari Umar R.A, katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datanglah kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih pakaiannya, bersangatan hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun dari kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan dengan nabi SAW lalu ia menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas kedua paha nabi, kemudian ia berkata: Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam?

Maka Rasulullah menjawab: Islam itu ialah engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendidrikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat dan engkau puasa bulan ramadhan dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya.

Ia berkata: Benarlah engkau!

Maka kami pun tercenggang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkan.


IMAN


Katanya lagi: Maka Khabarkanlah kepadaku darihal iman?

Rasulullah menjawab : Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan para rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman takdir baik-Nya dan jahat-Nya.

Ia berkata: Benarlah engkau!


IHSAN


Kemudian ia berkata lagi: Sekarang khabarkanlah kepadaku darihal ihsan. Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah engkau menyembah-nya seolah-olahnya engkau melihat-Nya tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka Ia sesungguhnya melihat engkau.


TANDA-TANDA KIAMAT


Akhirnya ia berkata,meneruskan pertanyaaanya lagi: Maka Khabarkanlah kepadaku darihal kiamat.

Rasulullah menjawab: Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang ditanya.

Kalau begitu, khabarkanlah kepadaku tanda-tandanya sahaja.

Rasulullah menjawab: Tanda-tandanya ialah bila hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggi-ninggikan binaan.


Kemudian iapun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: Hai Umar! Adakah engkau mengetahui siapakah orang yang bertanya itu? Berkata aku: Allah dan rasul-Nya lebih tahu. Rasulullah berkata: Sesungguhnya itulah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.


~Hadis riwayat Muslim~


* Terjemahan hadis kedua dalam Matan Arbain Nawawiah (Hadis Empat Puluh Imam Nawawi)


Saturday, May 2

Nikmat Sebuah Kegagalan

Anakanda...

Kegagalan bukan penghujung sebuah kehidupan. Kejayaan bukan hanya terletak pada kemilau puji. Kesungguhanmu adalah kejayaan - kejayaan menentang kemalasan, kejayaan menetapkan matlamat yang terpuji, kejayaan meneroka kekuatan diri yang selama ini tersembunyi jua kejayaan mengetahui takah dirimu saat ini.


Berbahagialah dan bersyukurlah... kerna kegagalan menjauhkan dirimu dari kesombongan, mendidikmu dengan kesabaran, mengajarmu nikmat sebuah kejayaan jua membuatmu lebih mengenal akan teman dan lawan.

Friday, May 1

Hati-hati



Hati-hati dengan pemikiran anda, ia akan menjadi percakapan anda.

Hati-hati dengan percakapan anda, ia akan menjadi perbuatan anda.

Hati-hati dengan perbuatan anda, ia akan menjadi keterbiasaan anda.

Hati-hati dengan keterbiasaan anda, ia akan menjadi sifat anda.


~Mohd Fadzilah Kamsah & Rahmat Ismail~



*Sumber:

Mohd Fadzilah Kamsah dan Rahmat Ismail, (1996). Kecemerlangan mendidik anak, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.