Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, August 31

Soalan



Sejak di alam persekolahan kita diajar untuk bertanya, bercerita dan berfikir berlandaskan lima persoalan asas:


APA ?

MENGAPA ?

BILA ?

SIAPA ?

BAGAIMANA ?



Natijahnya, tidak semua persoalan ini digunakan sepenuhnya. Dalam membina peradaban, persoalan tentang APA sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang lebih penting adalah BAGAIMANA. Persoalan APA itu Islam dan apa itu kebahagiaan lebih bermanfaat apabila diikuti dengan BAGAIMANA untuk menjadi seorang muslim yang baik dan bagaimana untuk memastikan semua orang berbahagia. Persoalan APA itu peradaban lebih bermakna apabila disusuli dengan persoalan BAGAIMANA untuk membina peradaban yang unggul. Persoalan APA itu filem dan teater lebih mengujakan jika dituruti dengan persoalan BAGAIMANA menjadikan filem dan teater sebagai wahana untuk mendidik masyarakat disamping mengaut keuntungan berlipat ganda.


Persoalan APA dalam agama membawa kita menghayati prinsip dan ajaran-ajaran agama. Persoalan APA juga adalah persoalan tentang ideologi, teori, situasi semasa dan dapatan-dapatan yang sudah sedia ada. Persoalan tentang BAGAIMANA dalam agama membawa manusia menghayati dan mengamalkan agama. Persoalan BAGAIMANA juga membawa manusia berfikir, meneroka, mengkaji, mencipta dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang wujud dengan idea-idea, kreativiti dan inovasi baru yang lebih canggih dan berguna.


Persoalan BILA membawa manusia mengimbau sejarah dan menghargai setiap detik masa, mengurus, mentadbir dan merancang masa agar tidak menanggung kerugian. Persoalan MENGAPA membawa manusia mencari jawapan berasaskan panduan wahyu. Persoalan APA surah pertama yang diturunkan pastinya lebih menarik apabila ditambah dengan persoalan MENGAPA surah al-A'laq menjadi keutamaan. Persoalan SIAPA pula, pada akhirnya, dipenghujungnya membawa manusia pada satu titik pertemuan -



"LAILAHA ILLALLAH & INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN"

Manusia yang sentiasa bertafakur dan bertadabur sentiasa melontarkan persoalan tentang APA dan BAGAIMANA. Dan... manusia yang berjaya dapat menjawab persoalan APA, MENGAPA,BILA, SIAPA dan BAGAIMANA dengan tepat.



* Diubah suai berasaskan nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam oleh Prof. Dr. Yedullah Kazmi.

Analisis Pilihanraya Kecil Permatang Pauh




Analisis Pilihanraya Kecil Permatang Pauh:


Tempat- Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi

Tarikh - 3 Sept. 2008 (Rabu)

Masa - 10.00 - 12.00 pagi

Tempat - Bilik Mesyuarat PPSPS, Tkt 6 Blok E

Ahli Panel:


Prof Dr. Redzuan Othman - Universiti Malaya.

Prof Madya Shaharudin Badarudin - Universiti (I) Teknologi Mara

Prof Madya Ghazali Mayudin - PPSPS, FSSK, UKM.

Friday, August 29

Salam Ramadhan



Dari Madinah singgah ke Sudan,
ttt Tasbih dijinjing Quran dijulang;
Salam 'al-falah' di bulan Ramadan,
ttt Bulan mulia indah gemilang.

Pohon delima tumbuh di muara,
ttt Dibawa orang ke tengah kota;
Terkurang adab, tersalah bicara,
ttt Zahir dan batin, maaf dipinta.




Monday, August 25

Sejarah & Manusia

K2
2
Sejarah tidak pernah mati kerana manusia, walau segah manapun peradabannya, sentiasa berinteraksi dengan sejarah.
Namun, hanya manusia yang bijaksana berupaya mencerna intipati sejarah sebagai perkakasan untuk menyelesaikan permasalahan semasa dan akan datang serta mencipta kehidupan yang lebih bermakna.

Thursday, August 21

Tips Tekal Tenang


Kehidupan sifatnya dinamik. Sentiasa rencam dan berubah sama ada disedari atupun tidak. Sebelum mencapai fasa kehidupan seterusnya (alam barzakh dan alam akhirat), ujian datang dan pergi untuk menguji keimanan dan juga latihan untuk menguatkan unsur jasmani, rohani, emosi dan intelektual manusia sebagai persediaan menempuh fasa kehidupan di dunia yang berikutnya . Kehidupan di dunia jua adalah peluang kedua untuk membuktikan sama ada manusia itu layak atau tidak untuk kembali semula ke tempat asal nenek moyangnya terdahulu (syurga) setelah tragedi buah khuldi.

Berikut adalah tips orang-orang yang beriman tekal tenang dalam susah dan senang kerana bagi mereka semuanya baik belaka:


1. redha dengan ketentuan


2. percaya setiap sesuatu mengandungi hikmah


3. sentiasa bertawakal


4. bersyukur kerana tidak ditimpakan dengan ujian yang lebih besar


5. percaya yang Allah tidak akan menimpakan ujian melainkan yang mampu dihadapi


6. sabar


7. menghayati roh solat


8. bermuhasabah & bertafakur


9. mengambil iktibar, menyelidik dan tidak terus menyalahkan orang lain


10. pemaaf dan berlapang dada


11. bersifat penyayang kepada makhluk Allah


12. fokus kepada agenda lebih besar


13. tahu matlamat, visi dan misi hidup


14. bersikap profesional, rasional dan matang


15. tidak mudah terburu-buru


16. baik sangka dan optimis


17. percaya kehidupan dunia ini sementara sifatnya (pinjaman) dan segala sesuatu adalah milik Allah


18. percaya sepenuh hati bahawa Allah Maha Bijaksana & Maha Berkuasa


19. sentiasa mengingati Allah dalam duduk, baring & jaga








Wednesday, August 20

Konflik Tiruan @ Pseudo-Conflict




Dalam komunikasi, konflik tiruan, konflik topeng atau pseudo konflik sering berlaku. Pseudo-konflik adalah sekadar topeng konflik dan bukannya sejenis konflik. Dalam erti kata lain, sebenarnya konflik tidak wujud sebaliknya yang berlaku adalah salah faham dalam mentafsir maklumat. Salah faham mudah tercetus apabila individu mempunyai laras bahasa yang berbeza, lokaliti dan budaya yang berbeza serta latar belakang pendidikan atau pengalaman yang berbeza.

Sebagai contohnya, perkataan ’celaka engkau ’ menunjukkan kemesraan bagi kebanyakan penduduk di Melaka. Begitu juga, penggunaan perkataan ’engkau’ dan ’aku’ dalam kalangan masyarakat Jawa. Sebaliknya, beberapa perkataan yang dianggap biasa bagi orang lain menjadi taboo ataupun dianggap sebagai satu penghinaan. Contohnya, perkataan bayi merujuk kepada peringkat umur individu bermula dari saat kelahiran sehingga berusia dua tahun bagi masyarakat Malaysia. Sebaliknya, bayi membawa implikasi negatif kepada masyarakat di Brunei.

Penggunaan media komunikasi tidak bersemuka seperti sms dan email juga boleh mencetuskan konflik atau menambahkan lagi konflik apabila maksud sebenar tidak sampai atau mesej ditafsirkan dengan cara yang salah. Ini kerana, di dalam sms dan email atupun surat, ianya tidak disertai nada atau intonasi suara dan juga memek muka penuturnya.Sesetengah ayat mungkin dianggap diungkapkan dengan nada tinggi walhal dalam situasi sebenar ianya diungkapkan dalam nada lembut dan berhemah. Perkara ini turut berlaku dalam penggunaan telefon kerana ekpresi sebenar wajah dan bahasa badan (body langguage ) tidak dapat dilihat dengan jelas untuk mendapatkan mesej sebenar.

Pseudo-konflik juga sering terjadi akibat kepelbagaian ragam personaliti dan perwatakan individu. Justeru, adalah penting untuk memahami individu dan latar belakang hidupnya dengan jelas sebelum membuat andaian dan prasangka yang adakalanya tidak munasabah dan akhirnya merugikan kedua-dua belah pihak. Di sinilah kepentingan untuk menerima individu seadanya, membuat penyelidikan, memahami kronologi sejarah atau peristiwa hidup yang pernah dilaluinya dan tidak membuat penilaian secara membuta tuli. Keengganan dan keegoan untuk memahami budaya dan keunikan individu atau komuniti lain hanya akan memudahkan lagi usaha syaitan untuk memecah-belahkan manusia dan seterusnya menggagalkan misi manusia dalam mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Menangani Konflik




Konflik perlu dileraikan dengan baik supaya tidak berpanjangan. Konflik yang dibiarkan berlarutan akan membawa kepada pelbagai masalah lain sehingga situasi menjadi lebih rumit dan tegang. Bahkan dalam sesetengah kes mencetuskan dendam, persengketaan, pembunuhan, peperangan dan pertempuran berpanjangan sehingga ratusan tahun lamanya.

Sikap menghindari konflik tidak dapat menyelesaikan masalah. Sebilangan individu enggan menjelaskan punca konflik dengan alasan ingin menjaga perasaan pihak lain atau pihak ketiga.

Seperti juga dalam penceritaan karya kreatif seperti dalam cerpen dan novel, peleraian konflik memerlukan kebijaksanaan dan kreativiti. Dalam dunia realiti, peleraian konflik turut menuntut keberanian dan kesabaran.

Terdapat beberapa kaedah untuk menyelesaikan konflik. Contohnya, apabila dua individu berkonflik dalam organisasi, tindakan berikut boleh diambil:

1. Pertemuan bersemuka dalam suasana tenang dan selesa, buang seketika sikap panas baran dan perasaan sensitif yang berlebihan, gunakan akal dan hati untuk berfikir dan reflek.


2. Beri peluang kepada kedua-dua pihak saling menjelaskan dan mendengar dengan teliti perkara yang mencetuskan konflik


3. Menganalisis semula situasi konflik dengan teliti dan bijaksana


4. Kedua pihak saling bermaafan, berlapang dada, bersikap tawaduk serta berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik kepada konflik tersebut


5. Sekiranya perlu, buat perjanjian bertulis dan ambil saksi penting yang boleh dipercayai


6. Jangan mudah percaya dengan khabar angin dan pandangan negatif orang ketiga. Sebaliknya selidiki perkhabaran tersebut dan dapatkan penjelasan. Kemarahan dan sikap emosional yang berlebihan sehingga mendominasi akal rasional dan hati fikir dalam menangani konflik akan memudahkan individu diekploitasi atau dipergunakan oleh pihak ketiga untuk kepentingan pribadi.
k
7. Bersikap profesional, jika resolusi konflik tidak mencapai kata sepakat, bezakan antara individu yang berkonflik, isu konflik dan individu lain yang mempunyai perkaitan dengan individu yang berkonflik. Sikap memutuskan silaturahim menjejaskan hubungan manusia dengan Allah, mendefisitkan keberkatan hidup dan merugikan banyak pihak sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang.



Tuesday, August 19

Jangan



Jangan… jangan sampai 13 Mei berulang lagi
Jangan… jangan sampai berbunuhan sesama sendiri
Jangan… jangan sampai tangan asing menyentuh tanah ini
Jangan… jangan sampai amarahmu meruntuhkan negeri
Jangan… jangan jadi Sang Nila Utama, kerna yang salah cuma mantan paduka raja… bukan rakyat jelata…

Saturday, August 16

Kias Alam : Seluhur Gamat


Saat terluka di perjalanan

kita jadi bagai si gamat

biar ditusuk 1000 pedang

cepat sungguh ia sembuh

bahkan menyembuhkan

Wednesday, August 13

Kota Peradaban Kita






saat kita memahami

Islam itu Ad-Din

kota peradaban kita, 7 abad lamanya

menuai emas jati, memakmur jagatraya

dan lebahpun mengutip madu

mendaulatkan bahasanya syurga



saat kita bangga

Islam itu kaffah

tinggi lagi meninggikan

kota peradaban kita

jauh meninggalkan, Byzantium, Parsi dan Roman



saat kita buka

pintu fikir dan zikir

kota peradaban kita

indahnya melangkau zaman



saat kita alpa

merebut takhta & nama

kota peradaban kita

musnah satu persatu



saat kita malu

rupa bangsa diri

kota peradaban kita

lenyap ditelan rakus

Firaun alaf ini



saat kita cuma bernostalgia

mengenang malap Cordova, Baghdad & Bukhara

kota peradaban kita

wajahnya kian jauh

lenyap diselubung zaman



saat kita bangkit kembali

setelah 700 tahun, lena dijajah serakah & kejahilan

kota peradaban kita

tunasnya berputik lagi



saat kita kembali

membuka ruang fikir

dalam jalur wahyu, taqwa & trampil di mercu

kota peradaban kita

kembali menuai emas

dan kitapun menjadi sebaik-baik manusia

yang paling berguna



-Gombak, 13 Ogos 2008



Monday, August 11

Selamat Bergraduat






Tahniah kepada semua graduan Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Pembangunan Manusia & Psikologi), Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia yang bergraduat pada hari ini.



Selamat menyumbang, mencipta sejarah & menjadi sebaik-baik manusia.






Thursday, August 7

Tukaran Mata Wang: Menuju Keadilan Sejagat

Apa lebihnya wang kertas Pound Sterling dan US dolar berbanding wang kertas Ringgit Malaysia, Rupiah dan Rupee?
Ambil dua keping wang kertas 1000 pound sterling dan ambil dua keping wang kertas 1000 Rupiah. Koyaknya keduanya sehingga halus mulus dan letakkan ke dalam dua bekas yang berasingan dan berikan kepada penjual surat khabar lama. Adakah keduanya akan dibeli dengan harga yang berbeza? Harga paling mahal bagi kertas terpakai dipasaran tidak pernahpun mencapai RM 2 bagi setiap kilogram, inikan pula dua keping kertas yang beratnya tidak sampaipun 50 gram. Secara logiknya, setelah dipotong halus, wang kertas 1000 pound sterling yang bernilai lebih RM 6000 itu tadi hanya mungkin laku dijual dengan nilai 1 sen atau kurang. Lucu bukan, tapi itulah hakikatnya.

Dalam diam, negara membangun dan negara mundur atau negara dunia ketiga ditindas secara terang-terangan oleh negara maju dalam bentuk tukaran mata wang asing. Dengan tukaran mata wang asing yang jauh lebih tinggi, negara maju membeli produk negara membangun dan mundur dengan harga yang sangat rendah. Dengan 1000 pound sterling, warga Eropah melancong dan membeli-belah dengan bermewah-mewah di negara membangun. Itu baru di Malaysia, bayangkanlah pula apabila mereka melancong di Indonesia. Sebaliknya, datanglah melancong ke Britain dengan RM 1000. Kos penerbangan pulang ke Malaysia pun tak dapat ditampung, inikan pula berbelanja sakan di United Kingdom. Bagaimana pula kalau melancong ke Britain dengan cuma 1000 Rupiah? Jangankan tiket tram, sebiji gula-gula batu pun belum tentu diperoleh. Cuba bandingkan harga minyak dan barangan import dari negara Eropah di Malaysia dan Indonesia dengan pendapatan pekerja kolar biru dan eksekutif muda. Bandingkanlah pula situasi yang sama di Eropah. Jadi, usah hairan apabila negara kaya semakin kaya dan negara miskin semakin bertambah miskin dan papa kedana. Anda rasa ini adil?

Sekarang, kita ambil dua keping syiling 50 sen dan dua keping syiling emas atau perak. Leburkan sepenuhnya dan masukkan ke dalam bekas yang berasingan. Berikan kepada kepada mana-mana tukang emas. Dua minggu lepas 1gram emas 916k pun sudah mencecah RM 104. Adakah terdapat perbezaan harga? Ya, pastinya harga kedua komoditi tersebut sangat jauh berbeza namun anda sangat puas hati bukan? Jelas, ianya benar-benar adil dan lebih penting lagi, sangat logik!

Justeru, usaha untuk merelisasikan penggunaan matawang emas & perak perlu disegerakan untuk memastikan keadilan dan kestabilan ekonomi sejagat.

Wednesday, August 6

Suami Juga Boleh Nusyuz


‘Suami juga boleh dianggap nusyuz (derhaka)’. Itu antara intipati yang Ceri peroleh ketika membaca tesis kedoktoran kekanda Zainab di FPI.

Usai menunaikan solat Dhuha, Pn Mentimun datang menziarahi apartmen kecil merangkap pejabat tidak rasminya. Mengadu nasib. Wajah pemilik SPA di aras tiga apartmentnya itu tampak kian gebu dan berisi di sana sini.

”Entahlah, dulu nampak macam baik. Sebulan berkahwin akak rasa bahagia. Rasa bertuah sangat dapat orang macam dia. Tak pernah tinggal solat, pantau anak akak mengaji, bertanggungjawab dan semualah yang baik-baik. Lepas sebulan berubah terus. Tak beri nafkah. Tidur dari jam 9 malam sampai jam 2 petang esoknya baru bangun. Puasa pun tak pernah. Suka menengking dan naik tangan. Sepak terajang perkara biasa. Bila tercuit sikit merajuknya lain macam. Dia asyik kata akak isteri derhaka. Makanan dah sejuk kata isteri derhaka. Mana tak sejuknya, pukul dua baru baru bangun. Bila akak solat dimarahnya pula. Katanya buat apa solat kalau derhaka pada suami. Bila akak tak bagi duit pun dia kata isteri derhaka. Habis barang-barang akak dijualnya satu persatu. Itupun dia masih kata akak isteri derhaka. Akak ni memang isteri derhaka ke?”.

Ceri membiarkan Pn Mentimun terus bercerita. Meneliti akar umbi sebenar permasalahan yang terjadi. Rupanya kegebuan Pn Mentimun bukan sebarang gebu. Gebunya, petanda ’stress’!

Kata orang, perkahwinan satu perjudian. Pastinya perkahwinan bukan satu perjudian, tapi satu usaha untuk membina sebuah peradaban baru dengan pelan strategik yang bersifat terancang, fleksibel dan dinamik.


bersambung...

Monday, August 4

Kepulangan vs Warisan




"Prof Hassan Langgulung meninggal dunia pagi Jumaat".


Berita yang baru diterima Ceri dari Kak Melati bagaikan mimpi. Dalam perjalanan ke Gombak dua minggu sudah, Kak Sireh memintanya menggugurkan subjek "Theories of Motivation" kerana cuma dia satu-satunya makhluk yang mendaftar subjek berkenaan. Masih terbayang diminda Ceri saat beliau mengangguk sambil tersenyum sebagai respon kepada permintaannya : "Hope to see you next semester, Prof". Ternyata, tumbuhan sepertinya hanya mampu merancang. Keputusan mutlak pastinya di tangan Allah Azza Wajalla.


"Ya Makka... Ya Makka..". SMS Langsat terpapar di skrin telefon epal hijaunya. "Selamat malam. Jangan lupa baca doa sebelum tidur". Ceri tersenyum lalu membalas dengan dua persoalan mudah:


"Mungkinkah hari ini Isyak kita yang terakhir dan saat kita kembali, apakah yang kita tinggalkan untuk generasi mendatang?".