Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, September 26

Salam Aidil Fitri



Salam Aidil Fitri.

Selamat kembali kepada fitrah diri yang suci.

Maaf lahir dan batin.

Checklist Cuti




Selamat pulang ke pangkuan keluarga dan menziarahi sanak-saudara jua sahabat handai. Hati-hati di perjalanan. Berikut mungkin antara senarai semak atau 'checklist' terakhir sebelum memulakan perjalanan :



  1. kenderaan dalam keadaan baik

  2. tiket penerbangan/bas /keretapi/komuter (dalam keadaan baik dan mudah dicapai)

  3. api dapur/suis perkakasan elektrik (kecuali peti ais) telah ditutup

  4. pintu dan tingkap rumah telah dikunci rapat

  5. memaklumkan percutian kepada rakan cop/ rukun tetangga terdekat atau jiran tetangga yang tidak pulang

  6. minyak (penuh)

  7. kad Touch n Go, Smart Tag

  8. wang tunai yang mencukupi

  9. makanan dan minuman (mungkin perlu berbuka puasa dalam perjalanan)

  10. kad bank (debit atau kredit)

  11. kad pengenalan, matrik atau pasport (tanda pengenalan diri)

  12. lesen memandu dan road tax (belum tarikh luput)

  13. alat keselamatan

  14. telefon bimbit (baki kredit yang mencukupi) dan charger

  15. stok 'pakaian' yang mencukupi

  16. stok tuala yang mencukupi (kecil dan besar)

  17. alat solek (jika bersolek) dan barangan penjagaan diri (sabun, minyak wangi, dll)

  18. berus gigi dan ubat gigi (kecuali rela berkongsi berus gigi )

  19. laptop, bateri dan charger atau tumb drive dan external hard disk

  20. buku-buku 'sekolah' dan kerja rumah (jika perlu)

  21. cermin mata tambahan (persediaan jika cermin mata yang ada patah atau pecah)
  22. kunci (kunci rumah, bilik, pejabat, pagar dll)

  23. baju raya, kuih raya, kasut raya, kad raya, hadiah raya, duit raya dan yang sewaktu dengannya.

Thursday, September 25

Diari Buku: Mahathir Mohamad




Tajuk Buku

Mahathir Mohamad: an Illustrated Biography

Penulis/Ilustrator

E.Yu (Yu Chuan Choon)

Penerbit

MPH Group Publishing Sdn Bhd

Harga

RM 15.00 (MPH Alamanda, Putrajaya)

Kekuatan

Kulit buku yang menarik, kandungan yang ringkas, padat serta
mudah difahami, disokong dengan ilustrasi dan sesuai untuk semua golongan masyarakat yang memahami Bahasa Inggeris.

Cadangan Penambahbaikan
Disokong dengan edisi Bahasa Melayu dan kesemua karikatur perlu lebih menyerupai wajah sebenar Dr. Mahathir (terutama zaman kanak-kanak dan remaja), turut dimuatkan dengan foto-foto sebenar dan pandangan orang lain terhadap tokoh.



Tun Dr. Mahathir Mohamad. Secara peribadi, saya melihat beliau adalah seorang tokoh yang genius, serba boleh, penuh kontroversi dan memiliki motivasi pencapaian yang tinggi. Gaya pengucapan beliau bersahaja, mudah difahami semua lapisan masyarakat namun bernas dan efektif. Menyorot biografi beliau dalam bentuk ilustrasi oleh E.Yu sememangnya menarik dan mengujakan. Daya tarikan utama buku ini adalah pada tokoh yang dipilih iaitu Tun Mahathir dan biografi perjalanan hidup beliau yang sarat dengan pengajaran.

Dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Alor Star Kedah, beliau merupakan anak bungsu daripada sembilan beradik yang cerdik, rajin, aktif, berbakat dan kuat berusaha sedari kecil. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau sangat rapat dengan ibunya (Cik Wan Tempawan Cik Wan Hanapi, surirumah sepenuh masa), dimanjakan oleh seluruh ahli keluarganya dan dididik dengan tegas oleh bapanya (Mohamad Iskandar, guru besar sekolah Inggeris pertama di negeri Kedah). Faktor-faktor ini kemudiannya banyak membentuk keperibadian beliau apabila dewasa. Di samping itu, beliau juga bertuah kerana memiliki keluarga (keluarga luas dan keluarga nukleus) yang memahami dan sentiasa menyokong perjuangannya.


Beliau memulakan pendidikan rasmi di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Sultan Abdul Hamid dan kemudiannya di Universiti Malaya (Singapura) dalam bidang perubatan. Sifat keushawanan beliau terserlah pada zaman remaja apabila beliau berhenti belajar untuk sementara waktu pada zaman pendudukan Jepun. Beliau mula menjual kopi dan kuih di Pekan Rabu, membina kedai kopinya sendiri sebelum menjualnya untuk memulakan perniagaan menjual buah-buahan. Pada waktu itulah beliau mula menyedari perbezaan taraf hidup masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, beliau mula menceburkan diri dalam politik dengan menyertai kempen menentang Malayan Union dan menulis artikel politik dengan nama samaran C.H.E. Det. Lebih membanggakan, dengan hasil penulisannya beliau mampu memiliki motorsikal sendiri. Kerjaya perubatannya bermula pada tahun 1953 di Hospital Besar Pulau Pinang, Alor Star, Perlis dan Langkawi. Beliau mengambil langkah berani meletakkan jawatan dan membuka kliniknya sendiri serta berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat sambil melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan pengangkutan, perlombongan dan perumahan sebelum menceburi dunia politik dengan serius dan menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat.


Terdapat banyak perkara menarik yang dapat dipelajari daripada beliau melalui buku ini. Antaranya adalah keberanian beliau melakukan sesuatu yang difikirkannya betul, teknik penyelesaian masalah, pengurusan masa dan daya kepimpinannya yang dinamis.

Beliau bijak mengurus masa. Solat Subuh, senaman ringan, mandi, menulis, membaca, bersarapan dan menulis/membaca semula adalah rutin hariannya sebelum ke pejabat. Beliau juga akan membaca sebelum memulakan tugas rasmi (akhbar) dan sebelum tidur. Dengan pengurusan masa yang baik, dalam kesibukannya bekerja, beliau masih sempat melakukan hobinya serta melepaskan ketegangan dengan menyanyi, bertukang, menulis buku, memasak, berkebun, menunggang kuda dan membuat kerja-kerja hiasan dalaman.

Tun Mahathir seorang yang pemalu dan merendah diri namun dalam masa yang sama seorang yang berterus-terang dan tegas. Beliau juga seorang pendengar yang baik dan hanya akan memberikan pendapatnya setelah mendengar semua permasalahan atau aduan dengan teliti. Kritikan beliau mudah diterima pada zaman Tun Razak kerana apabila mengkritik, beliau turut mengemukakan cadangan penambahbaikan. Pemikiran dan daya ingatan yang tajam membolehkannya membuat keputusan dengan cepat, berpandangan jauh, tidak mudah dipengaruhi dan berupaya menyelesaikan krisis dengan tenang. Dalam menyelesaikan masalah, beliau mengadaptasikan kaedah perubatan: membuat pemerhatian, mengenalpasti sejarah penyakit dan klien, melakukan pemeriksaan fizikal, melakukan pemeriksaan khas untuk mengenalpasti penyakit dan membuat keputusan seperti menentukan diagnosis dan rawatan yang diperlukan.

Buku ini adalah permulaan yang baik untuk mendekati kehidupan seorang tokoh yang prolifik. Bagaimanapun, satu bentuk penulisan yang jauh lebih terperinci dan mendalam tentang kehidupan beliau, gaya hidup, pandangan dan pemikiran, strategi-strategi yang digunakan oleh beliau serta kontroversi yang dilalui oleh beliau perlu didokumentasikan dan dikupas secara ilmiah sebagai rujukan pembelajaran dan khazanah keilmuan yang yang mencakupi pelbagai bidang ilmu. Ini penting kerana negara memerlukan saf kepimpinan yang genius, berpengetahuan luas, strategis, serba boleh, berperibadi mulia, bertaqwa dan dalam masa yang sama memiliki kualiti kepimpinan seperti beliau untuk menjadi sebuah negara maju yang disegani dan seimbang pada tahun 2020 atau lebih awal dari itu.

Monday, September 22

Perihal Makan


Fakulti pertama dan tertua bagi manusia adalah hawa nafsu (quwwah al-shahwah) terhadap makanan. Apabila bayi dilahirkan, lazimnya secara spontan ia akan terus menyusu sehingga kenyang daripada ibunya. Menurut Imam al-Ghazali, oleh kerana ini adalah hawa nafsu tertua manusia, ianya adalah perkara yang paling sukar dan terpenting untuk diasuh. Justeru, berasaskan premis tujuan pengasuhan dan pendidikan anak adalah untuk membentuk akhlak mulia, disiplin atau etika makan perlu dilatih terlebih dahulu untuk membolehkan manusia menguasai tingkatan hawa nafsu yang semakin berkembang sepanjang hayatnya. Kegagalan untuk menguasai hawa nafsu pada tahap ini (makan) boleh mengakibatkan manusia gagal untuk menguasai hawa nafsu berikutnya. Oleh itu, bukanlah suatu yang menghairankan apabila kita diajar tentang adab-adab sebelum, semasa dan sesudah menjamah makanan.


Terdapat pelbagai adab makan. Antaranya memulakan dengan menyebut nama Allah, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang, menggunakan tangan kanan, mengambil makanan yang paling dekat terlebih dahulu, tidak berebut-rebut, mengunyah makanan dengan baik, tidak gelojoh dan tidak comot. Ketika menghadap makanan, walau bagaimana lapar sekalipun, kita juga diasuh supaya ingat 'orang di belakang' (orang yang masih belum makan). Ini bermakna, dalam memenuhi tuntutan fizikal, individu dilatih untuk membentuk rasa bersyukur, berdisiplin dan tidak mementingkan diri sendiri. Persoalannya, sejauhmanakah hal ini dipraktikkan sebagai satu elemen pembentukan akhlak mulia terutama di kalangan kanak-kanak? Sebagai contoh, kegemukan (obesiti) di kalangan kanak-kanak adalah satu fenomena biasa di negara membangun dan negara maju sehinggakan ada yang menghidap penyakit darah tinggi yang biasanya dikaitkan dengan warga tua pada usia yang masih kecil.

k
Rujukan:
k
Asmaa' Mohd Arshad, (2003). A comparative analysis of al-Ghazali and Miskawaih on child education, Islamic Culture, Volume LXXVII (1-29).


Thursday, September 18

Ujian Karisma


Antara dugaan paling besar bagi individu berkarisma adalah pengikut atau peminatnya sendiri. Pemujaan dan pengagungan berlebihan menjadikan mereka takjub dengan diri sendiri, lalai, melanggap norma dan akhirnya jatuh secara perlahan-lahan atau tumbang sekelip mata.

Suatu ketika dulu, melalui internet, saya menemukan ceramah dan penulisan yang saya kira bernas daripada seorang pemimpin pesantren di negara jiran. Bahasanya tidak terlalu tinggi dan mudah difahami oleh semua golongan masyarakat. Namanya menjadi sebutan ramai dan sering menjadi fokus media di sana. Pada tahun 2005, saya dan teman-teman berkesempatan ke sana sebagai sebahagian daripada pengisian aktiviti seminar. Setibanya di sana, kami mendapati suasana pesantren yang penuh sesak dengan lautan manusia bagaikan orang mengerjakan umrah. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang khusus menjual pakaian dan peralatan solat keluaran pesantren tersebut. Selepas selesai menyampaikan ceramah, hadirin terutamanya kaum ibu sanggup beratur panjang sehingga melebihi 100 meter untuk menunggu giliran bergambar bersamanya dan isteri. Timbul kerisauan di hati kami melihat situasi ini.

Dua tahun kemudian, apa yang kami bimbangi benar-benar terjadi. Dia mula melakukan kesilapan-kesilapan kecil dan diikuti kesilapan yang besar. Kredibilitinya merudum, pandangannya kurang didengari dan pondoknya mulai kosong.

Situasi yang hampir sama seperti ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Hanya individu yang berilmu, bertaqwa, bijaksana, sentiasa berhati-hati dan ikhlas sahaja yang dapat melepasi dugaan ini dengan baik. Namun, situasi yang lebih membimbangkan adalah apabila pengikut terlalu taksub kepada tokoh dan tidak bertindak untuk memperbetulkan kesilapannya. Harus diingat, mereka ini bukan nabi. Oleh itu, mereka bukanlah maksum dan berpotensi melakukan kesilapan. Kesilapan ini perlu segera diperbetulkan supaya mereka ini terus dapat berfungsi dalam masyarakat dengan baik dan bukannya merosakkan masyarakat.

Justeru, jika benar-benar sayangkan tokoh kerana Allah janganlah terlalu memujanya tetapi cukuplah dengan menghormatinya, membantunya dan berdoalah agar Allah memelihara kesejahteraan dirinya daripada serigala-serigala buas yang sentiasa berkerumun mengelilinginya.

Wednesday, September 17

Sudoku


Pernah bermain Sudoku? Berasal dari Jepun, Sudoku adalah singkatan 'Suuji wa dokushin ni kagiru' iaitu setiap digit mestilah cuma satu. Kalau anda suka bermain dengan minda, Sudoku, teka silang kata, catur dan ujian IQ antara yang menarik untuk dicuba. Saya temui buku kecil ini di MPH Alamanda. Buku ini mengandungi 45 kuiz Sudoku yang terbahagi kepada empat kategori: mudah, sederhana, sukar dan sangat sukar. Mungkin anda akan mendapati ianya kurang mencabar namun baik untuk meningkatkan kepekaan dan logik.
K
*Diari buku ditulis atas permintaan Kak Siti dan saya mulakan dengan naskah comel RM 2.90 ini.

Sentiasa Bersedia


Seorang teman baru kehilangan Aiman (bukan nama sebenar) anak saudaranya yang comel. Aiman berusia 11 tahun dan baru berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Sebelum kematiannya, Aiman pernah berkata:

”Tak naklah mati bila dah tua. Nanti banyak dosa”.

Tidak lama kemudian, Aiman diserang batuk. Ia kemudiannya menjadi asbab paru-parunya diserang jangkitan kuman, koma dan meninggal dunia.

Ibunya pasrah dan sudah bersedia untuk kehilangannya namun tidak ayahnya. Mimpi berturutan melihat cahaya keluar dan masuk semula ke dalam jasad arwah disangkanya petanda si anak akan pulih semula. Oleh yang demikian, kematian Aiman lebih mudah diterima si ibu berbanding si ayah.





Setiap hari kita berpotensi untuk mati atau menerima berita kematian orang lain. Benar... kematian insan yang signifikan dalam kehidupan kita bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, redha atau tidak redha, realitinya mereka sudah tiada di dunia ini. Apapun, hubungan kita dengan arwah tidak terputus. Saat ini, doa anak yang soleh, amal jariah dan ilmu yang ditebarkan semasa hayatnya akan terus-terusan memberi manfaat kepada arwah meskipun jasadnya sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Justeru, benarlah pendapat orang yang bijaksana, kumpullah harta yang kekal abadi untuk bekalan hidup di kemudian hari (alam akhirat yang kekal abadi).

Biarkan mereka beristirehat di sana. Bersemadi dengan tenang di alam barzakh. Saya selalu percaya, setiap individu adalah khalifah. Setiap khalifah diberikan amanah dan tugasan tertentu dalam jangka masa tertentu. Apabila jangka masa tersebut tamat, manusia akan kembali kepada penciptanya. Ini bermakna, setiap kematian insan menandakan beban tugasan kekhalifahan mereka di dunia ini sudah berakhir dan disambung oleh insan lain yang masih lagi hidup atau bakal dilahirkan sehingga ke hari kiamat.

Kehidupan dunia ini tiada yang abadi. Hargai setiap insan yang masih hidup dan berada disekeliling kita namun dalam masa yang sama sentiasa bersedia untuk dipisahkan pada bila-bila masa sahaja. Akhirnya kita menyedari, yang kekal untuk dijadikan sandaran dan harapan hanyalah Allah. Ini penting supaya kita mudah sembuh (coping skill), tidak mengalami kemurungan terlalu lama, tenang dan dapat menguruskan diri dan persekitaran dengan baik kerana kehidupan di dunia ini sentiasa penuh dengan kemungkinan dan perkara yang adakalanya tidak terduga.



Tuesday, September 16

Pulau Ceri di Hujung Tanduk



Ramai teman-teman seperkebunan Ceri yang sudah tidak sanggup lagi menatap Akhbar Warta Tumbuhan. Isu politik semasa, gejala sosial dan jenayah kelihatan semakin meruncing dan mengerikan. Ada sesuatu yang tidak kena yang perlu diperbetulkan segera demi kebaikan bersama. Pertembungan antara puak Labu ala sekularis liberalis dan puak Padi tradisionalis begitu menggetarkan jiwa warga tumbuhan. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Tragedi oktober yang menyaksikan ribuan warga tumbuhan spesies buah-buahan, sayur-sayuran dan herba ditebas dan dibakar hidup-hidup masih menghantui mereka dari satu generasi ke satu generasi. Semuanya angkara parasit yang terbang menggunakan angin atau menyusup masuk melalui bawah tanah dari arah Barat dan kebun-kebun yang terletak berdekatan. Sekelompok parasit telah menyamar menyerupai warga tumbuhan. Sekelompok lagi merasuk kedua-dua kelompok tumbuhan untuk agar terus mabuk dan berlawan sesama sendiri.


"Ceri, apa nak buat ni... dalam situasi sekarang, apa-apa saja boleh terjadi..". Limau sudah mula panik. Dia sudah mula berfikir-fikir untuk membina terowong rahsia di bawah tanah supaya warga tumbuhan boleh melarikan diri secepat mungkin apabila keadaan diperlukan.


"Tenang... jangan terlalu panik. Bila kita terlalu panik, kita lebih berisiko untuk melakukan kesilapan".


"Sukar untuk membezakan antara parasit dan tumbuhan asli. Mereka seakan-akan sama sahaja seperti kita. Ada pula yang sudah berani menampakkan diri dan menampakkan rupa bentuk mereka yang seakan-akan tanduk syaitan. Semua spesies limau sudah mula tinggal dalam ketakutan kerana masing-masing tinggal di wilayah yang diisytiharkan sebagai kawasan paling subur di pulau ini".


"Ya, Ceri tahu. Puak Labu dan Padi sudah mula bercakaran sesama sendiri. Masing-masing merasakan spesies mereka saja yang betul. Masing-masing mengatakan semuanya demi kebun ini. Masing-masing mula tertipu dan hanya satu saja yang benar dan itupun hampir-hampir tidak diendahkan. Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Bahaya ni! Tapi kita kena bertindak dengan bijak".


"Macamana tu? ". Limau membuak ingin tahu.


Dan seperti biasa, Ceri tetap tersenyum tenang. Firasatnya menangkap sesuatu...

Monday, September 15

Membangun Insan Murabbi I


Hari ini kita memiliki ribuan guru tadika, guru sekolah, fasilitator, tutor, pembimbing, penceramah, jurulatih, mentor, pakar motivasi, pendakwah dan ahli akademik. Mereka ini semua kita boleh golongkan sebagai guru berasaskan tugasan mereka menyampaikan ilmu. Persoalannya, berapa ramaikah dari kalangan mereka ini yang memiliki kualiti murabbi?

Murabbi adalah individu yang bukan sahaja berilmu dan bijaksana, malah bertaqwa, baik dan berbudi pekerti mulia. Justeru, murabbi mempunyai dua kriteria penting : berilmu dan berakhlak mulia. Peranan guru dalam pendidikan bukan sekadar mengajar ilmu yang bersifat teoritikal (theoritical knowledge) tetapi juga ilmu yang bersifat personal (personal knowledge). Ilmu teoritikal bersifat universal, berulang dan boleh dijelaskan sepenuhnya melalui bahasa sama ada bertulis atau pun melalui pertuturan. Ianya merangkumi mata pelajaran atau subjek yang disampaikan oleh guru sama ada ilmu wahyu, sastera, pendidikan, sains sosial mahupun sains tulen. Ilmu personal pula bersifat sebaliknya. Ianya berhubung dengan pengalaman yang spesifik, tidak berulang dan tidak dapat diajar sepenuhnya melalui penulisan dan pertuturan. Dalam ertikata mudah, ilmu teoritikal adalah subjek yang diajar oleh guru dan ilmu personal adalah gaya hidup guru yang bersebati dengan nilai-nilai mulia pada setiap waktu dan ketika.

Murabbi yang terbaik adalah Nabi Muhammad SAW. Sejarah menyaksikan, tiada suatu kitab pun yang diturunkan Allah tanpa murabbi. Dalam konteks ini, murabbi adalah para rasul yang diamanahkan Allah untuk menyampaikan wahyu_Nya kepada manusia. Sekadar perumpamaan, Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya boleh sahaja menurunkan al-Quran dalam bentuk ukiran-ukiran indah pada tugu-tugu emas yang muncul tiba-tiba dari perut bumi di Kota Mekah. Ianya tentulah fenomena yang mengujakan masyarakat Arab jahiliah waktu itu. Namun, pasti ada agenda besar mengapa Allah Yang Maha Bijaksana mengutus Nabi Muhammad SAW, anak yatim piatu lagi miskin itu untuk bersusah-payah menyampaikan risalah-Nya.



uuu

*Diubahsuai dari nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam Dr Yedullah Kazmi, The Notion of Murabbi: An Islamic Critique of Trends in Contemporary Education.



Sunday, September 14

Belajar Setiap Hari


Kehidupan sentiasa dikelilingi oleh maklumat. Kita hanya perlu memilih, mencari dan mencerna serta mencanainya dengan baik untuk dijadikan sebagai sumber ilmu. Pembelajaran tidak terhad kepada pembelajaran secara formal sahaja. Peluang untuk mempelajari perkara baru sentiasa terbuka di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, selagi kita berminat dan mengambil inisiatif untuk belajar.


Selagi manusia mahu membuka ruang fikirnya, manusia boleh belajar melalui 7 pancaideranya dengan beberapa kaedah mudah:


1. Mendengar, melihat dan memerhati

2. Membaca

3. Membuat eksperimen/mengkaji

4. Bertanya dan berbual

5. Merasai sendiri (pengalaman) termasuk mimpi

6. Memahami gerak hati

7. Belajar dan mengajar


Setiap manusia dan setiap kejadian di muka bumi ini mempunyai nilai pembelajaran. Contohnya, dengan memerhatikan sekumpulan semut bekerja, manusia dapat melihat sistem pengurusan, pembahagian tugas, nilai-nilai murni serta faktor fisiologi yang membolehkan semut terus bertahan di muka bumi. Dengan mengkaji struktur tubuh seekor burung, manusia memperoleh idea untuk mencipta kapal terbang. Melalui mimpi, manusia merasai pengalaman baru dan meneroka situasi yang belum pernah dilaluinya dalam dunia sebenar. Melalui pembacaan, manusia berinteraksi dengan penulis yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Dengan bertanya dan berbual, manusia mencungkil maklumat baru dan membuat pengesahan. Dengan belajar dan mengajar, manusia mempertajamkan kefahamannya dan mengenalpasti ruang-ruang kejahilan yang masih tersisa dan perlu diperbaiki.


Ini bermakna, selagi manusia membuka pintu akal dan hatinya, manusia akan sentiasa belajar dan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa kerana itu adalah fitrahnya. Pembelajaran pula tidak terhad kepada pembelajaran formal semata-mata. Justeru, ketinggian mutu keilmuan seseorang tidak hanya terletak kepada bilangan sijil dan ijazah yang dimilikinya, tetapi sumbangannya kepada agama, bangsa, negara, keluarga dan dirinya sendiri.

Friday, September 12

Tips Menjimatkan Masa




Berikut adalah sebahagian daripada cadangan untuk mengoptimumkan penggunaan masa terutamanya bagi mereka yang agak sibuk tetapi lebih selesa melakukannya sendiri.



  1. Gunakan Touch N Go atau SMART TAG di lebuhraya untuk mengelakkan beratur panjang. Bagaimanapun, sediakan duit kecil secukupnya apabila laluan Touch N Go adakalanya kurang lancar berbanding lorong tunai seperti di Plaza Tol Mines Seri Kembangan.

  2. Beli pinggan mangkuk yang licin dan tidak terlalu berukir-ukir. Ianya lebih bersih, lebih mudah berkilat dan anda tidak perlu menyental daki-daki hitam yang melekat pada pinggan mangkuk.

  3. Siang sayur dan ikan untuk seminggu. Masukkan ke dalam tupperware. Satu tupperware untuk satu hidangan. Masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan satu tupperware setiap kali mahu memasak.

  4. Masak dalam kuantiti yang banyak (contohnya 2 hidangan sekaligus). Hidangkan hidangan pertama. Sejukkan hidangan kedua, masukkan ke dalam tupperware dan simpan ke dalam peti sejuk. Panaskan semula apabila mahu dihidangkan.

  5. Bayar pinjaman perumahan, kereta, bil telefon, bil elektrik dan cukai pintu atau cukai tanah secara online. Bagaimanapun, jika kurang yakin dengan perbankan online, bayar tiga bulan sekali atau setahun sekali pada bulan pertama (bergantung kepada tahap kewangan). Anda juga boleh memilih untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai perumahan untuk tiga tahun.

  6. Gunakan post-paid berbanding pre-paid terutamanya jika lebih banyak bercakap dari menulis. Ianya juga lebih menjimatkan kos. Jika tetap mahu setia dengan post-paid, beli top-up yang mencukupi untuk stok sebulan termasuk kecemasan. Jika berminat, mendaftar terus sebagai agen top-up.

  7. Gunakan cadar dan comforter yang mudah dikemas, tidak mudah renyuk dan mudah dibersihkan.

  8. Gunakan mesin basuh otomatik berbanding manual. Tugasan lain dapat dilakukan sementara menunggu ianya selesai. Pastikan pakaian yang mudah luntur dan terkena najis diasingkan terlebih dahulu.

  9. Gosok pakaian untuk seminggu atau beli fabrik yang mudah diurus.

  10. Senaraikan keperluan untuk sebulan dan berbelanja sebulan sekali.

  11. Lakukan dua kerja dalam satu masa seperti membaca sambil berendam, bersantai sambil bersenam, melukis sambil mendengar muzik, menggosok baju sambil mendengar berita, memasak sambil menghafaz al-Quran, melipat pakaian sambil menonton televisyen dan belajar ilmu baru, melancong, makan atau bermain sambil mengeratkan silaturahim.

  12. Kenalpasti lokasi tempat baru terlebih dahulu untuk mengurangkan risiko sesat di perjalanan. Jika boleh, bawa rakan yang arif sebagai juru pandu. Jika mempunyai pilihan, pilih lokasi yang anda biasa, dekat dan kurang sesak seperti Putrajaya dan Bangi berbanding lokasi baru, jauh dan sesak seperti Kuala Lumpur dan Bandar Kajang.

  13. Jaga kesihatan. Lakukan senaman, amalkan pemakanan seimbang, halal dan berkhasiat dan amalkan gaya hidup sihat. Cegah penyakit dan kemalangan selagi boleh supaya tidak perlu menghabiskan masa untuk berulang-alik ke hospital.

  14. Gunakan masa perjalanan yang panjang (terutamanya jika memandu sendirian) dan masa menunggu untuk menghafaz al-Quran, merenung, bertafakur, mengimbas kembali, menenangkan fikiran, mengingati topik-topik penting, berlatih bercakap, merapatkan hubungan, bertukar fikiran, menyelesaikan masalah, berfikir dan meneroka idea-idea baru.

Thursday, September 11

Apa Khabar?



Kita selalu bertanya khabar dengan individu yang masih hidup – sihatkah mereka, semakin bertambah gemuk atau kurus, apa yang sedang dilakukan, berapa banyak anugerah yang diperoleh, berapa bilangan anak, kerjaya mereka dan perkembangan-perkembangan terbaru mereka.

Sesekali, ada baiknya kita bertanya khabar dengan mereka yang sudah kembali ke alam barzah. Apa kata kita tanyakan soalan yang sama kepada mereka. Khususnya kepada ahli keluarga, sahabat, jiran-tetangga, rakan sepejabat dan sepersekolahan jua guru-guru kita yang telah kembali. Wahima yang pergi secara perlahan-lahan (sakit) mahu pun penuh kejutan (kemalangan, mati mengejut (sudden death), pembunuhan dan bunuh diri). Bagaimana keadaan fizikal mereka, kulit mereka, organ-organ dalam badan mereka dan tulang-temulang mereka? Bagaimana kehidupan mereka di sana, tenang dan bahagia, sedang-sedang saja (sederhana) atau derita dan terseksa? Apakah mereka kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang (nafsu mutmainah), redha lagi diredhai atau sebaliknya? Adakah mereka puas dengan tingkah mereka di dunia sewaktu hayatnya atau sebaliknya? Apakah segala amal kebaikan mereka yang menggunung itu diterima Allah atau sekadar menjadi fatamorgana. Dilihat ada, dicapai hilang? Hilang lenyap disapu hasad, riya’ dan suma’h.

Sesekali, apakata kita tanyakan pula pada diri sendiri, andainya saat ini nyawa kita dicabut, apakah kita akan kembali pada Ilahi Rabbi dengan jiwa yang puas, tenang dan tenteram lagi diredhai atau penuh sesal, resah gelisah dan bersalah?

Tuesday, September 9

Kebenaran.. perlukah dijelaskan?


Kebenaran adakalanya pahit dan melukakan perasaan. Namun, kepahitan itulah yang menjadi ubat kepada kesakitan yang seterusnya kerana dalam kebenaran terhimpun keberkatan. Kepahitan itu juga membolehkan kita menghargai wujudnya rasa manis, masin, masam dan tawar. Kelukaan pula membolehkan sistem imunisasi tubuh terhasil untuk menangkis pelbagai wabak masa depan.

Justeru, usah takut menjelaskan kebenaran. Bagaimanapun, ianya perlu dinyatakan secara berhemah bagi mengelakkan akibat yang lebih buruk kerana bukan mudah untuk individu atau organisasi menerima kebenaran yang menyedihkan dan mendatangkan kerugian kecuali mereka yang berani dan ikhlas dalam perjuangan.

Sunday, September 7

Pulanglah I



Manusia yang malang dan berbahaya adalah manusia yang jahil namun tidak mengetahui dirinya jahil sehingga menganggap segala tindakannya adalah benar belaka. Dan, manusia yang lebih malang dan jauh lebih berbahaya dari itu adalah manusia yang terpandang alim, berpengaruh lagi dihormati namun mengkhianati amanah ilmu dan kepemimpinannya untuk kepentingan pribadi.

Friday, September 5

Pandangan Rahmat



"Kita ada dua jenis musuh, musuh sementara dan musuh kekal... "


Penyataan Prof. Azimi Hamzah menarik perhatian Ceri. Setiap kali bertemu dengan beliau, pasti ada saja ilmu baru dan idea menarik untuk diterokai dan dihazam.


"Maksud Prof?"


Ceri sudah dapat mengagak, namun dia senghaja menunggu guru yang dihormatinya itu memperjelaskan maksudnya.


"Musuh kekal adalah hawa nafsu dan syaitan... musuh sementara?".


Giliran Prof Azimi menduga dan seperti biasa, Ceri cuma tersenyum.


"Musuh sementara itu adalah semua manusia yang bermaksiat dengan Allah dan melakukan kerosakan di muka bumi. Apabila mereka bertaubat, kembali kepada fitrah kejadiannya dan berbuat kebaikan, mereka tidak lagi menjadi musuh kita, bahkan sering saja jauh lebih baik dari kita".


Ceri mengangguk setuju. Terkadang koloni tumbuhan sepertinya terlupa akan amanah yang diberikan sebagai daie. Pembawa berita gembira. Pembawa rahmat dan kebenaran. Membawa setiap penciptaan-Nya kembali kepada fitrah kejadiannya dengan penuh hikmah dan kasih-sayang. Sekilas, wajah Ungku Durian terlintas dibenaknya. Serentak dengan itu, seluruh bilik Prof. Azimi seakan bergema dengan suara mersik wibawa Ungku Durian:


"Ceri... pandanglah setiap manusia dan setiap kejadian di muka bumi ini dengan pandangan rahmat dan kasih sayang".
j
k
Ceri senyum lagi- tenang dan damai sekali.




Thursday, September 4

Strategi perniagaan unta Abdul Rahman bin Auf



Pada satu ketika dahulu, sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Bin Auf adalah usahawan termasyur. Antara perniagaannya adalah menjual unta. Beliau mempunyai satu strategi sehingga mendominasikan pasaran unta, dimana pada sebelum itu pasaran dimiliki oleh usahawan-usahawan Yahudi.

Strateginya? Unta-unta beliau dijual pada harga cost price (harga kos)- tiada untung! Semua yang ingin membeli unta akan pergi kepada Abdul Rahman b Auf.


Tiada untung dalam menjual unta?

Habis tu, macam mana nak berniaga?


Apabila ditanya, jawabnya... Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual "tali pengikat unta". Di situlah datangnya keuntungan. Diceritakan bahawatali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam-macam warna.Hebat!

Strategi ini walaupun telah dilakukan pada zaman Rasulullah, kalau di lihat zaman ini, banyak perniagaan menggunakan kaedah yang sama. Air Asia adalah antara yang menggunakan kaedah ini. Cuba fikirkan bagaimana Air Asia mengenakan tambang rendah (ada yang pada RM0), dan mengenakan bayaran pada produk dan perkhidmatan lain. Hmmm... nampaknya kaedah Air Asia bukanlah kaedah yang baru.


* Artikel ini ditulis oleh Dr. Irfan Khairi


Monday, September 1

Anak Yatim?



Bukanlah yatim sesiapa yang ibubapanya terhenti menanggung hidupnya rendah tak berdaya, Sesungguhnya si yatim itu anak yang mempunyai…

ibu yang selalu mencuaikan dan ayah sentiasa sibuk bekerja.

~Syauqi~


* dalam Noor Laily Abu Bakar, (2007). Kemahiran Keibubapaan Masakini, dalam Keluarga Islam, Kemahiran Keibubapaan dan Cabaran Semasa, suntingan Azrina Sobian, Petaling Jaya: MPH Publishing Sdn Bhd.
jjj

P/s: Selamat beramal jariah kepada anak yatim & 'anak-anak yang yatim'