Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, October 31

Yoga vs Solat


Yoga vs Solat
Antara yoga dan solat, mana lebih baik? Dr. Azahari Ismail pernah mempersoalkan amalan yoga di kalangan umat Islam. Bagi beliau, solat lebih dari cukup. Namun, apabila ianya melibatkan akidah sebagaimana pernyataan Prof Zakaria Stapa kelmarin, tampaknya tiada kompromi lagi.

Mukjizat Gerakan Solat

Saya belum membaca buku ini, sebuah pengalaman menarik dari negara jiran. Sinopsisnya saya peroleh dari internet.


Tajuk:Mukjizat Gerakan Solat
Pengarang: Madyo Wratsongko, Sagiran, Muhammad Sallehuddin
Penerbit: Synergy Media Books
ISBN: 983197509XPrice: RM24.90


Buku ini disusun berdasarkan pengalaman peribadi pengasas urutan berdasarkan gerakan solat (pemberi maklumat) setelah berpuluhan tahun beliau menderita menghidap penyakit kronik seperti gastrik, migrain, hepatitis B, asma bronkitis, sakit buah pinggang, selsema, batuk dan kurang bertenaga sehingga teman-teman sepejabat sering menggelar beliau sebagai rumah sakit kerana terpaksa mengusung beg ubat ke mana-mana sahaja. Pelbagai cara dan jenis rawatan telah dilakukan dan beliau hampir berputus asa. Bermula dari doktor pakar, akupuntur, dukun, tukang urut sehingga mengamalkan perubatan cara tradisional. Beribu-ribu wang telah dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan rawatan tersebut. Harapan untuk sembuh dari penyakit tersebut muncul setelah beliau diurut dengan teknik khas yang diperkembangkan dari penerapan teknik berwuduk. Setelah beliau diurut, tindak balas terus dirasakan. Tubuh beliau kembali segar dan bersemangat Akhirnya beliau mula mempelajari ilmu mengurut dengan teknik-teknik khas tersebut dengan serius dan melakukan senaman berdasarkan gerakan solat tersebut.

Thursday, October 30

Helikopter



"Macamana eja monyet?".

"Mim wau - mun, nye ya ta- nyet, monyet... cikgu". Ceri bersungguh menjawab.

"Mim wau nyet nyet - monyet!". Kelas riuh-rendah dengan ketawa.



"Mana ada huruf nyet-nyet cikgu !". Ciku memprotes dan Cikgu Suratnu hanya tersengih.

" Baiklah, macamana eja helikopter?". Tanya beliau lagi.

"Ha lam ya kop fa ta ro - helikopter cikgu!" Giliran Limau pula menjawab.

"Panjang sangat tu - alip kop ta... ha, kan senang!". Kelas riuh rendah semula. Mata masing-masing sudah mula terbuka luas dan Cikgu Suratnu pun meneruskan tugasnya dengan senyuman.

Ceri mengimbau zaman kecilnya. Sampai kini, dia punya guru-guru agama yang suka berlucu supaya murid-muridnya tidak terlalu tertekan di dalam kelas. Salah seorang darinya Allahyarham Cikgu Suratnu. Mungkin itulah antara sebab dia tidak pernah ponteng kelas. Guru-guru yang ceria mengimbangi guru-gurunya yang garang. Hari-hari persekolahannya sungguh membahagiakan ruh, akal dan jiwanya. Tambahan pula, masing-masing amat menyanyanginya.

Ceri meneliti lukisan prototype helikopter di atas mejanya. Sudah dua malam Ciku berhempas-pulas menyiapkannya. Ceri amat menghargai usaha sahabatnya itu. Sebolehnya, dia tidak mahu lagi lebih ramai buah-buah yang bertugas diperbatasan maut sebelum berjuang. Helikopter yang ada sudah terlalu buruk dan mereka sering berlucu memanggilnya 'keranda terbang'. Pembelian helikopter baru dari luar negara terlalu mahal dan Ciku berusaha untuk mengurangkan aliran tunai negara dengan mencipta helikopter sendiri. Ternyata, usaha Ciku hampir membuahkan hasil. Dengan kos yang 10 kali lebih rendah, helikopter pintar ini bakal berlegar-legar tanpa bunyi di ruang angkasa Pulau Ceri yang amat dikasihinya ini.


Wednesday, October 29

Bila Kekasih Curang


Apa yang perlu dibuat apabila kekasih curang atau mungkir janji? Menangis 40 hari atau melompat-lompat keriangan? Keduanya terlalu ekstem bukan.. Justeru apa kata kita ambil yang dipertengahan. Sedih sedikit itu biasa namun usah dibiarkan berpanjangan. Juga , tak perlulah melompat-lompat bagai ahli gimnastik. Cukuplah sekadar lompat-lompat arnab - riang dalam keanggunan/ke'macho'an.

Mesti ada yang berkata, "cakap senang, realitinya payah". Ya, berkata memang mudah. Lebih mudah dari bertindak. Apapun, ianya memang mudah dilaksanakan apabila kecintaan kepada Allah mendahului kecintaan kepada manusia. Kemanisan iman akan lebih dirasai apabila insan menyintai sesuatu jua membenci sesuatu juga kerana Allah. Dan, orang yang beriman juga sentiasa terdorong untuk berfikir secara rasional dan optimis. Kerana apa? Kerana orang beriman, wawasannya sentiasa jauh kehadapan - melangkaui kehidupan dunia dan alam barzakh (alam kubur). Wawasan hidup orang beriman melangkaui redha semua makhluk: manusia, jin, malaikat, haiwan, tumbuhan, alam semesta dan apa saja kejadian pencipta. Wawasan orang beriman adalah keredhaan dan kasih-sayang Allah, pencipta segala kejadian, penguasa sekalian alam.

Secara logiknya, ada banyak sebab untuk terus berbahagia jika insiden ini berlaku. Pertamanya, dari aspek psikologi, mungkin kita boleh mengguna-pakai 'the law of contuinity' - tingkahlaku seseorang pada hari ini, akan mempunyai kesinambungan dengan tingkahlakunya pada masa akan datang. Jika hari ini dia curang kepada anda, tidak mustahil dia akan curang lagi buat kali kedua. Jika hari ini, dia tidak mempunyai keberanian untuk mempertahankan anda dari tekanan keluarga, rakan-rakan atau sesiapa saja, sampai bila-bila pun dia takkan mampu untuk mempertahankan anda. Jika hari ini dia tega meninggalkan anda begitu saja, tidak mustahil dia akan melakukan perkara yang sama. Bukankah ianya lebih mudah untuk anda tangani sekiranya anda belum mempunyai sebarang ikatan dengannya. Dan, bukankah situasi ini jauh lebih sukar dan menganggu sekiranya ia berlaku setelah anda berumahtangga, mempunyai cahaya mata atau mungkin telah meninggalkan kerjaya lumayan anda kerana si dia. Bukankah itu mungkin bermakna anda terpaksa naik turun ke mahkamah dan membuang sekian banyak masa dan tenaga? Justeru, bukankah ini bermakna anda perlu berterima kasih kepadanya kerana sudi menunjukkan 'wajahnya yang sebenar' lebih awal?

Apapun, usah terlalu risau sehingga memudaratkan diri. Ayat 'skema' yang selalu dikatakan: setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Walaupun ianya ayat klise, namun itulah falsafah yang menguatkan jiwa dan mendorong manusia menjadi lebih bijaksana dalam kehidupannya.

Sebenarnya, banyak lagi alasan logik lain, namun cukuplah sekadar yang ini dahulu. Apapun, anda tidak rugi apa-apa, sebaliknya si dialah yang rugi kerana kehilangan anda yang sungguh baik lagi bijaksana itu. Aha! Betul kan... :)


Tuesday, October 28

Tangan Yang Memberi

"al yaddu u'lya khairum minal yaddi sufla"



Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Orang yang memberi lebih baik dari yang menerima. Justeru, untuk menjadi manusia yang lebih baik, kita perlu menjadi 'yang lebih banyak memberi' berbanding menerima.



Dalam kehidupan bermasyarakat, budaya memberi ini sangat indah dan murni untuk dihayati dan diterapkan. Memberi bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit dan material. Memberi boleh saja dalam bentuk bimbingan, ilmu, nasihat, sokongan, semangat, perhatian, kasih-sayang, perlindungan, penghormatan, pertolongan, penghargaan dan juga contoh tauladan yang baik. Dalam erti kata lain, memberi dalam konteks apa-apa saja yang bermanfaat kepada orang lain.

Masyarakat hari ini menjadi kucar-kacir kerana sebilangannya hanya mahu 'menerima' sebanyak-banyaknya (termasuk hak orang lain) tetapi enggan memberi. Ini mengakibatkan ketidakseimbangan berlaku. Jika dalam belanjawan kita selalu menyebut tentang defisit, maka inilah dia defisit sosial yang jika dibiarkan berlarutan boleh mengakibatkan kegawatan. Keseimbangan hanya dapat dikembalikan apabila setiap anggota masyarakat sentiasa berlumba-lumba untuk 'memberi' kepada ahli keluarga, organisasi, masyarakat, negara dan agamanya.

Bagi individu perakaunan, situasi ini samalah seperti membuat simpan kira. Memberi adalah debit manakala menerima adalah kredit. Jika nilai kredit lebih tinggi berbanding debit, bukankah ianya membimbangkan. Harapan untuk muflis terbentang di hadapan. Sebaliknya, jika nilai debit lebih tinggi bukankah ia bermakna keuntungan. Dan, setiap orang pastinya mengharapkan untung yang lebih tinggi bukan? :)

Sunday, October 26

Budaya Ilmu



Islam agama intelek dan amat mementingkan ilmu. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah di Gua Hira' adalah Iqra' yang bermaksud 'bacalah!". Membaca dalam konteks ini bukan sekadar membaca begitu sahaja, tetapi juga berusaha untuk memahami, berfikir dan mengkaji sesuatu dengan nama Allah. Persoalannya, mengapa ayat ini merupakan ayat pertama yang diturunkan? Mengapa bukan suruhan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan atau menunaikan ibadah solat dan haji?

Jelas disini, Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Bahkan menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Justeru, tidak hairanlah, kurun ketujuh Masihi menyaksikan berlakunya revolusi tasawur (kerangka pemikiran) dari kepercayaan karut, animisme dan budaya jahiliah kepada risalah taqwa & pembaikan akhlak secara secara berhemah dan tersusun. Budaya ilmu hidup subur di Kota Mekah dan Madinah. Mereka yang berkunjung ke Masjid Nabawi pastinya akan terkenang nostalgia indah akan pesta keilmuan di antara Nabi dan para sahabatnya di taman raudhah. Pada kurun berikutnya, tamadun Islam berkembang dengan pantas merentas sempadan kota dan benua. Umat Islam terkehadapan dalam semua aspek. Ketika bangsa Eropah masih teraba-raba dalam kegelapan, teori dan penemuan baru umat Islam dalam pelbagai disiplin ilmu adalah realiti yang berlaku pada masa silam.

Ilmu tidak sewajarnya dilihat dalam perspektif yang sempit dan terpisah-pisah sebagaimana hari ini. Sarjana Islam terdahulu bukan sahaja menguasai al-Quran dan sunnah, bahkan mereka turut menguasai ilmu sains, perubatan, teknologi, falsafah, perundangan, sastera dan pelbagai lagi. Dalam ertikata lain, sarjana Islam pada waktu tersebut bersifat multi-disiplin. Penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu membolehkan sarjana Islam melihat masalah daripada pelbagai perspektif dan menyelesaikan masalah secara lebih kritis dan kreatif. Petunjuk wahyu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memahami ilmu dan meneroka penemuan-penemuan baru yang mengujakan. Sarjana Islam juga terbuka kepada tamadun Yunani dan tamadun asing lainnya. Falsafah Greek diterjemahkan dan dikaji secara mendalam sebelum ianya disaring dengan petunjuk wahyu. Pada zaman empayar Othmaniah, Andalusia, Seville dan lainnya menjadi pusat tumpuan utama para pencinta ilmu dari seluruh pelusuk dunia. Dalam tempoh 700 tahun, tamadun Islam menerajui dunia sehinggalah empayar Othmaniah tumbang pada kurun ke 14 Masihi.

Kini bukan masanya untuk bernostalgia. Sumpahan 'kegersangan ilmu dan akal budi' sudah berakhir. Setelah melalui 700 tahun melalui zaman gelap, sudah sampai masanya umat Islam melaksanakan peranannya semula. Tamadun materialistik dan hedonistik yang disuakan Barat ternyata terlalu rapuh dan kini telah memakan diri. Kejatuhan ekonomi secara drastik di Amerika Syarikat dan United Kingdom serta keruntuhan sistem kekeluargaan dan nilai yang membarah menandakan era 'keangkuhan' Barat sebagai kuasa besar dan 'lanun moden' kian berada di penghujungnya. Dan... dengan kekuatan petunjuk wahyu yang bersifat mutlak serta kekuatan akal yang dicerna dengan ilmu, umat Islam perlu melaksanakan tanggungjawabnya kepada orde baru dunia yang bersifat holistik. Ini bersesuaian dengan tujuan risalah Islam itu sendiri - membawa khabar gembira dan kesejahteraan sejagat.






Saturday, October 25

Ujian Karisma II



Semakin tinggi kedudukan, pengaruh, karisma, kuasa dan ilmu yang dimilki, semakin tinggi keperluan untuk sentiasa bermuhasabah, mendekatkan diri kepada tuhan, berfikir dengan mendalam dan berhati-hati. Ini kerana, setiap patah kata dan gerak lakunya memberi implikasi yang besar kepada manusia dan persekitarannya. Justeru, setiap patah perkataan, keputusan dan tindakan yang dibuat perlu diperhalusi dengan teliti terlebih dahulu kerana impaknya adakalanya bukan hanya sehari tetapi beratus-ratus tahun. Buktinya, lihat sahaja sejarah yang tertulis hari ini. Generasi-generasi terkemudian menyalahkan generasi terdahulu atas kepincangan yang berlaku.


Rantaian ini perlu dihentikan segera. Sejarah tidak boleh diubah tetapi boleh dicipta. Ruang dan peluang yang ada perlu direbut sebaiknya oleh generasi hari ini agar generasi akan datang tidak menyalahkan mereka, bahkan berterima kasih dan berbangga.


Friday, October 24

Qudwah Hasanah


Faktor sosialisasi banyak mempengaruhi manusia. Teori Pembelajaran Sosial melihat tingkah laku manusia dipelajari dengan meniru tingkah laku yang diterima oleh masyarakat serta diperkukuhkan dengan peneguhan.

Peniruan ini berlaku sama ada melalui model langsung (direct model) atau model simbolik. Model langsung adalah ibu bapa, rakan sebaya, guru dan role model manakala model tidak langsung adalah watak dalam buku, watak kartun, tokoh agama, tokoh politik dan tokoh pra-sejarah.

Imam al-Ghazali turut menekankan peripentingnya sosialisasi dalam pembentukan tingkah laku manusia. Justeru, beliau menganjurkan agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan individu yang betul.

Persoalannya, sejauhmanakah ibu bapa sendiri dapat menunjukkan contoh tauladan yang baik? Sebaliknya, jika ibu bapanya baik, bagaimana pula dengan rakan sebaya, guru-guru dan role model yang berada dipersekitaran kanak-kanak? Sejauh mana pula watak kartun, watak dalam buku dan watak tokoh yang ada memberikan suri teladan yang baik untuk diikuti?

Demikian antara teka-teki yang perlu direnung dan ditenung dengan berhemah. Kadar jenayah dan lencongan tingkah laku yang kian meruncing menunjukkan wujudnya banyak kepincangan di sana sini yang perlu diperbetulkan terutamanya pada sikap, tingkah dan pemikiran setiap indi vidu masyarakat yang kemudiannya menjadi model ikutan kepada individu lain. Dalam situasi genting abad ini, negara memerlukan seramai mungkin individu yang berupaya menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan yang baik) serta berupaya melahirkan individu lain yang setara atau lebih baik darinya.

Tuesday, October 21

Sekali Air Bah


Bayu laut bertiup kencang. Sekawan camar putih terbang di birai awan biru. Ceri termenung merenung ombak yang bergulung datang dan pergi. Feri Seri Mahawangsa terus meluncur tenang membelah Laut Merah.


”Ceri, awak buah yang sempurna- cantik, bijak, versatile, ceria, menenangkan, beragama, berasal dari keluarga yang baik-baik dan berada. Untungnya siapa dapat awak. Saya nak cari buah yang macam awak ”.
Mesej Langsat yang tiba-tiba terpapar di skrin mikro komputer hijau berjalur putih susu membuat Ceri tertawa kecil. Halus dan menyenangkan. Ungkapan yang seakan sama sudah acapkali singgah ke telinganya. Bagi Ceri, itu semua cuma persepsi dan dia tidak pernah memandangnya serius.


”Terima kasih, aaamiiin! Awak terlalu memuji Lang. Andai benar sekalipun, bila masanya tiba, semuanya kan hilang sekelip mata bagai dilanda Tsunami”.
Langsat terdiam di hujung talian. Krismas 2004 menjadi saksi nestapa. Jutaan tumbuhan musnah sekelip mata. Hatinya tersayat pilu. Betapa lemah tumbuhan di sisi Esa. Baru ’dijentik manja’ terus rebah dan huru-hara. Bagaimana nanti saat ombak setinggi pohon kelapa menerjah seluruh benua dan bagaimana pula nantinya saat kiamat menjelma? Aduhai, betapa dahsyatnya.

Ceri bergerak tenang ke hujung kapal. Matanya leka seketika memerhati renangan gemalai seekor pari di laut luas. Sejak kematian teman sekolej dalam sujud tanpa sebarang petanda dan penyakit, saat kematian dirasakan seakan terlalu dekat dan ’akrab’. Apalah sangat virus sangkuriang dan bintik-bintik putih yang bertamu dua hari sebelum menjelang lebaran berbanding berita pemergian Cempedak buat selamanya.

”Lang... sejak Ramadan, saya kehilangan lima buah yang signifikan. Bermula dengan sepupu ibu. Matinya dalam tidur sementara menunggu masa berbuka puasa di teratak anakandanya di Sungai Resik. 2 Syawal, pakcik dan makcik saya kemalangan bertembung dengan lori di Kluang. Pakcik saya koma, makcik saya meninggal dunia tertelan terlalu banyak darah sendiri. Seminggu kemudian, saya terima berita pemergian teman sekelas di hospital Johor Bharu. Rupanya sejak enam bulan yang lalu dia menderita barah paru-paru. Cempedak namanya. Cem jauh lebih sempurna dari saya, Lang – cantik, baik, bijak dan berbakat. Dia Pegawai Tadbir Diplomatik yang juga pemegang Ijazah Kelas Pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Earoangkasa. Dua hari yang lepas, datuk saya pula dijemput Allah dan jasadnya kini bermukim di Tongkang Pecah. Ubat yang dimakan dalam keadaan perut kosong menjadi asbab kematiannya. Lang.. terkadang saya merasakan, masanya sudah terlalu hampir untuk saya pulang... ”.
Kehidupan dunia ini dirasakan terlalu singkat. Tiada apa yang hendak direbutkan kecuali kasih-sayang dan redhanya Tuhan. Masa yang ada terlalu berharga dan Ceri mahu memanfaatkannya sebaik mungkin. Dalam munajatnya, dia selalu berdoa agar Tuhan memberinya kekuatan untuk menjadi sebaik-baik tumbuhan – yang paling bertaqwa, berakhlak mulia dan paling berguna.

”Eh! Jangan mati dulu. Rugi tak kahwin dulu..!”.
Balasan mesej dari Langsat membuat pipinya bersinar merah keemasan menahan tawa. Deretan warkah cinta yang tersusun kemas di dalam laci almari putih seakan berterbangan menagih perhatiannya. Mungkinkah ini jua sebahagian dari 'amanah' yang perlu dilunaskan sebelum kembara alam baqanya bermula? Adi, si kunang-kunang kesayangan yang sedari tadi mengintai dari dalam poket beg sandang hijau, tersenyum comel penuh makna.

Friday, October 17

Eksperimen 'Pilih Bulu'




Percaya atau tidak, manusia selalu pilih kasih dan pilih bulu (hipotesis)?

Sesekali, apakata kita bereksperimen dengan individu yang tidak mengenali kita. Jika kita biasa berpakaian kemas dan elegen, sesekali tidak salah utuk tampil ’miskin’, ranggi dan sempoi selagi bersih dan menutup aurat. Jika anda wanita bekerjaya yang biasa memakai suit yang dipadankan dengan tas tangan yang mahal serta kasut hitam berkilat ke pejabat, sesekali apakata anda berpakaian seperti makcik di kampung dengan baju kurung ringkas dan sandal atau sedikit ranggi dengan jeans longgar yang dipadankan dengan baju denim panjang paras lutut serta beg sandang.

Jika anda selalu tampil dengan kot mewah, kemeja lengan panjang yang bergosok rapi, tali leher dan beg berjenama, sesekali apakata tampil dengan jubah putih dan serban di kepala atau bergaya segak ’ala lelaki Melayu terakhir’ dengan berbaju Melayu, bersongkok hitam, bersamping songket dan bercapal. Anda juga boleh memilih untuk tampil sempoi dengan t-shirt leher bulat yang dipadankan dengan jeans atau kain pelikat. Jika ingin tampil sedikit ’nakal’, pakai ’cap’ terbalik, bercermin mata merah jambu atau oren dan berselipar jepun.

Kalau anda biasa membawa Mercedes Benz, BMW, Harrier atau Perdana, apakata sesekali anda menggunakan Perodua Kancil, menunggang motor ’kapcai’ atau berbasikal ke mana-mana.

Sebaliknya, jika anda biasa tampil ringkas dan ’miskin’, apakata sesekali tampil dengan gaya eksekutif, anggun dan bergaya.

Jika anda biasa tampil yakin, petah dan berwibawa, apakata sesekali anda belajar menjadi pendiam, pemalu dan bercakap dengan tergagap-gagap atau sengau. Jika anda biasa tersenyum dan ramah menyapa sesiapa saja, apakata sesekali anda belajar menjadi pemerhati dan berwajah serius. Sebaliknya, jika anda selalu tampil serius dan ’tidak berperasaan’, apakata anda belajar untuk sentiasa tersenyum serta tampil lincah dan aktif.

Anda boleh membuat eksperimen ini di mana saja, ketika membeli buah-buahan di tepi jalan, di pasar malam, di pusat membeli-belah, di hotel mewah, di butik ternama, di majlis tidak formal, di jabatan kerajaan dan swasta, di tepi pantai, di kampung, di tanah rancangan atau di tengah kesibukan kota metropolitan.

Untuk menjadikan eksperimen ini lebih menarik, pergi ke tempat yang sama dan berjumpa dengan beberapa individu yang sama beberapa kali dengan sela masa yang panjang seperti dalam tempoh dua minggu, dua bulan atau setahun dengan penampilan yang berbeza. Perhatikan bagaimana mereka melayan anda apabila berurusan dengan mereka. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan? Individu yang ’genuine’ akan melayan anda dengan cara yang sama walau bagaimanapun penampilan anda. Namun, individu sebegini lazimnya hanya satu dalam seribu. Selebihnya, 999 yang lain – cenderung untuk ’memilih bulu’. Oh ya, jangan lupa untuk mendokumentasikan hasil eksperimen anda itu :) .