Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, April 30

Awas! Pencuri !



Sedang asyik menekuni Tunggu Teduh Dulu sementara menunggu seorang teman berurusan di Tabung Haji Bangi, seorang perempuan pertengahan umur berlari ke arah jalan sambil menjerit cemas: "Pencuri! Pencuri! Pencuri!. Rupanya, beliau adalah pengusaha restoran nasi ayam di Seksyen 15. Tas tangan yang mengandungi RM 20,000, dokumen pribadi dan pasport pekerjanya dilarikan seorang lelaki yang secepat kilat membuka pintu keretanya lalu melarikan diri dengan sebuah motorsikal. Semoga pencuri tersebut dapat diberkas dan wang tunai beserta dokumen yang dilarikan dapat ditemui semula.


Saya percaya, pencuri tersebut sudah lama memerhatikan pelanggan-pelanggan yang berurusan di bank terutamanya mereka yang mengeluarkam sejumlah yang banyak dan bertindak dengan pantas apabila berkesempatan. Dalam situasi ekonomi gawat, tanpa iman, ramai yang nekad berbuat apa saja untuk memenuhi desakan hidup atau sekadar untuk bermewah. Justeru, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan pihak polis perlu memperketatkan pengawasan dan rondaan terutamanya di lokasi-lokasi perniagaan yang strategik. Penggunaan buku cek dan penggunaan kad debit atau kredit mungkin antara alternatif yang lebih baik berbanding pengeluaran sejumlah wang yang besar secara tunai.


Bagaimanapun, jika kejadian seperti di atas berlaku, berikut antara perkara yang perlu dilakukan:

1. mengecam fizikal pencuri/peragut

2. mengecam no flat kenderaan pencuri

3. melaporkan kepada pihak bank secepat mungkin untuk mengecam nombor siri wang yang dikeluarkan

4. menghentikan segera semua akaun bank (blok) yang berkenaan

5. membuat laporan polis

6. menunaikan solat hajat

7. berfikiran positif agar tidak terlalu tertekan serta tenang dan rasional dalam bertindak



Thursday, April 23

Kesan Barnum



Apa bintang anda? Leo, capricon, sagitarius atau taurus? Anda lahir awal bulan atau hujung bulan? Tahun berapa anda dilahirkan... hari apa, jam berapa... pagi nirmala, siang yang 'buta', remang-remang senja atau malam gulita dengan iringan dentuman guruh dan kilat yang sambar-menyambar... dan bulan berapa? Bagaimana bentuk tubuh anda... kurus melidi, gemuk atau sedang-sedang? Bagaimana bentuk mata anda... bulat seperti guli, kuyu seperti daun layu atau sepet ayu bak Puteri Hang Li Po, hidung anda... mancung bak seludang atau comel bak jambu air, rambut anda... lurus seperti bihun atau ikal ranggi seperti me maggi perisa kari berapi, bentuk muka anda.. bulat bak bulan mengambang penuh, bersegi-segi, bujur telur, bujur sireh atau lonjong, bibir anda... kecil comel seperti kuntum bunga ros, nipis bak kulit bawang atau tebal bak buku teks sekolah rendah dan menengah? Bagaimana bentuk garisan pada tapak tangan anda... lurus atau bersimpang siur?

Anda selalu membaca ramalan bintang anda dan mengenal diri berasaskan bintang? Anda cuba mengenal keperibadian anda berasaskan fakta-fakta kejadian diri yang tidak boleh diubah? Anda gembira apabila anda diramalkan memiliki keperibadian yang baik atau bernasib baik dalam perhubungan, perniagaan dan kehidupan seharian? Sebaliknya, anda sedih kerana diramalkan bernasib malang dan memiliki keperibadian yang menjengkelkan?

Jika ya, anda sebenarnya sedang mengalami 'Barnum Effect'. Istilah ini digunakan dalam pengukuran psikologi terhadap individu yang mempercayai ramalan ataupun deskripsi tersebut adalah benar.

Persoalannya, patutkah kita mempercayai ramalan tersebut dalam menilai diri dan orang lain? Adakah ianya tidak bersalahan dengan akidah dan wajarkah ramalan-ramalan seperti ini dipaparkan setiap hari di dada akhbar dan majalah? Adakah benar keperibadian dan nasib seseorang ditentukan oleh data kelahiran dan ciri-ciri fizikalnya berbanding faktor pendidikan dan persekitarannya? Adakah ahli astrologi, ahli psikologi, pakar motivasi, ahli pembangunan manusia, ahli agama, ahli akademik, ahli politik, ahli sains, ahli perubatan, pakar fengshui, ahli nujum dan 'ahli-ahli' yang lain lebih berkuasa dari tuhan dalam menentukan nasib dan tuah manusia? Saya tinggalkan persoalan ini untuk saudara/i yang bijaksana "main fikir-fikir' sebagaimana tema laman ini :)


Wednesday, April 22

Bahana Bohong


"Hai anakku! Janganlah sekali-kali engkau bercakap bohong kerana ia akan merosakkan agamamu dan mengurangkan maruahmu di sisi manusia. Maka di saat itu, hilang sudah malumu, keindahan pekertimu dan kemuliaan dirimu. Engkau akan dihina bahkan, apabila engkau bercakap tidak didengari dan apabila engkau berkata, tidak dipercayai. Apabila keadaan begitu, maka tiadalah sedikit pun kebaikan di dalam kehidupanmu".


~Luqmanul Hakim~



* Sumber: Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, (2002). Kisah Lukmanul Hakim & kebijaksanaannya, terjemahan Ibnu Ghazali, ?: Jasmin Enterprise.

Tuesday, April 21

Apa ada pada nama?


Nama mengandung makna. Nama mengandung doa. Nama mengandung identiti meski setelah jasad bersemadi di alam barzakh. Pepatah Melayu ada mengatakan, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bahkan jika kita sorot kembali sejarah kewujudan manusia, ketika nabi Adam diciptakan, Allah juga mengajarkan baginda dengan nama-nama yang menjadikan para malaikat kagum kepadanya. Setiap kejadian mempunyai nama dan identiti tersendiri. Hatta tumbuhan dan haiwan turut meninggalkan namanya untuk dikenang generasi berikutnya (masih ingat Si Tenang? - dugong kesayangan Pak Atan). Dalam pada itu, nama turut membentuk keperibadian seseorang. Justeru, tidak hairanlah menjadi tanggungjawab ibu-bapa memberikan nama yang baik kepada anak-anaknya.


Berikut antara nama-nama yang baik bermula dengan huruf A yang disusun oleh Wan Hamzah Awang Had (2007)*:


Lelaki


1. A'alam - Panji-panji

2. Abhar - Yang bergemerlapan, Yang berseri

3. Abu Bakar - gelaran sahabat nabi, yang bersegera

4. Abu Samah - pemaaf, yang bertoleransi

5. Adabi - kesopanan, kesusasteraan

6. Adam- ikutan, teladan

7. Adham - yang hitam, cantik, kesan baru


Perempuan

1. Ababah - kerinduan

2. Abyan - yang nyata, yang jelas

3. Adabiah- kesopanan, kesusasteraan

4. Adibah - yang berpegetahuan tinggi, yang bersopan, sasterawan

5. Afiqah- yang sangat pemurah, yang sangat berpengetahuan

6. Ahlam- impian, kehalusan akal fikiran

7. Aimuni - keberkatanku



* Wan Hamzah (2007). Mendidik anak mengikut sunah, Kuala Lumpur: Progressive Publishing House Sdn Bhd.


Monday, April 20

Atasi Bertangguh



Bertangguh adalah pencuri masa yang cekap. Bagaimana mengubahnya?


1. Tetapkan Matlamat


Tentukan aktiviti penting atau matlamat yang ingin dicapai.



2. Mengubah Bahasa Minda


Gantikan frasa... "kejap lagi" dan "nanti' dengan "baiklah, saya lakukan sekarang".



3. Solat di awal waktu


Bersegera menunaikan solat.



4. Istiqamah


Konsisten sehingga sifat 'tidak bertangguh' menjadi tabiat.


Sunday, April 19

Niat


Dari Amirul Mukminin Umar al Khatab R. A. katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: "Hanya segala amal dengan niat dan bagi tiap-tiap seseorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka barangsiapa yang hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu".


~Terjemahan hadith pertama dalam Hadith 40 susunan Imam an-Nawawi~



* An-Nawawi, 1996. Hadith 40, terjemahan Mustafa Abdul Rahman, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

Saturday, April 18

Berani




Anakanda...

Beranilah untuk berjaya kerna kejayaanmu adalah tauladan

Dengan kejayaan, kau tak perlu bersyarah panjang
k
mereka nanti bertanya atau menjejakmu dalam kesenyapan

mengejar mimpi yang dulu mustahil
j
jua berfikir melangkau zaman dan makan*

lalu membangun peradaban
kkk
kk
*tempat


Friday, April 17

Mohon Bantuan: Kanak-kanak Hilang



Email ini saya terima dari Cik Norjana Saim kelmarin:

Mohon Bantuan: Kanak-kanak hilang - Nurhidayah Binti Surip (umur 11 tahun)

Mohon bantuan kepada sesiapa yang ada terjumpa anak saudara saya Nurhidayah Binti Surip (umur 11 tahun) yang telah hilang dari Asrama anak Yatim Darul Kifayah, Tmn Koop Polis, Gombak sejak hari Isnin 6 April 2009 .

Jika ada maklumat sila hubungi :

Abdul Razak Bin Salim
HEP Politeknik Johor Bahru
0177011038 / 0169326003

atau Sjn.Dalila IPK Kuala Lumpur.

.. juga saya mohon bantuan sebarkan maklumat kepada rakan-rakan terutamanya di sekitar KL


Wasiat Saidina Ali



Rasanya tidak ramai yang tahu bahawa selain dari peristiwa perang Badar, ada satu lagi peristiwa penting di dalam sejarah Islam yang berlaku pada 17 Ramadhan. Peristiwa tersebut adalah peristiwa kematian Saidina Ali r.a., Khalifah keempat setelah dibunuh di dalam satu pengkhianatan oleh Ibnu Muljam. Peristiwa ini berlaku di Kufah, ibu negara Islam pada masa itu.


Ketika Saidina Ali r.a. sedang nazak kesakitan, beliau memperbanyakkan membaca zikir ‘la ilaha ilallah’. Di hujung hayatnya, beliau telah memberikan wasiat kepada anak-anaknya, Hasan dan Husain r.a. Wasiat tersebut telah di tulis oleh mereka.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Ini adalah wasiat Ali bin Abu Talib. Dia nak saksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah. Tiada sekutu bagiNya. Dan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya. Allah mengutuskannya dengan hidayah dan agama yang benar agar agama ini menang ke atas semua agama walau pun dibenci oleh orang-orang musyrik.


“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama.” (Al-An’am: 162-163)


Aku mewasiatkan kamu wahai Hasan, semua anak-anakku dan sesiapa sahaja yang sampai kepadanya wasiatku ini agar bertakwa kepada Allah, Tuhan kamu. Jangan sekali-kali kamu mati kecuali kamu Islam. Berpeganglah kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Sesungguhnya aku mendengar Abu al-Qasim s.a.w. bersabda: “Hubungan manusia yang baik itu lebih baik dari solat dan puasa keseluruhannya.”


Lihatlah saudara mara kamu dan hubungkan diri kamu dengan mereka agar Allah meringankan hisabNya ke atas kamu. Demi Allah, Allah bersama anak-anak yatim. Jangan biarkan mereka lapar dan jangan cuaikan mereka. Demi Allah, Allah bersama jiran kamu. Sesungguhnya itu adalah wasiat Nabi kamu. Nabi s.a.w. terus menerus memberikan wasiat (agar berbuat baik terhadap jiran) sehingga kami menyangka bahawa jiran akan mewarisi harta.

Demi Allah, Allah bersama al-Quran. Jangan orang lain mendahului kamu di dalam mengamalkan al-Quran. Demi Allah, Allah bersama solat. Sesungguhnya solat adalah tiang agama kamu.


Demi Allah, Allah bersama rumah Tuhan kamu. Jangan kamu asingkan diri dari rumah Allah selagi kamu masih hidup. Sesungguhnya rumah Allah jika ditinggalkan kamu tidak akan dipandang. Demi Allah, Allah bersama bulan Ramadhan. Sesungguhnya puasa di bulan Ramadhan adalah pelindung dari neraka.


Demi Allah, Allah bersama jihad di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Demi Allah, Allah bersama zakat. Sesungguhnya zakat memadamkan kemurkaan Tuhan. Demi Allah, Allah bersama umat di bawah tanggungan Nabi kamu. Jangan kami menzalimi mereka di hadapan kamu. Demi Allah, Allah bersama sahabat Nabi kamu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kamu agar berbuat baik terhadap mereka.


Demi Allah, Allah bersama golongan fakir miskin. Sertakan mereka di dalam kehidupan kamu. Demi Allah, Allah bersama hamba-hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya perkara terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah:


“Aku berpesan terhadap kamu agar berbuat baik terhadap dua golongan yang lemah; isteri-isteri kamu dan hamba-hamba yang kamu miliki.”


Jagalah solat. Jagalah solat. Jangan kamu takut celaan orang yang mencela dalam menjalankan agama Allah. Cukup Allah bagi kamu untuk melindungi kamu dari orang-orang yang ingin berbuat jahat terhadap kamu dan melakukan perlampauan ke atas kamu. Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah ke atas kamu. Jangan tinggalkan amar makruf dan nahi mungkar. Jika kamu tinggalkan, orang-orang jahat akan menjadi pemimpin kamu dan ketika itu jika kamu berdoa, Allah tidak akan makbulkan.
Hendaklah kamu saling berhubungan dan bekerjasama. Jauhi dari khianat dan berpecah belah. Tolong-menolonglah di dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa. Jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat pedih azabNya. Moga-moga Allah memelihara ahli keluarga Nabi dan memelihara Nabi kamu. Aku tinggalkan kamu dan mendoakan kesejahteraan ke atas kamu. Moga-moga Allah akan merahmati kamu.


Selepas wasiat ini, Saidina Ali r.a. tidak mengucapkan kalimah lain selain ‘la ilaha ilallah’. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir beliau membaca firman Allah:


“maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Az-Zalzalah: 7-8)







Thursday, April 16

Watikah




"Ceri... tahniah!". Sekeping warkah ungu bertukar tangan. Watikah perlantikan dirinya sebagai Presiden Majlis Belia Ceri Serantau begitu menggamamkan.

"Kenapa saya Ku... bukankah kita punya ramai lagi belia pewaris adam dalam kesatuan kita?". Ciku geleng kepala.


"Itu kehendak majlis mesyuarat Buah-buah Comel Serantau. Awak sepatutnya bangga! ". Sudah lama Ciku memperjuangkan koata 30% daripada jawatan kepimpinan kepada wanita.

"Ku... ini petanda bahaya".


"Petanda bahaya? Ceri... mana pula bahaya, glamour adalah. Jangan lupa tempah busana terkini Ceri. Mesti esok ramai wartawan yang datang". Ceri tertawa. Kemilau bintang bukan impian meski dia punya pakej bintang. Sedari dulu, dia memilih untuk hidup sederhana dan jauh dari publisiti.

"Err... Ceri, atau ada samseng adam yang ugut bunuh?" Ciku mulai cemas. Bimbang jika kuman merah dari daerah timur laut berjangkit ke lembah mutiara. Mesej yang tertera dalam Nilam 007 segera dibeleknya dengan teliti.


"Bukan begitu". Ceri geleng kepala dalam senyum tenang. "Ku... bila hawa menerajui saf kepimpinan tertinggi, itu petanda kualiti adam kini membimbangkan". Ciku terdiam. Penyataan Ceri menjentik tangkai hatinya. Watikah ungu bertukar tangan dan minda Ciku mula ligat merangka sesuatu.


Wednesday, April 15

Timur atau Barat?




Sesetengah orang berbangga punya teman ‘mat saleh’ atau ‘minah saleh’. Bagaimanapun, lain pula halnya dengan Fifi (bukan nama sebenar):


“Muka memang cantik… handsome.. kulit putih… tinggi.. tapi susah nak cari yang bersih. Kebanyakannya suka bertukar-tukar pasangan. Ngeri bila fikir balik”.


Meskipun tidak semuanya begitu, namun label tersebut seakan sudah sebati dengan masyarakat Barat. Bahkan, kalangan cendekiawan Barat sendiri melontarkan keresahan mereka terhadap isu ini. Kehamilan di luar nikah menjadi fenomena biasa dan tidak dilihat sebagai satu kesalahan. Bilangan pasangan yang bersekedudukan bertambah kepada 60% dalam masa sedekad. Dalam pada itu, semakin ramai pula yang memilih untuk hidup bersendirian ataupun menjalani kehidupan songsang bersama teman sejenis. Seorang teman yang berasal dari New Jersey pernah menyatakan:


“Barat sudah rosak dan kini masyarakat Timur mula mengikuti jejak yang rosak itu”.


Benar, situasi ini mula menular ke Malaysia dan negara-negara Timur. Di saat Barat mula memandang ke Timur untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi krisis nilai yang melingkarinya, masyarakat Timur menjadi ‘anak ketam’ yang kehilangan jati diri. Tidak semua yang berasal dari Barat bersifat negatif, bagaimanapun, perkara yang negatif itulah yang mudah menjadi ikutan kerena sesetengahnya beranggapan itulah definisi sebenar kemodenan. Dalam era globalisasi, tanpa jati diri dan daya tahan yang teguh, sebilangan kita akan mudah ‘hanyut’ tanpa mengira peringkat usia dan status. Situasi menjadi bertambah parah apabila budaya ini dihidup-suburkan dengan bantuan pasukan media elektronik dan media cetak yang tidak bertanggungjawab.


Seorang teman dari Timur Tengah memberitahu, dia memilih untuk tidak mempunyai teman lelaki kerana budaya di tempatnya beranggapan yang ia adalah tiket untuk berbuat apa saja. Di Malaysia, melihat muka depan Harian Metro, Mastika, Warta Perdana dan beberapa majalah tabloid saja sudah cukup untuk membuatkan sesetengah kita tidak jadi membelinya. Berita-berita sensasi yang dipaparkan menjadikan sesetengah media penulisan berwibawa hampir-hampir saja setara dengan majalah bertaraf picisan. Dalam pada kita cuba menidakkan situasi yang kian gawat ini, kajian-kajian akademik memperkukuhkan lagi bukti yang ada meskipun cuba dipertikai oleh sebilangan individu yang takut kedudukannya tergugat. Bilangan yang terlibat sememangnya hanya peratusan kecil dari warga Malaysia namun jika dibiarkan ianya bakal menjadi wabak yang sukar dibendung. Pastinya, kita tidak mahu warga Malaysia yang terkenal sebagai bangsa yang santun dan berbudi tingggi ini memiliki label-label yang ‘mengaibkan’.


Untuk itu, kita perlu kembali kepada agama dan budaya hidup tinggi yang telah kita warisi sejak berkurun lamanya. Dalam pada itu, semangat kekitaan atau jamaah dalam konteks yang luas perlu diterapkan. Dan, saya percaya, saat ini… kita perlu saling ‘menjaga tepi kain orang lain’ secara beradab di samping menjaga ‘tepi kain’ kita sendiri agar kita sama-sama terbangun dengan cemerlang, disegani lagi dirahmati.


Tuesday, April 14

Ubat

Tidak semua produk perubatan, kecantikan dan penjagaan diri yang terdapat di pasaran adalah benar-benar selamat. Sebilangannya bahkan membawa implikasi sebaliknya. Ini belum lagi mengambil kira produk tiruan, penipuan kandungan bahan dan produk yag telah mencapai tarikh luput. Pengguna yang bijak berupaya menyelamatkan diri dan pengguna lain daripada peniaga yang tidak beretika dengan memboikot dan menyebarkan maklumat yang tepat. Pengguna yang bijak juga tidak mudah mudah terpedaya dengan kata-kata manis jurujual dan iklan yang dibesar-besarkan. Barangan/perkhidmatan yang baik tidak memerlukan promosi berlebihan. Dan, peniaga yang bijak berupaya menambat keyakinan pengguna dengan barangan/perkhidmatan yang benar-benar berkualiti lagi suci serta amalan etika perniagaan yang terpuji.

Saturday, April 11

Amanat



“Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu ia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).”


~terjemahan hadith riwayat at-Tirmidzi~


*Nota: Untuk bacaan lanjut, sila rujuk artikel Variasi akhlak yang membina kekuatan dan merosak persaudaraan Islam dari Pejabat Mufti Brunei



Friday, April 10

Ketam...

Saudara/i pernah lihat ketam berjalan? Betul ke ketam jalannya senget? Saya tertarik dengan isu yang diutarakan oleh Tan Sri Ali Hasyim dalam wawancara Jihad Bisnes di radio IKIM tentang ketam. Saya belum pernah memerhatikan ketam berjalan tapi saya percaya ketam berjalan senget kerana kita ada peribahasa yang berbunyi - seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Persoalannya, betul ke ketam memang berjalan senget?

Jalan ketam nampak senget dari perspektif hidupan laut lain tetapi sebenarnya jalan itulah yang terbaik. Masalahnya, anak-anak ketam selalu malu dengan dirinya sendiri kerana selalu diejek oleh si umang-umang yang suka mengambil tempat orang lain, lintah yang suka menghisap darah dan belangkas yang suka berpoya-poya. Sebenarnya, mereka cemburu dengan ketam lalu mempermain-mainkan cara jalan ibu ketam dan anak-anaknya.

Dalam konteks perniagaan, setiap individu memiliki cara tersendiri untuk mengaut keuntungan. Lintah, umang-umang dan belangkas adalah perlambangan kaedah individu mengaut untung. Ada yang cenderung menipu. Ada yang mengenakan faedah berlipat kali ganda. Ada yang berniaga di atas angin. Ada pula yang menjatuhkan orang lain untuk mengaut keuntungan. Ada pula yang menjadikan rasuah sebagai makanan. Ada pula yang mengabaikan persoalan halal dan haram. Sebaliknya, ketam melambangkan kaedah yang benar. Perniagaan yang penuh dengan kejujuran, keikhlasan dan kebijaksanaan.



Hm... anak-anak ketam sekalian, mulai sekarang jangan malu berjalan dengan cara anda yang comel itu. Pertahankan jati diri anda sebagai anak ketam.... yang sentiasa bersih lagi bijaksana. Binalah empayar ketam yang terbilang kerana... ekonomi dunia sudah hampir lumpuh dek empayar lintah, umang-umang dan belangkas. Hidup ketam! 3X :)




Empayar Tuhan



Bertasbihlah kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian. Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu.


~terjemahan Surah at-Taghabun (Tipu-menipu), ayat 18~

Thursday, April 9

Riangkan Hati




Tersenyumlah dan riangkan hati sendiri. Tenangkan jiwa dan berlapang dada. Bebaskan jiwa dari penjara kerusuhan... kemurungan jua kehuru-haraan... Padamkan api kedengkian. Singkirkan bara dendam. Leraikan sengketa dan maafkan kesalahan. Hindari kesilapan... perbetulkan keadaan dan berbahagialah...


Berlaku adillah... usah biarkan diri terus dihantui rasa bersalah. Pohonkan kemaafan dan bersedialah untuk mengakui kesilapan. Berkata benarlah dan berlaku jujurlah dalam kehidupan.. agar jiwa itu damai tenteram... aman.


Ikhlaslah dalam apa jua. Lakukan apa saja dengan penuh dedikasi... manfaatkan ilmu yang dimiliki jua terus meneroka... mengkaji tanpa jemu. Berusahalah sehabis daya dan bertawakal sepenuh hati.. tanpa secalitpun ragu. Pohonlah petunjuk ar-Rahman... redhalah dengan setiap ketentuan... optimislah jua berbaik sangkalah dengan Tuhan dan tenanglah dalam apa jua keadaan.


Tebarkan salam. Perindahkan tali persaudaraan... sesama insan... Jadilah binaan yang teguh.. lagi saling mengukuh... luruskan saf dan maralah ke hadapan... penuh keyakinan.


Riangkan hati... nikmatilah hidup ini dengan penuh kesyukuran, kerna Tuhan telah menjadikan setiap kita dengan pelbagai kelebihan dan melimpahkan setiap kita dengan rezeki yang tidak pernah mampu untuk dihitungkan... meski dengan tujuh lautan dan... sentiasalah bersedia untuk pulang... dengan jiwa yang tenang, redha dan diredhakan... jua pastinya.. dengan hati yang riang lagi diriangkan :)



Sedih, marah punca sakit jantung




Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


UMUM mengetahui, emosi terbentuk di dalam otak manakala perasaan terbit dari dalam hati, atau sebenarnya organ dalaman iaitu jantung.


Namun begitu, bagaimana pula dengan emosi negatif? Apabila anda terlalu sedih atau marah sehingga 'sakit hati', adakah keadaan emosi tersebut benar-benar menyebabkan kesakitan pada jantung anda?


Bagi mengetahui kesan tersebut, dua kajian dijalankan baru-baru ini bagi menyokong teori bahawa apa yang difikirkan otak benar-benar mampu mencederakan jantung anda.


Kajian pertama terbitan Journal of the American College of Cardiology (JACC) mendapati, wanita yang menghidap simptom kemurungan menghadapi risiko lebih tinggi diserang penyakit jantung. Wanita yang disahkan murung secara klinikal pula dua kali ganda berkemungkinan meninggal dunia akibat jantung terhenti.


Para penyelidik menyimpulkan bahawa kemurungan mempunyai impak psikologi secara terus menerus terhadap jantung kerana ia terpaksa berfungsi lebih kuat apabila berdepan tekanan.


Kajian turut mendapati, wanita murung lebih cenderung merokok, mengalami tekanan darah yang tinggi dan menghidap diabetes.


Ubat anti murung yang digunakan oleh ramai pesakit wanita juga dikaitkan dengan masalah jantung dan kematian secara tiba-tiba terutama di kalangan remaja.


Satu lagi kajian pula mendapati, mood seseorang itu mempengaruhi tekanan ke atas jantung dan bukan sebaliknya.


Kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik University College London pula menemui, lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian.


Kajian pertama menemui golongan yang didorong semangat bekerja, kompetitif dan obses dengan 'deadline', kurang potensi mengalami penyakit jantung.


Dalam kata lain, pekerja yang terlalu bercita-cita tinggi dan 'terlebih' rajin kurang risiko diserang sakit jantung berbanding golongan yang menyimpan dendam, marah dan menentang secara berselindung.


Kajian kedua menemui beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung fizikal. Ini kerana, golongan panas baran mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, tabiat pemakanan teruk, tidak bersenam, kuat merokok dan lebih gemuk.


Golongan panas baran ini pada mulanya langsung tidak menghadapi risiko, tetapi akhirnya mengalami 19 peratus kemungkinan lebih tinggi diserang penyakit jantung koronari.


Kedua-dua kajian tersebut turut menemui stereotaip jantina iaitu, wanita 'sakit' jantung akibat menanggung kesedihan manakala lelaki 'sakit' jantung dengan kemarahan.


Walaupun begitu, dua kajian bersetuju bahawa lelaki dan wanita mengetahui punca penyakit jantung seperti diet salah, kurang bersenam dan sukar tidur.


Sehubungan itu, adalah penting lelaki atau wanita tidak membiarkan diri tenggelam dalam emosi kerana boleh merosakkan mental dan organ dalaman yang paling penting iaitu jantung



Wednesday, April 8

Kena Tag II




1. Bekas kekasih saya adalah:

Seekor ayam gajah yang sangat jinak dan manja. Dilanggar seseorang tahun lepas.


2. Saya sedang mendengar:

Bunyi kipas syiling dan bacaan tilawah dari radio IKIM



3. Mungkin saya patut:
balik kampung



4. Saya suka:

hampir semua perkara... semua kerja saya adalah juga hobi saya



5. Sahabat-sahabat baik saya:

sangat baik, cerdik, versatile, 'cantik', tidak berkira, terbuka, memahami dan penyayang



6. Saya tak paham:

Bahasa Mandarin, Urdu, Jepun, Korea, Jerman, Perancis, Banjar dan Bugis.



7. Saya kehilangan:

umur saya pada setiap lafzah yang berlalu.


8. Ramai yang berkata saya:

baik, pandai (hihi... aaamiiin!), cool je... dan suka senyum



9. Makna nama saya:

Jamiah- universiti, yang menyatupadukan, perhimpunan.

Miah- seratus.

Ayah saja bagi nama ni sebab saya lahir malam Jumaat.



10. Cinta itu adalah :

rasa kasih yang mendalam pada sesuatu



11. Di suatu tempat, seseorang sedang :

khusyuk menunaikan solat dalam sajli tebal. Titis air matanya membeku di wajah. Di luar, angin bertiup kencang dan dia tetap tenang... damai dalam pengabdian.



12. Saya akan cuba :

sempurnakan pengajian saya tahun ini :)



13. Ayat SELAMANYA membawa maksud:

kekal abadi - kholidina fi ha abada...



14. Telefon bimbit saya :

sony ericson K608i. Beli tiga tahun lepas di Mines. Adalah juga jam loceng, kamera (1.3 mega pixel), radio, perakam video dan jadual waktu saya.



15. Bila saya terjaga dari tidur:

Senyum, lihat jam tangan, buka tiga ikatan dan sambung kerja sekolah.



16. Saya paling meluat apabila:

ada batu api, hipokrasi, agama dipersenda dan dosa melata.



17. Pesta / Parti adalah:

majlis/suasana yang sangat meriah... pesta buku, pesta IT (PC Fair) ... pesta ibadah... pesta konvokesyen... pesta bunga...pesta pertanian, pesta buah-buahan dan pesta makan-makan...



18. Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah:
Anak-anak arnab saya (1 bulan) - putih gebu, hitam putih dan kelabu asap.


19. Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah:
Sekolah rendah, undergraduate dan sekarang.


20. Hari ini :
Saya sudah hantar kertas-kerja yang ke-4, dan menikmati nasi bukhari kambing sebagai hadiah.


21. Malam ini saya akan:
siapkan modul dan tidur.


22. Esok pula saya akan:
Pulangkan buku di perpustakaan dan hantar modul pada cikgu.


23. Saya betul2 inginkan:
Menziarahi keluarga.... rinduuuuuu.... !


24. Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini:
Senyum. Itu hobi saya juga... dulu, kini dan selamanya. :)


25. Pusat membeli-belah atau arked permainan :

Sekitar Bangi, Batu Pahat dan Putra Jaya. Tempat-tempat lain - hanya jika perlu, dibawa seseorang atau tersesat jalan.


27. Bilik yang terang atau gelap:

Selalunya terang-benderang... mungkin esok boleh mula bergelap atau guna cahaya samar.


28. Makanan segera adalah:

Segera untuk dimakan... tak sampai 2 minit untuk disiapkan... contohnya... bubur oat, sup halia telur dan biskut Jacob cicah susu



29. Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang?:

Terima kasih (selepas menerima sepotong tembikai susu).



30. Siapa yang anda nak TAG?

Calon-calon pilihanraya Bukit Gantang (yang 15 orang itu) ... dan barisan Menteri Kabinet baru Malaysia. ... hm, boleh ke.. Cik Salina? :)



L'Aquila




  • L'AQUILA (Itali)

  • Gempa bumi pertama: 5.8 dan 6.3 pada skala Richter, melanda sejurus selepas jam 3.30 pagi waktu tempatan kelmarin, mengejutkan penduduk yang tidur, meranapkan rumah, gereja dan bangunan lain di 26 bandar raya dan pekan.

  • Gempa susula: 11.26 pagi waktu tempatan dilaporkan, 4.7 pada skala Richter

  • 207 maut dan lebih 1,500 lagi cedera.

  • Agensi perlindungan sivil meletakkan bilangan yang hilang rumah seramai 50,000, tetapi pihak berkuasa memberi angka 17,000.

  • Beribu-ribu penduduk berlindung di dalam kereta dan khemah.

  • Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi - mengisytiharkan darurat

  • Juruteknik makmal, Giampaolo Giuliani, berkata dia meramalkan gempa bumi itu menggunakan sistem direkanya untuk mengukur jumlah gas radon yang dibebaskan bumi. Laporan berita menyebut, Giuliani dipaksa menarik balik amaran umum dikeluarkannya di internet dan meminta maaf. Bagaimanapun, dalam temu bual dengan stesen televisyen RAI malam kelmarin, Giuliani menegaskan dia memberi amaran kepada pihak berkuasa dan tidak pernah memberitahu umum

  • AP/Reuters


Sumber: Berita Harian



Syair Siti Zubaidah


(1)

Dengarkan Tuan Suatu Peri,

Listen, Sir, To A Story

Syair Dikarang Dagang Yang Gahri,

Song Written On Trade Of Wealthy

Bukan Menunjuk Bijak Bistari,

Not Meant To Show All-knowing

Sekadar Menghibur Hati Sendiri

Only Meant For Entertaining

(2)


Bukan Bijak Fakir Tunjukkan,

Not Meant To Show Off, I say,

Sekadar Cerita Hendak Dinyatakan,

Only Just A Story To Bear,

Orang Dahulu Sahaya Nyatakan,

Of Old Days’ People, To Clear,

Riwayat Orang Yang Dikarangkan.

A People Story Written So Dear.


(3)

Encik Dan Tuan Muda Yang Pokta,

Sirs And Gentlemen Of Wisdom

Jangan Kiranya Fakir Dikata,

Let Not I Be Said & Doom,

Kerana Mengarang Suatu Cerita,

For Writing A Story Resolve,

Hendak Melipur Hati Bercinta.

To Entertain The Heart In Love.

(4)


Kerana Fakir Hina Dan Miskin,

Of I Who’s Humble & Poor

Tiada Menaruh Baju Dan Kain,

Of No Good Cloaks & Cloth for sure,

Lagi Kerja Tiada Yang Lain,

Of Not Else To Do I say,

Disuratkan Syair Jadi Pemain.

Writing Song (Syair) Just For Play.

(5)


Inilah Kisah Suatu Cetera,

This Is A “Cetera” (Story),

Ceritanya Raja Kembayat Negara,

Of King Of Kembayat Negara,

Kerajaan Besar Tiada Terkira,

Of Kingdom Size Unimaginable,

Banyak Raja-raja Tiada Setara.

Many A King Not comparable.


(6)
Inilah Konon Akan Ceteranya,


This Would The Story Be,

Seorang Raja Sangat Besarnya,

Ruled By A King Of Greatness,

Sultan Darman Syah Konon Namanya,

Sultan Darman Syah Was He,

Kembayat Negara Nama Negerinya.

Kembayat Negara Kingdom Of Finest


(7)

Adil Dan Murah Lagi Berani,

Just & Generous, And Courageous,

Rakyatnya Banyak Tiada Terperi,

His People Were Many & Countless,

Namanya Masyhur Ke Sana Sini,

Here And There His Name Was Famous

Warta Baginda Raja Yang Ghani.

His Highness It’s Said One Of Richness.



(8)

Beratus Menteri Dengan Hulubalang,

Hundreds Of Ministers And Soldiers,

Rakyatnya Banyak Tiada Terbilang,

His People Aplenty & Countless,

Takluknya Banyak Bukan Kepalang,

Governing Lands Of Great Vastness,

Menghantar Ufti Tiada Berselang.

Never Short Of Gifts & Taxes.



(9)

Adi Pendekar Johan Pahlawan,

Adi, A Warrior, A Champion Fighter,

Gagah Berani Tiada Berlawan,

Strong Brave Undisputed No Matter,

Seorang Wazir Sangat Bangsawan,

A Cultured Man, A Minister,

Memerintah Di Bawah Baginda Nan Tuan

Governing Under His Highness, His Master.



(10)

Negerinya Besar Jananya Tentu,

Country Was Big, Powerful Certainly,

Dagang Senteri Berhimpun Di Situ,

Traders Gathered There So Many,

Ramainya Bukan Lagi Suatu,

That Was The Place No Doubt Lively,

Limpah Makmur Negerinya Itu

A Country Blessed With Prosperity.



(11)

Berapa Pula Saudagar Yang Kaya,

How Rich Many Traders There Were,

Berniaga Di Dalam Negerinya Dia,

Trade In Kingdom Of His Highness Dear,

Pakaian Dihiasi Dagangan Yang Mulia,

Well-clothed With Respected Trade Gear,

Tempat Orang Bersuka Ria.

Place To Be Merry For Sure.



(12)

Adapun Akan Baginda Nan Tuan,

So Be His Highness The Master,

Terlalu Arif Lagi Dermawan,

Knowledgeable & Generous In Manner,

Gagah Berani Sangat Pahlawan,

Strong & Brave, And So Heroic,

Adil Dan Murah Lagi Setiawan.

Just & Generous To His Public.



(13)

Syair Mohon Diri

Closing Poem

Setakat Ini Mohon Berhenti,

Syair Dibaca Penuh Erti,

Pendengar Budiman Yang Tinggi Pekerti,

Semoga Kita Berjumpa Lagi.

Allow Me To End, And So I Should,

The Poem’s Read Meaning So Full,

To You Listeners High In Honour,

Till We Meet Again, One Another.




Disusun semula oleh Tuan Hj Abdul Hamid Ahmad dan diterjemah oleh En Yahya Hamid

Sumber: Persadaku , Persada Masyarakat











Tuesday, April 7

Demam & Ibu



"Jangan serah anak pada orang lain walau sibuk macam mana pun, bila jadi macam sekarang, menyesal tak berguna".


Begitu luahan hati seorang teman. Demam yang disangka biasa rupanya membawa virus denggi pada si kecil yang baru berusia 4 tahun. Suaminya pula ikut demam kerana keletihan berulang-alik dari Sarawak ke Semenanjung untuk turut sama menjaga si kecil. Mengingatkan itu, seorang lagi teman segera bergegas ke klinik apabila dua buah hatinya diserang demam panas. Sekadar bergurau, seorang teman yang lain bertanya:


"Izzah (bukan nama sebenar) kenapa tak demam sekali?"


"Eh! Saya kuat!". Sahutnya jua dalam nada gurauan.

Itulah kekuatan emosi seorang perempuan terutamnya yang bergelar ibu berbanding kaum adam. Sifat penyayang yang melimpah menjadikan hatinya cekal dan tabah meskipun dalam masa yang sama mindanya penuh dengan pelbagai agenda dan tangannya tak pernah menang tangan untuk bekerja (multi-tasking). Moga Allah memberkatinya jua semua ibu-ibu yang lebih mementingkan keluarga berbanding dirinya sendiri. Justeru, tiada hairanlah kita sentiasa diminta mendahulukan kebajikan dirinya tiga kali ganda berbanding bapa kerana ibu sering terlupa menjaga kebajikan dirinya sendiri dek kerana sibuk menjaga kebajikan orang lain.




Monday, April 6

Berlari



Masa terus berlari. Deras tanpa henti. Bumi terus berputar di atas paksinya. Hutan kian musnah. Ozon kian terhakis. Bahang mentari kian terik. Glasier kian mencair dan bencana alam kian bertimpa-timpa datang. Tanpa menghiraukan itu semua, kita terus memburu kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan. Dalam memburu kecemerlangan, kesilapan menjadi frasa yang menakutkan. Sesekali dalam kekalutan mengejar masa, kita terlupa memerhatikan lopak-lopak kecil, ranting-ranting halus dan batu-batu yang berselirat lalu tersadung dan luka berdarah. Namun, kelukaan itulah yang memberikan pelajaran yang mendalam untuk diambil perhatian. Belajar dari kesilapan dan teruslah memecut selaju cahaya kerana baki masa yang ada, sudah terlalu suntuk.

Saturday, April 4

Sedekah

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?
Katakanlah:
Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada:
kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat,
dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin,
dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan..."

~terjemahan maksud surah Al-Baqarah ayat 215~



"Sedekah yang diberikan kepada orang miskin adalah satu pahala sedekah,
dan yang diberikan kepada sanak-saudara adalah dua pahala,
satu pahala sedekah dan satu pahala hubungan persaudaraan"

~terjemahan hadith riwayat al-Nasa'i dan al-Tirmizi~





"Sedekah yang paling utama ialah sedekah yang diberikan kepada sanak-saudara yang memendam rasa permusuhan di dalam dirinya"

~terjemahan maksud hadith riwayat al-Thabrani~

'

Friday, April 3

Menangislah...




Menangislah andai itu membuatmu berlapang dada

Berdukalah andai itu membuatmu menghargai masa ria

Bermenunglah andai itu membuatmu sentosa mendepani hari muka


Sesekali, tiada mengapa*

dalam tangis, dalam tawa... bahagia tetap ada





* kalau selalu, dapatkan 'rawatan' segera