Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, January 31

Jihadul Akbar




Sekembalinya dari peperangan Badar, Rasulullah SAW mengejutkan para sahabat dengan kenyataan baginda yang bermaksud:



" Kita baru keluar dari jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar"



Dalam kehangatan isu Palestina yang bermandikan darah dan air mata, kita hampir terlupa dengan jihad yang lebih besar ini iaitu jihad memerangi hawa nafsu! Dan, disinilah bermulanya akar umbi segala masalah yang berlarutan sejak zaman nabi Adam AS sehinggalah ke hari ini.


Friday, January 30

'Ngigau' Kelas Pertama



Suatu hari, saya bertanya kepada seorang teman:

" Tanda sujud di dahi tu sejak bila wujud?".

Lama terdiam, akhirnya dia bersuara jua sambil berlucu:

" Soalan macam kena duduk SPM. Ketaq habih kepala lutut. Tanda kat dahi sebab malam-malam selalu mengigau. Jatuh katil. Tu yang kena cop kat dahi tu".






Tuesday, January 27

Kupu-kupu

Ketika sedang asyik membuat persiapan kenduri kesyukuran, riuh-rendah 'kanak-kanak riang' meminta saya turun untuk mengambil gambar rama-rama. Hadirnya ketika masyarakat Cina meraikan kehadiran tahun baru - tahun lembu.
k
Rama-rama atau kupu-kupu sememangnya dekat dengan masyarakat Melayu. Ianya seringkali dikaitkan dengan kecantikan yang bersifat rapuh dan tidak kekal.
l
Bagi saya, rama-rama ibarat manusia yang telah menang dalam perjuangannya. Seorang teman yang kini pensyarah di sebuah IPTS pernah berkata - seorang motivator yang baik adalah manusia yang telah melalui kehidupan ataupun peristiwa yang sukar dan berjaya mengatasinya. Lebih sukar dan rumit kesukaran tersebut, lebih hebat keupayaannya untuk meniupkan motivasi kepada orang lain. Dan saya kira, dialah antara orangnya.
k
Kehidupannya berliku-liku. Bapanya meninggal dunia saat usianya masih terlalu kecil. Ketika mengikuti pengajian matrikulasi, dia terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa ibunya dan mengakibatkan dia koma. Tidak cukup dengan itu, ia disusuli pula oleh kematian kakaknya dan perebutan harta dalam keluarga. Kemudian disusuli pula dengan kesukaran dan cabaran getir yang dihadapinya ketika berusaha menyempurnakan ijazah sarjananya. Itu belum lagi menyentuh soal cinta, pergolakan jiwa dan perasaannya.
k
Terus-terang saya mengagumi kekuatan jiwanya dalam menghadapi ujian yang saling bertimpa. Dari seorang anak bungsu yang dimanjakan oleh ibunya, dia perlu menjadi matang dan bijaksana dengan segera untuk menangani segala yang terhampar di hadapannya. Kini, dia berjaya merealisasikan impiannya dan semoga dia terus berjaya mencapai segala cita-cita murninya yang dikendung dengan cucuran keringat dan air mata yang tak sempat menyurut.
l
Setelah bertahun-tahun, teman saya ditarbiah dalam kepompongnya dan kini akhirnya dia berjaya terbang, menjadi rama-rama yang simetri dan mempesona. Pastinya di luar sana, ramai yang sedang diuji dan ada jua yang masih berada di dalam kepompongnya. Percayalah, insya-Allah dengan izin Allah, saudara akan keluar jua dari kepompong dan berjaya seperti teman saya ini dan ketika itu saudara mungkin antara motivator yang terbaik di Malaysia. :)

Saturday, January 24

Laguku.. Lagumu




Irama dan lagu tak dapat dipisahkan. Andai terpisah, musnah tiada berjiwa -hampa. Itu pendapat Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee tentang lagu. Sayangnya, lagu-lagu yang ada terkadang melalaikan lagi melesukan pemikiran.


Lagu Luka vs Ceria


Setiap tahun, ribuan lagu digubah dan diperdengarkan. Namun secara purata, daripada 10 lagu yang ada, mungkin hanya 1 yang benar-benar membina lagi terjamin mutunya. Selebihnya lagu-lagu picisan, cinta luka, memuja kecantikan, kecurangan, prasangka dan pelbagai lagi yang tidak perlu disenaraikan di sini.


Serta-merta saya terkenangkan kata-kata seorang teman:


"Zura cuma tulis yang positif saja. Yang sedih-sedih Zura tak tulis. Kalau tulis yang sedih-sedih, bila baca semula kita jadi sedih".


Itu tentang diari yang ditulis untuk bacaan sendiri. Bagaimana pula dengan lagu-lagu yang digubah untuk tatapan umum? Tiada salahnya untuk berkongsi kesedihan dengan orang lain, namun sebaiknya pilihlah kesedihan yang berasas dan bermanfaat. Mungkin kesedihan yang dapat menyedarkan orang ramai tentang bahaya obesiti, budaya pengotor, pergaulan bebas, rokok, marah yang tidak dikawal, kejahilan beragama dan rasuah. Mungkin lagu-lagu yang membuatkan pendengarnya merasa takut dan malu atas keaibannya sendiri. Mungkin kesedihan yang dapat membangkitkan semangat perjuangan dan patriotisme.


Nama adalah Tanggungjawab


Setiap karyawan bertanggungjawab terhadap karya yang ditulisnya. Karyawan yang baik menulis bukan kerana nama. Sebaliknya, meletakkan namanya di situ kerana ia bersedia untuk bertanggungjawab terhadap setiap karyanya.


Setiap lagu memberikan implikasi sosial dan psikologikal samada secara sedar ataupun separa sedar. Lagu-lagu yang layu dan longlai menjadikan akal dan jiwa manusia ikut lesu dan keliru. Lagu-lagu yang positif dan membina menjadikan jiwa pendengarnya ceria, bersemangat dan tenang.


Alang-alang berkarya, tulislah karya mendidik jiwa. Alang-alanglah berkarya, tulislah karya yang bermanfaat kepada ummah lagi berpahala.


Meminjam kata sifu Faisal Tehrani: tulislah karya lingkungan jauh berbanding lingkungan dekat. Karya-karya yang berintikan falsafah, agama, politik dan isu-isu antarabangsa.


Sesekali, tiada salahnya menulis isu-isu pribadi, namun biarlah hanya yang lazat, seimbang dan berkhasiat sahaja yang disajikan kepada umum.


Friday, January 23

Seronoknya Puasa! :)


Benarlah kata orang, bila berkawan dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak, wangiannya akan melekat pada kita. Di sekolah barunya yang serba Ungu, Ceri punya dua teman yang baik hati, berdisiplin, penyayang, rajin berpuasa lagi sejuk dipandang mata. Seorang bernama Tin dan seorang lagi dipanggilya Tun. Tun nama manja Zaitun. Zaitun semanis namanya. Dilahirkan dan dibesarkan di bumi barakah- Makkatul Mukaramah. Ibunya sudah mendapat taraf kerakyatan Pulau Ceri dan kini merupakan usahawan gandum yang dikenali ramai. Tin pula dilahirkan dan dibesarkan di Melbourne. Benua Kanggaroo yang kini sedang mengalami musim panas kering pada aras 40 darjah celcius. Bapanya pakar bom dan perang saraf yang kini dipinjamkan ke Johor Bharu. Saat bertiga, nada Inggeris berbaur irama padang pasir dan kanggaru yang bersimpang siur sering saja membuatkan Ceri tertawa kecil mengiakan.

Tin dan Tun hobinya berpuasa. Bukan puasa Isnin dan Khamis, tetapi dari Isnin melanjut ke Khamis. Setiap minggu begitu sehiggalah ke penghujung semester. Cemburu Ceri melihatnya. Tin dan Tun tidak pernah sekalipun mengajak Ceri berpuasa, namun siapa yang tidak cemburu melihat orang lain membuat amal kebajikan? Tingkah nan terpuji sering saja jauh lebih mengesankan dari bebalan berjela.

Kini, masuk semester kedua, Ceri sudah mula seronok berpuasa. Untungnya berpuasa, Ceri bukan saja tambah sihat dan cerdas bahkan punya lebih banyak masa dan lebihan kewangan. Pakaiannya sudah mula memberikan lebih ruang udara dan risiko keseksian juga berjaya dikurangkan ke tahap yang lebih minimum. Solatnya tambah khusyuk, ilhamnya tambah mencurah-curah dan dia juga tambah mudah untuk bangun di awal pagi berbanding sebelumnya. Terasa setiap butiran ilmu begitu mudah diserap berbanding sewaktu perutnya kenyang. Setiap patah kata dan buah penanya juga tambah membekas dan mudah difahami dek kerana datangnya jua dari lubuk hati dan mindanya yang kini jernih bercahaya.

Ceria Ceri berganda saat terbaca artikel Rapi keluaran Januari 2009 tentang detoks. Meskipun fesyen yang dicadangkan hanya sesuai untuk dipakai di dalam rumah, Ceri menyukai 60% daripada kandungan majalah terbitan Kumpulan Karangkraf itu. Menarik sekali! Secara tidak sengaja rupanya dia telah mengamalkan terapi detoks tertua tetapi amat berkesan untuk menyahkan segala toksid atau racun yang sekian lama terperam dan mengganggu sistem tubuhnya itu dengan hanya berpuasa Apabila tidak mempunyai aktiviti luar yang berat pula, sesekali Ceri mengamalkan terapi jus nanas dan air masak sahaja.

Ceri menyelak langsir indigonya luas-luas. Bauan rumput yang baru dipotong menyegarkan minda. Sejak mula berpuasa semula, Ceri tampil lebih berseri-seri, ceria, tenang dan bertenaga. Kulitnya terasa lebih bercahaya manakala tisu-tisu perut dan ususnya juga terasa lebih sihat kerana sel-sel yang kepenatan sudah disingkirkan dan digantikan dengan sel-sel baru yang lebih segar dan bersemangat untuk bekerja. Seronok sungguh Ceri dengan hobi baru yang menguntungkan ini. Serasa hatinya terbang riang seperti si tiung comel yang asyik memagut biji rumput di laman apartmennya nan menghijau itu.


Tuesday, January 20

Ilmu Mengurus Diri & Ilmu Mengurus Sistem


Manusia yang seimbang dan berjaya, memiliki ilmu mengurus diri (knowledge to manage self) dan ilmu mengurus sistem (knowledge to manage the system) yang mantap.

Ilmu mengurus diri atau ilmu fardhu ain bukan sekadar amalan ritual seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebaliknya, ilmu mengurus diri merujuk kepada ilmu yang membolehkan manusia mengurus jiwanya dengan baik ( ’qalb’ management atau IESQ -kecerdasan intelek, emosi dan rohani). Dengan adanya ilmu ini, pemikiran, sikap dan perlakuan manusia sentiasa terpandu dalam jalur akhlak yang mulia.

Manusia bukan sejenis mikrob di dalam tabung uji - terasing dalam dunianya sendiri. Manusia adalah makhluk berakal yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tiada seorangpun manusia yang baligh, berakal lagi mukalaf terlepas daripada memikul tanggungjawab ini hatta bagaimana sekalipun agama, gender (lelaki, perempuan, khunsa atau ’jadi-jadian’), keturunan, rupa paras dan status sosialnya. Bagi melunaskan amanah sebagai khalifah dengan sempurna, manusia memerlukan ilmu untuk mengurus sistem (knowledge to manage system). Ilmu mengurus sistem merujuk kepada segala ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mengurus dan mentadbir alam sekitar, sumber manusia, organisasi, negara dan sumber alam dengan efektif dan efisyen seperti penguasaan ilmu sains dan teknologi, perundangan, ekonomi dan politik.

Mana Lebih Utama?

Mana lebih utama, ilmu mengurus diri atau mengurus sistem? Kedua-duanya penting namun keutamaan perlu diberikan pada ilmu mengurus diri dan diikuti dengan ilmu mengurus sistem. Ianya juga perlu diperkukuhkan dari masa ke semasa selaras dengan kepesatan arus globalisasi, materialisme, anarki dan hedonisme.


Tanpa ilmu mengurus diri yang baik, individu cenderung untuk menyalahgunakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk memudaratkan individu lain sepertimana yang dilakukan oleh Rejim Zionis di Gaza.
Pakar bom pula memusnahkan bangunan dan manusia tanpa pertimbangan kemanusiaan. Pemimpin mengumpul harta sebanyak-banyaknya untuk kepentingan pribadi dan kroni. Pakar komputer menggodam dan melumpuhkan sistem pentadbiran dan pertahanan negara serta menyebarkan virus dengan rasa bangga. Bank-bank dan firma-firma perniagaan pula terus-terusan menindas pengguna dengan sistem riba dan perjanjian / akad yang berat sebelah sehingga menjadikan pengguna muflis dan menanggung kerugian yang besar.

Bagaimanapun, tanpa ilmu mengurus sistem yang baik, individu hanya mampu menjadi seorang manusia yang baik (good man) tetapi tidak dapat menyumbang secara optimum kepada masyarakat dan negara. Contohnya, seorang ahli ibadah yang zuhud tidak berupaya mentadbir negara dengan baik sekiranya ia tidak mempunyai kemahiran kepimpinan, pentadbiran, politik dan memahami psikologi sosial serta perubahan yang berlaku di dalam masyarakat. Para agamawan pula tidak berupaya membina empayar perniagaan bebas riba lagi adil dan beramanah, membina rangkaian media yang bebas dari unsur fujur, memberikan alternatif hiburan yang membina serta membentuk polisi yang berkesan tanpa memiliki kemahiran dalam selok belok perniagaan, teknologi, komunikasi dan ilmu bantu lain yang bersesuaian.

Setiap amanah perlu diserahkan kepada ahlinya agar tidak mengundang kehancuran. Sehubungan itu, kedua-dua ilmu berkenaan perlu dikuasai dengan baik untuk melahirkan masyarakat yang terdidik (educated) dan terpelajar (learned). Mereka inilah kemudiannya yang layak, berkemampuan dan berkewajipan membentuk polisi atau dasar-dasar yang benar-benar efektif, efisyen, bersepadu (integrative) dan holistik dalam upaya membentuk peradaban yang unggul lagi dirahmati.


*Diubah suai dari nota kuliah Perubahan Sosial dan Polisi Pendidikan, INSTED, IIUM.


Friday, January 16

Sedetik... secubit... tapi penuh makna..




Dalam sekelip mata... segalanya berubah!


kehidupan dan kematian
j
keindahan dan kemusnahan
h
keamanan dan kerusuhan

kejayaan dan kegagalan

kesihatan dan kesakitan

keakraban dan kerenggangan

kecintaan dan kebencian

kejujuran dan kedustaan

kekayaan dan kemiskinan

keagungan dan kehinaan

keimanan dan kekufuran


...bezanya mungkin cuma sesaat, secubit... sekelumit, namun natijahnya jauh berbeza.


Berhati-hati mengatur langkah. Di lebuh raya kehidupan, segala kemungkinan boleh saja terjadi. Ya, bukankah antara kehidupan dan kematian, bezanya cuma sesaat. Justeru, kata kuncinya cuma satu - bersedialah!



Thursday, January 15

Tips Segar di dalam Kelas






Rutin Harian




  1. mulakan pagi dengan senyuman, ibadah, pergerakan yang aktif dan fikiran yang positif serta penuh harapan

  2. minum madu yang dibaurkan dengan air putih untuk kesihatan dan stamina

  3. bersahur atau bersarapan dengan sajian yang seimbang (rujuk piramid pemakanan)

  4. mengambil air masak/mineral yag mencukupi (8-11 gelas sehari)

  5. tidur awal dan bangun awal pagi

  6. sentiasa dalam keadaan berwudhuk dan sentiasa ikhlas

  7. tanamkan keseronokan dalam diri, sentiasa hadirkan mood yang tenang dan 'ceriang' walau dalam apa jua perkara yang dilakukan


Persediaan Sebelum Kelas






  1. mandi, memperbaharui wudhuk atau membasuh muka dengan air sejuk sejam sebelum kuliah bermula

  2. gunakan mandian dengan haruman berbau segar seperti anggur, lemon dan lavender.

  3. bersugi (membersihkan mulut dan gigi) untuk nafas yang lebih segar

  4. memakai pakaian yang bersesuaian dengan cuaca dan keadaan kelas supaya tidak kepanasan atau menggigil kesejukan. Jika perlu bawa selendang atau baju panas.

  5. jika kelas pagi (contohnya pukul 8.00) elakkan tidur selepas menunaikan solat subuh agar tubuh tidak lesu. Lakukan apa sahaja aktiviti menarik seperti membaca, senamrobik, bersiar-siar atau mencuba resepi baru.

  6. jika kuliah petang (jam 3 -6) atau malam, tidur sebentar (5-10 minit) selepas solat zuhor

  7. Sederhana dalam pemakanan. Perut tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang. Kurangkan pegambilan karbohidrat. Amalkan diet protein, B-kompleks, vitamin dan zat galian yang mencukupi. Segarkan sel-sel tubuh dengan buah-buahan dan sayur-sayuran segar lagi berkhasiat.




Semasa Kelas



  1. menepati masa, masuk dengan langkah kanan dan perbaiki niat

  2. berfikir secara aktif, kaitkan pembelajaran dengan pembelajaran terdahulu, pengalaman, hasil pembacaan, pemerhatian atau isu-isu semasa

  3. spontan – bersoal-jawab, senyum dan tertawa di dalam kelas jika sesuai

  4. duduk dan bernafas dengan postur yang betul

  5. gunakan pen berwarna (jika suka) semasa menulis nota

  6. menjelmakan pemikiran dan pemahaman dalam bentuk gambar rajah, jadual, peta minda atau lukisan

  7. jika terdapat mana-mana bahagian badan terasa tegang, urut sendiri dengan jari perlahan-lahan sehingga lega

  8. lakukan senaman ringan yang sopan semasa di dalam kelas seperti regangan jari dan sebagainya

  9. duduk di tempat yang strategik, tidak terlalu dekat sehingga terpaksa mendongak atau terlalu jauh sehingga tidak dapat mendengar/melihat bahan kuliah yang disampaikan dengan jelas

  10. gunakan waktu rehat dalam sela kelas untuk senaman ringan, berbual, mengudap buah-buahan, minum, membasuh muka atau menunaikan solat

  11. tanamkan minat terhadap ilmu, jadikan pembelajaran sebagai hobi yang sangat menarik dan medan meraih pahala



*AWAS! Jika anda tetap jua tersengguk-sengguk tanpa disenghajakan, itu antara petanda yang anda sebenarya terlalu penat dan perlu berehat. Selamat berkuliah! :)


Wednesday, January 14

Gaya Biarawati?












"Kenapa hari ini ramai pelajar memakai tudung seperti biarawati? Tak perlulah terikut-ikut".


Demikian pandangan seorang pensyarah kami tentang fesyen bertudung semasa.


Apa pandangan anda?

Tradisi & Tradisional dalam Pembangunan Berteraskan Agama


Tradisi dan tradisional, bunyinya hampir sama namun membawa maksud yang berbeza. Tradisi adalah apa jua amalan dan budaya cemerlang generasi terdahulu atau masakini. Tradisi masyarakat Islam sebelum kurun ke-14 sebagai contohnya menjadikan penyelidikan dan pembelajaran dalam pelbagai bidang ilmu secara bersepadu (integrative) sebagai teras dalam masyarakat.


Mentaliti Sebahagian Ilmuan Masakini


Ini berbeza dengan budaya keilmuan pada hari ini yang melihat ilmu secara terpisah-pisah. Sebilangan ilmuan/sarjana dalam bidang-bidang kepakaran tertentu beranggapan bidang ilmu mereka lebih baik berbanding bidang ilmu lain. Masing-masing ego dengan kepakaran yang ada dan enggan membuka pemikiran kepada ruang lingkup ilmu yang lebih luas dan bersifat holistik. Tambah melucukan, ilmuan dalam bidang yang sama pula beranggapan hanya formula, metodologi atau pendekatan mereka sahaja yang lebih baik berbanding pendekatan serta kepakaran individu atau jabatan lain. Lunturnya sifat tawaduk dan jiwa kehambaan dalam kalangan ilmuan ini membawa kepada pemikiran yang jumud dan keegoan yang tidak berasas. Ini kemudiannya merencatkan potensi sebenar ilmuan dalam menjawab (menyelesaikan) segala permasalahan yang berlaku dalam masyarakat.


Tradisi Ilmuan Silam


Senario ini pastinya jauh berbeza dengan tradisi ilmuan Islam di masa lampau. Masing-masing berlumba-lumba untuk menguasai pelbagai bidang ilmu sama ada ilmu agama, sejarah, politik, sastera, psikologi, perubatan, matematik, falsafah, pendidikan, sains, teknologi, astronomi, geografi dan pelbagai lagi cabang ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah (ibadah) dan menyumbang secara optimum kepada pembangunan masyarakat dan alam sekitar.


Ilmu tidak dilihat sebagai komoditi semata-mata sebagaimana mentaliti sebilangan umat Islam hari ini (walaupun ilmu agama) , tetapi yang lebih penting ilmu dilihat sebagai tunjang ibadah. Ilmu mengurus diri (fardhu ain) dan ilmu mengurus sistem (fardhu kifayah) diperkukuh dari masa ke semasa.


Pemikiran yang terbuka juga mendorong ilmuan Islam mengkaji pemikiran dan tamadun daripada masyarakat bukan Islam seperti daripada tamadun Yunani, China dan India. Ilmu yang diperoleh ini pula ’disaring-jernihkan’ dengan agama dan hasilnya diperkembangkan dan disebarkan dalam tamadun Islam dan tamadun selainnya. Hasilnya, ilmu berkembang dengan pantas dan akhirnya membina tamadun yang indah lagi disegani kawan dan lawan. Keharuman ilmu yang melimpah-ruah ini kemudiannya mengundang setiap insan yang dahagakan ilmu pengetahuan dari seluruh dunia ke Baghdad, Cordova, Seville dan lainnya.


Dunia Islam menjadi penyumbang dan pemimpin kepada kesejahteraan sejagat bersesuaian dengan sifat Islam sebagai ’rahmatan lil a’lamin’ (pembawa rahmat ke seluruh alam) dan bukannya sekadar sebagai pengguna dan pengikut semata-mata sepertimana hari ini.


Tradisional: Pro dan Kontra


Tradisional pula merujuk kepada cara/budaya hidup (gaya fikir, sikap dan tingkahlaku) silam. Justeru, masyarakat tradisional adalah masyarakat yang masih mengekalkan cara hidup silam dan enggan menerima perubahan. Elemen tradisional yang baik perlu dikekalkan. Sebaliknya, elemen tradisional yang jelas bertentangan dengan agama serta tidak lagi relevan dengan kesejahteraan masyarakat dan negara perlu ditinggalkan.


Budaya pembaziran terutamanya dalam urusan perkahwinan dan pesta-pesta keraian perlu dilupuskan. Begitu juga dengan penampilan serta perhiasan diri serta kediaman, bangunan dan kenderaan secara berlebih-lebihan meskipun berkemampuan. Adakalanya dalam beberapa perkara, tanpa disedari, sebilangan umat Islam masih mengamalkan adat yang dibawa dari ajaran agama lain atau masyarakat lain yang pernah dianuti oleh nenek moyang mereka sebelum kedatangan Islam.


Hari ini juga, sebilangan umat Islam masih mengamalkan budaya nenek moyang yang menindas dan menyakitkan anggota masyarakat lain seperti berkhatan secara berlebihan, penderaan fizikal, emosi dan kejiwaan serta ketaatan tanpa batasan terhadap pemimpin masyarakat dan agama.


Dalam segmen pemikiran, terdapat juga sebilangan individu yang terlalu berpegang kepada buku ataupun kitab tertentu sahaja (selain al-Quran), menidakkan ijtihad semasa serta memboikot penggunaan medium sains dan teknologi serta ilmu-ilmu moden meskipun ianya tidak bertentangan dengan agama. Ini pastinya jelas bertentangan dengan ajaran agama yang bersifat indah, intelek, dinamik, universal dan holistik.
k
* Diubah suai dari nota kuliah perubahan sosial dan polisi pendidikan

Pembangunan dan Perubahan




Perspektif Pembangunan


Perspektif pembangunan dari kaca mata Barat tertumpu kepada tiga sektor utama iaitu pembangunan sosial, pembangunan ekonomi dan pembangunan politik. Pembangunan sosial berhubung rapat dengan masyarakat yang merangkumi tradisi, budaya dan agama. Agama cuma dilihat sebagai satu unit kecil dalam masyarakat serta terpisah daripada aspek ekonomi dan politik.


Sebaliknya, Islam pula melihat pembangunan sebagai Deen ataupun cara hidup (way of life). Pembangunan daripada perspektif Islam meletakkan agama sebagai teras dalam pembangunan. Dengan itu, ruang lingkup pembangunan dari perspektif Islam bersifat holistik, syumul dan universal. Justeru, setiap komponen dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara sama ada budaya, ekonomi, teknologi, bahasa dan tradisinya adalah terbangun dan dibangunkan dalam acuan agama. Ini bersesuaian dengan fungsi agama sebagai asas setiap sesuatu, solat sebagai tiang dan jihad sebagai puncak.


Pembangunan dan Perubahan


Pembangunan tidak dapat dipisahkan daripada perubahan. Untuk membangun, manusia dan persekitarannya perlu berubah dan diubah kepada tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya. Perubahan melibatkan dua dimensi iaitu perubahan bentuk (form) dan perubahan tingkahlaku (substance). Perubahan bentuk bersifat mekanistik dan teknikal manakala perubahan kandungan merangkumi perubahan tingkahlaku untuk mencapai matlamat.
Perubahan dalam Islam datang dari faktor dalaman, iaitu seluruh ahli jamaah. Jamaah dalam konteks ini tidak terhad kepada persatuan atau kelompok tertentu. Sebaliknya, jamaah merujuk kepada setiap individu dan keluarga Muslim dalam masyarakat (society) atau negara. Perubahan juga melibatkan faktor luaran (eksternal) seperti geopolitik, alam sekitar dan globalisasi.


Antara Masyarakat, Jamaah, Negara dan Ummah


Masyarakat (society) adalah sekumpulan manusia yang mempunyai beberapa persamaan sama ada lokaliti, kerjaya, minat, status, bangsa, agama atau budaya yang sama. Masyarakat terbentuk daripada beberapa unit keluarga dari kaum yang sama atau berbilang-bangsa dan agama (masyarakat majmuk atau plural society). Istilah jamaah pula digunakan khusus untuk menandakan kelompok masyarakat Islam manakala istilah ummah melihat setiap individu Muslim di seluruh dunia (tanpa mengira bangsa, status dan negara) sebagai bersaudara dan terikat padu dalam satu binaan yang saling meneguhkan.


*Diubah suai dari nota kuliah perubahan sosial dan polisi pendidikan.

Tuesday, January 6

Polisi


Polisi?

Polisi ataupun dasar merupakan satu set pelan tindakan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, pemerintah atau pengurusan tertinggi organisasi sebagai rujukan kepada sebarang pembuatan keputusan untuk mencapai matlamat negara/organisasi. Polisi diikat kuat oleh undang-undang. Bagaimanapun, setiap polisi yang digubal mestilah selaras dengan perlembagaan negara. Polisi yang bertentangan dengan perlembagaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Antara 'Polis see' dan 'Polis C'

Polisi yang baik berupaya memelihara kestabilan serta memacu kecemerlangan negara/organisasi. Justeru, para penggubal dasar ataupun polisi perlu memastikan setiap polisi yang digubal bersifat 'polis see' (polisi kelas pertama) berbanding 'polis gred c'.

Mengapa Cuma Gah di atas Kertas?

Lazimnya, polisi yang ada sudah cukup mantap di atas kertas. Bagaimanapun, ianya gagal mencapai sasaran disebabkan oleh sistem penyampaian (delivery system) yang lemah dan sikap negatif 'terlampau' anggota masyarakat itu sendiri.

Kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa merencatkan misi pembangunan dan keadilan sosial. Peluang kerjaya di syarikat gergasi milik sesebuah negara sesetengahnya menjadi hak eksklusif ahli keluarga dan saudara-mara atau sahabat handai kakitangan syarikat atau organisasi tersebut sahaja. Tidak hairanlah, syarikat-syarikat gergasi ini mengalami kerugian yang besar kerana ditadbir oleh individu yang hanya memiliki kelayakan minima ataupun mungkin sama sekali tidak layak. Keterbatasan ini menyekat kemasukan bakat-bakat baru yang benar-benar cemerlang untuk menerajui organisasi. Kronisme tidak terkawal juga memudahkan lagi berlakunya peyelewengan, pembaziran, salah-guna kuasa dan rasuah secara berleluasa dalam organisasi. Jika dibiarkan, satu demi satu syarikat akan mengalami kepincangan dan akhirnya tumbang dan sebaliknya menjadi bebanan pihak kerajaan terbabit.
o
Kemasukan pelajar ke sekolah, kolej dan universiti elit pula sebahagian kecilnya bukan berasaskan merit tetapi atas dasar kedudukan dan pengaruh yang dimiliki ibu-bapa pelajar tersebut. Kesannya, sebilangan daripada pelajar tersebut keciciran, terkebelakang dan mengalami tekanan emosi yang kritikal kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang benar-benar cemerlang.
l
Justeru, polisi yang baik memerlukan sistem penyampaian yang baik dan sinergi daripada anggota masyarakat/organisasi untuk mencapai misi dan visi tertentu dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
l

* Diubahsuai dari nota kuliah Perubahan Sosial dan Polisi Pendidikan, INSTED, IIUM



Sunday, January 4

Palestina



Meskipun sudah diduga sedari awal, keganasan dan keangkuhan rejim zionis di Palestin menyentuh sanubari setiap insan yang masih waras dan mampu berfikir secara rasional. Jam 8.20 malam, mesej seorang teman tertera di skrin:

Salam... tolong bacakan 'Lailahaillallah, Allahu akbar dan surah Al-Ikhlas tiga kali, untuk masjidil Aqsa yang sedang dikepung oleh israel'.
j
Pertumpahan darah dan pergolakan di bumi Palestina dan negara-negara Islam di seluruh dunia bukanlah kisah baharu. Kekejaman dan penindasan terancang rejim zionis dan sekutunya di seluruh dunia menuntut seluruh umat manusia yang bijaksana melancarkan strategi baru yang benar-benar efektif dan efisyen. Strategi bertahan, tunggu dan lihat ternyata sudah tidak lagi relevan dengan situasi masa kini. Keimanan yang jitu, kepimpinan yang dinamis, pelan tindakan yang proaktif dan gerakan kolektivis diperlukan untuk menghalang kezaliman dan rencana jahat sekutu para syaitan dari terus berleluasa. Pastinya ianya jauh lebih utama dari meja rundingan yang pening memikirkan jenama kereta yang mahu dipakai, selama mana pasangan Mawi dan Ikin mampu bertahan, berapa banyak bunga api yang perlu dipasang untuk meraikan tahun baru dan pelbagai isu terkini yang tidak memberikan impak membina kepada masyarakat untuk diberi publisiti di ruang media yang terhad.


Yang Tersirat...

Dunia sudah terlalu uzur dan nazak. Perhiasan 'perempuan tua bongkok tiga' ini sudah terlalu sarat dan hanya menunggu masa untuk musnah bersama penghuninya. Dari satu sudut, segala kekejaman dan penindasan bukanlah lambang kekuatan sebaliknya lambang ketakutan dan rasa rendah diri (inferiority complex) yang 'terlampau' musuh-musuh Islam terhadap kekuatan dan kebenaran agama suci ini. Dan... orang yang 'sangat ketakutan' sanggup berbuat apa saja.