Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, November 29

Kembara Cinta dan Sebuah Aku-Janji


Cinta membawa mereka

berbondong-bondong ke rumah-Mu

meninggalkan yang dicintai

demi cinta-Mu


Cinta menyatukan mereka

sujud bersimpuh ke rumah-Mu

melupakan darjat mereka

mengemis cinta-Mu


Cinta melontarkan mereka, ke gerbang bahagia

mengecap indah Zulhijjah dalam gema talbiah

menyusur jejak Hajar dari Safa ke Marwa

mengenang cekal Ibrahim dan luhurnya Ismail

dengan pengakhiran yang indah


Cinta mereka... sejernih zam-zam yang berlimpahan

manis menyegarkan

seluhur darah merah yang bertumpahan

demi cinta-Mu

jua hati-hati yang bergetaran

dalam munajat yang padu


Kembara cinta mereka

takkan terhenti di sini

kerna hati tulus terpateri

sebuah aku-janji :


"Inna solati.. wanusuki...wamahyaya.. wamamati... lillahi rabbal a'lamin"




Wednesday, November 18

Salam Eidul Adha



Selamat menunaikan ibadah korban yang 'menggetar-luruhkan' seluruh jiwa.... bersama-sama kita mendoakan agar jutaan insan terpilih yang membanjiri Tanah Suci Makkatul Mukaramah pulang ke tanah air tercinta dengan haji yang mabrur lagi sempurna.
Salam kecemerlangan. Semoga hari ini sentiasa lebih dari semalam yang ditinggalkan.


Nota: Laman ini mulai bercuti hari ini dan akan jarang atau tidak dikemaskinikan sehingga 30 November 2009.

Tuesday, November 17

Hidup 'manis' sekarang, terseksa kemudian



Oleh ZULKIPLE IBRAHIM


MENURUT laporan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) pada tahun 2007, hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidapi kencing manis. Bagi statistik untuk tahun 2008, jumlah ini meningkat sebanyak 650,000 orang dan angka ini dijangka terus bertambah bagi tahun 2009.


Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian dan ramai pesakit diabetes hanya menyedari mereka menghidap penyakit itu apabila timbul komplikasi.


Sebenarnya diabetis ialah satu penyakit yang boleh dielakkan, melainkan ia berpunca daripada genetik, tetapi gaya hidup di zaman moden ini menyebabkan penyakit itu semakin senang dihidapi.


Kandungan tinggi gula dalam darah


Menurut pakar endokrinologi serta juga pakar nutrisi/pemakanan, Dr. S. Menon, diabetes terjadi bukan dalam sekelip mata tetapi hanya muncul dalam jangka masa yang agak panjang setelah pesakit mempunyai kandungan gula di dalam darah yang tinggi secara berterusan.
Ini akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula tanpa kawalan, diet yang tidak seimbang serta juga amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang senaman dan aktiviti fizikal.


"Diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi, dan akan muncul apabila suasana sudah menjadi tidak terkawal. Bagaimanapun diabetis bukan hanya bergantung kepada faktor nutrisi sahaja tetapi juga genetik.


Kisah Azhar


Dr. Menon memaparkan kisah Azhar (bukan nama sebenar) yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman di sebuah negeri di Pantai Timur dan tidak mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapanya memang menghidapi diabetes bapanya.


Sejak pada umur awal belasan tahun, Azhar sudah mula mengalami tanda-tanda diabetes seperti tahap kehausan yang amat sangat, cepat letih, kerap buang air kecil pada waktu malam dan juga keletihan.


"Saya tidak mendapatkan rawatan kerana menganggap itu hanya perkara biasa sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran di universiti," kata Azhar.


Menurut Azhar, apabila dia mengalami bisul bernanah di belakang kepalanya, barulah mengetahui yang beliau menghidapi kencing manis.


Ibu bapa serta abang-abangnya meninggal dunia kerana myocardial infarct (tisu jantung tidak mendapat cukup bekalan oksigen) iaitu satu daripada komplikasi diabetes.


Kandungan karbohidrat yang tinggi


Bagi seorang lagi pesakit diabetes, gaya hidup dan diet yang tidak sihat menyebabkan beliau menghidapi kencing manis.


"Dari kecil, saya memang mengambil diet yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Sarapan pagi ialah nasi, makan tengah hari pun nasi, makan malam sudah tentulah juga nasi dan kalau keluar minum lewat malam pun nasi.


"Kalau nak kata senaman, memang jauh sekali dan memang tidak pernah saya lakukan," katanya.


Bagi Manan pula, ketika beliau berada di universiti, beliau mula ketagih minum air berkabonat.
"Setiap malam, saya ambil minuman ini hinggalah saya mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang kerana diabetes," tambahnya.


Diabetis juvenil


Menurut Dr. Menon, sekiranya kencing manis diwarisi melalui faktor genetik iaitu daripada ibu bapa, biasanya ibu, seseorang itu akan mempunyai diabetes dari kecil dan ini dikenali sebagai diabetes juvenil atau diabetes Type I.


Bagi mereka yang menghidapi kencing manis ketika umur sudah meningkat, diabetes ini dikenali sebagai Diabetes Type II atau maturity onset dan ini terjadi dari sebab faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.


Menurut Dr. Menon, walaupun komplikasi diabetes yang selalu diceritakan memang menakutkan, masih ramai yang seolah-olah tidak peka terhadap masalah ini hinggalah kepada satu tahap yang agak terlambat.


Komplikasi diabetes memang bahaya dan tidak hairanlah apabila diabetes digelar sebagai 'ibu kepada segala penyakit'.


Antara organ yang akan terlibat ialah mata (katarat, glaukoma dan retinopati), buah pinggang (penyakit dan kegagalan), saraf (neuropati), jantung dan salur darah (penyakit kardiovaskular), gusi (penyakit periodontal) dan kaki (saluran darah terganggu menyebabkan gangrene serta amputasi).


Amalan hidup sihat


Bagi Dr. Menon, amalan hidup sihat serta diet yang seimbang memang selalu dipertuturkan oleh fraterniti perubatan bagi mencegah penyakit diabetes.


Biasanya ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi, kata beliau.


Ini ialah nasihat Dr Menon kepada orang ramai:


"Diabetes mengambil masa yang agak lama sebelum terjadi. Kadang-kadang langsung tidak ada tanda dan gejala sebelum kita sedar yang kita ada kencing manis.


"Jadikan kebiasaan untuk menjalani pemeriksaan setiap tiga atau enam bulan setidak-tidaknya. Bagi mereka yang sudah ada diabetes, adalah penting bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor".


Ambillah makanan seimbang dan selalu amalkan senaman, elakkan merokok dan mengambil minuman beralkohol. - Bernama


Sumber: Utusan Malaysia

Monday, November 16

Berfikir di Luar Kotak




Sedih, sakit hati, cemburu, geram dan kecewa?

Apakata atasinya dengan memikirkan perkara yang lebih besar. Terkadang kita terperangkap dalam diri sendiri. Untuk itu, jangan takut untuk meluaskan sempadan pemikiran. Fikirkan perkara lebih besar dan terkehadapan.


Fikirkan senario yang berlaku di seluruh dunia... bencana alam, peperangan, kebuluran, penindasan dan pelbagai lagi. Dengarkan rintihan mereka... kesedihan..ketakutan... dan kesengsaraan yang tiada putusnya. Letakkan diri dalam situasi mereka dan fikirkan apa yang mampu dilakukan untuk melepaskan mereka dari kitaran sengsara.


Sesekali, cuba bayangkan diri saudara seorang Perdana Menteri yang baru dilantik selepas perang meletus, apa perancangan saudara untuk menangani konflik dalaman dan luaran yang berlaku?


Bayangkan diri saudara di tempat Presiden Barack Obama, Presiden Ahmadinejad, Napolean Bonaparte, Hitler, Malcom-X, Ghandi atau mana-mana pemimpin dunia yang saudara kagumi.


Percayalah... jika mereka terlalu memikirkan tentang diri mereka sendiri, disinggung sepatah merajuknya bertahun, ditegur sedikit sudah melenting berbatu-batu, di'provok' secuit sudah melatah tiada henti, dimaki hamun sekati sudah nekad membunuh diri... saya percaya... mereka tidak akan ke mana-mana.


Apapun, tiada salahnya saudara bersedih dan bermuram durja barang seketika. Kesedihan dalam sela waktu tertentu berupaya untuk menjadikan minda lebih fokus. Fungsinya ibarat makanan pahit yang mengimbangi rasa manis, tawar dan masin dalam gizi pemakanan. Manusia yang sejahtera bukanlah manusia yang tidak pernah berasa sedih dan tertekan. Sebaliknya, mereka merasai semua itu tetapi cepat sembuh kerana mampu mengendalikannya dengan baik.


Fikirkan perkara lebih besar.... dan akhirnya, barangkali nanti saudara akan mendapati... permasalahan yang saudara alami itu ibarat seekor kelkatu di tengah-tengah rimba belantara yang luas terbentang. Dan... dengan itu, sauadara lebih mudah berlapang dada dan merasakan permasalahan saudara itu lebih mudah untuk diselesaikan... kerana minda saudara telah diasuh untuk fokus kehadapan dan menyelesaikan permaslahan yang jauh lebih besar.



Saturday, November 14

US Rampas 4 Masjid

Bangunan yang didakwa menempatkan Yayasan Alavi yang kini kosong di Carmichael, California. Pendakwa Raya Persekutuan AS sedang mengambil langkah untuk merampas bangunan tersebut serta empat masjid dan sebuah menara 36 tingkat di New York yang dimiliki oleh yayasan tersebut yang disyaki menyalur wang secara haram kepada kerajaan Iran -AFP.


Nota:

1. Sumber: Utusan Malaysia

2. Tragedi Fort Hood = 11 September?

3. Islamifobia atau Anti-Muslim?


Friday, November 13

Sombong & Akal





*Ambilan dari Ihya Ulumiddin


Thursday, November 12

Wednesday, November 11

Membangun Tekno-Murabbi



Perspektif Ikim: Gabungan dakwah, teknologi cetus pembangunan jiwa ummah



Oleh Norkumala Awang



KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan dalam memartabatkan dakwah agar pengajaran dan maklumatnya sampai kepada khalayak dengan cepat, tepat dan berkesan. Kombinasi kedua-dua elemen, iaitu dakwah dan teknologi mampu mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah. Kehebatan teknologi yang wujud pada era sekarang harus dipandang sebagai satu kelebihan untuk dimanfaatkan bagi mereka yang bergelar teknodaei atau pendakwah pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menyoroti sejarah dakwah Islam tersebar dan disampaikan kepada umat manusia, kisah Nabi Musa AS boleh dijadikan iktibar. Bagaimana Baginda dianugerahkan Allah dengan mukjizat tongkat kerana zaman itu kepakaran sihir adalah antara ciri kekuatan dan menjadi pelindung kepada kezaliman penguasa.


Hakikat inilah yang memaparkan bahawa cara dan pendekatan dakwah mesti bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa. Namun, kecanggihan dan kepesatan teknologi pula tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam itu dapat difahami dan bertapak ke setiap jiwa manusia. Duduknya kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu ilmu itu bukan terletak pada kehebatan teknologi, tetapi terletak kepada mutu kandungan ilmu itu. Dalam hal sebegini, adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi itu perlu diberi penekanan. Oleh itu, teknologi sekadar membantu teknodaei untuk memudahkan kefahaman Islam itu disampaikan. Dalam sifat yang lebih global, perkembangan teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah menerusi pelbagai media, contohnya internet, filem, iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.



Persoalannya, bagaimana untuk menggunakan medium itu agar ia berkesan dalam penyampaian ajaran Islam dan lebih daripada apa yang sekadar dipaparkan. Sebaliknya mempunyai mesej yang sesuai dengan realiti dan kehendak sebenar masyarakat Islam. Masyarakat kita amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah satu peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat nilai murni. Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka. Dari sinilah akan bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang dahagakan alternatif lain untuk bagi mempelbagaikan tontonan mereka. Dominasi media elektronik perlu membabitkan pengamal yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahirlah produk yang sarat dengan pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat. Dengan kata lain, penyedia program media elektronik tidak terbelenggu dan stereo taip malah sentiasa mencipta semula program yang lebih menarik daripada yang sedia ada.



Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara membabitkan pendengar atau penonton, tetapi di kalangan pembaca juga perlu diambilkira. Sastera mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya cenderung dan memahami Islam sebenar. Namun, peranan yang dimainkan penulis yang perlu dibuat penambah baik agar elemen Islam dalam karya penulisan dapat digarapkan seterusnya menambat hati pembaca. Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama. Di sinilah wujud halangan sebenar dalam dakwah, iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur pentarbiahan dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.




Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan ‘tekno-murabbi’ dalam konteks pembangunan jiwa ummah? Sebagai pengguna teknologi, kadangkala kita tiada asas untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat ekoran daripada keterbukaan dunia kini.




Nota:

2. Asas pembinaan jati diri 'tekno-murabbi' bermula di rumah, disuburkan di sekolah dan Intitusi Pengajian Tinggi, dimantapkan dalam dunia kerjaya dan diuji secara berterusan di tengah gelanggang masyarakatnya.
3. Iltizam ummah kepada ilmu dan kebenaran membentuk peradaban sempurna.







Tuesday, November 10

Saya kehilangan ibu...




"... awal tahun 2009 saya telah kehilangan ibu kesayangan...
saya agak kehilangan arah walaupun saya nmpk seperti biasa dan masih lagi ceria melalui hari-hari mendatang tetapi segala kesakitan itu saya pendam seorang diri".




Kehilangan insan yang terlalu signifikan dalam hidup kita pastinya bukan mudah untuk diterima. Kesedihannya masih terasa walau berdekad masa berlalu. Bagaimana menanganinya?


Warkah di atas adalah sebahagian dari coretan rasa seorang siswi lewat e-mail. Maafkan saya, warkah ini termasuk ke dalam ruangan junk box dan baru saya temui. Warkahnya panjang dan memerlukan jawapan yang juga panjang.


Buat pelajar saya, sila sertakan nombor telefon untuk dihubungi ketika saudari mengutuskan email kerana lazimnya saudari akan menerima respon yang sangat lambat. Atau, saudari boleh menghubungi saya secara terus melalui talian. Sebagai pendidik, ya.. benar, saya masih mengingati saudari sebagaimana saudari mengingati saya. Dan kerana itu juga.. saya masih terus menulis walau cuma sepatah. Ya... kerana saya masih mengingati dan kebanyakan tulisan-tulisan ini ditujukan buat saudari - anak-anak didik saya yang dikasihi.

Monday, November 9

Makan untuk Tenang





Stres?


Makanlah buah-buahan citrus, ceri, ikan tuna, sardin, mackerel, leefy greens atau kekacang.


Kenapa?


Makanan yang mengandungi vitamin E, vitamin C, magnesium, arginine (sejenis asid amino), asid folik, DHA dan potassium dikatakan boleh membantu memperbaiki mood.


Buah-buahan citrus seperti limau dan lemon didakwa dapat mengurangkan hormon stres dan membolehkan individu menghadapi situasi sukar dengan lebih tenang.



Nota:


2. Pastikan penonton bola sepak membawa limau, kekacang atau ceri ke stadium.

Saturday, November 7

Hati-hati dengan orang agama?

Momoc HDR flickr


Ketika menjalami latihan praktikal di sebuah institut latihan Islam pada tahun 2000, seorang pegawai agama berkata:


"Hati-hati dengan orang agama. Kami juga manusia biasa".


Di dalam lif, seorang pegawai agama yang lain pula berkata:


"Orang agama suka bercakap hal orang lain".


Respon saya:


Orang agama manusia biasa?


Ya, benar. Orang agama juga manusia biasa yang tak terlepas dari melakukan kesalahan. Cumanya, apabila orang agama melakukan kesalahan ianya tampak lebih besar berbanding orang lain kerana pengharapan dan perhatian masyarakat terhadap mereka. Malah, kesannya juga lebih besar kepada masyarakat.


Setiap individu memiliki krisis dalaman tersendiri, begitu juga orang agama kerana mereka juga manusia, bukan malaikat. Bezanya, orang agama menyelesaikan krisis tersebut berpandukan agama yang menjadikan dirinya lebih terpelihara.


Orang agama suka bercakap hal orang lain?


Ya, benar. Mereka suka bercakap tentang hal orang lain untuk memperbetulkannya. Sikap prihatin menjadikan mereka peka kepada situasi dan sebarang perubahan yang berlaku dalam masyarakatnya.


Kesimpulan


Sebagai orang awam (saya), kita hormati orang agama dan bantu mereka untuk beramar maaruf nahi mungkar. Apabila mereka melakukan kesalahan, perbetulkan dengan penuh berhikmah dan kasih-sayang. Pelihara maruah mereka dan lindungi keaiban mereka selagi tidak membawa kerosakan kepada masyarakat. Berbaik sangka kepada mereka, kasihi mereka, doakan mereka dan cemerlangkan mereka kerana Allah sebagaimana kita mengasihi dan menghormati ahli keluarga kita sendiri.


Thursday, November 5

Karya Imam al-Ghazali



Berikut antara karya Imam al-Ghazali yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Indonesia:


Wednesday, November 4

Sekali 'Gurun' Berubah



Rekahan sejauh 35 batu di kawasan gurun di Etopia ini dipercayai bakal membentuk lautan baru. Sila baca di sini untuk maklumat lanjut.