Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, June 26

Sastera dan Sasterawan

Seorang teman merasakan dunia sastera terpinggir jauh. Dia kemudiannya membandingkan layanan orang terhadap S. N. A Samad Said berbanding Siti Norhaliza. Amarahnya membara apabila tiada siapa mengendahkan sasterawan negara itu mengangkat kotak di pesta buku. Sakit dihatinya tambah membara apabila karya suaminya diciplak sewenang-wenangnya.




Apa ada pada Siti Norhaliza? Keistimewaan Siti Norhaliza terletak pada kemerduan suaranya, kesantunannya dan tak dinafikan, pada paras rupanya yang manis menawan. Fitrah manusia sememangnya suka kepada yang indah-indah. Namun ada satu lagi faktor penting - Siti Norhaliza adalah seorang artis yang bertaraf jutawan. Realitinya memang kita bersikap materialistik. Mungkin ini semua didorong oleh faktor desakan hidup yang semakin menghimpit apatahlagi dengan kenaikan harga minyak, kediaman dan barangan keperluan secara mendadak.

Saya kira ada satu cara untuk mengangkat martabat sastera. Kita perlu melahirkan seorang sasterawan yang mempunyai pakej lengkap (berbakat besar, berpendidikan tinggi, berakhlak mulia, memiliki paras rupa yang sangat menawan, mempunyai perwatakan dan personaliti yang menarik, serba-boleh dan kaya raya). Yang paling utama, berjaya menghasilkan karya membina dengan penjualan mencecah sehingga 1 juta unit atau lebih di Malaysia. Lebih menarik lagi jika karyanya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia juga menjuarai carta jualan seperti mana J.K Rowling dengan Harry Potternya. Ya, mungkin itu saja antara jalan yang ada. Saya kira, kita sudah ada beberapa orang sasterawan muda tanah air yang berpotensi untuk membuat kejutan dan mencetuskan fenomena yang mengujakan ini. Kita tunggu dan lihat... siapa dia :).



Wednesday, June 25

Tips Penjimatan Belanjawan Bulanan




Kata ahli politik, ini masa untuk berjimat cermat. Kepada individu yang sudah 'menggelegak' dengan politik semasa tanah air, abaikan dari mana nasihat itu datang. Imam al-Ghazali pernah mendapat nasihat yang bernas dari sang penyamun. Yang penting kita sentiasa dituntut untuk berjimat-cermat sama ada di waktu susah mahupun senang. Pastinya tiada siapa yang mahu dinobatkan sebagai rakan syaitan yang suka membazir itu. Bukan saya. Bukan saudara/saudari.


Berikut merupakan antara tabiat positif yang boleh dipupuk untuk mengurangkan pembaziran dan mengurangkan kos:


1. menutup suis lampu dan kipas apabila tidak digunakan.

2. berkongsi membeli suratkhabar/majalah

3. menyimpan plastik yang diperoleh semasa membeli barangan keperluan untuk dikitar semula seperti dijadikan pembungkus sampah

4. memelihara ayam, itik, arnab, kambing, lembu, rusa, landak (jika sesuai), atau burung (yang boleh dimakan seperti burung ayam-ayam dan puyuh) Ayam dan itik bertelur hampir setiap hari dan jika berlebihan boleh dijual atau dihadiahkan kepada orang lain. Untungnya, kita sendiri dapat memastikan 'kehalalan' telur dan dagingnya. Ayam dan itik juga boleh membantu 'melupuskan' sisa makanan seharian.


bersambung...






Friday, June 20

Hidup Bagai Mimpi?


Adakalanya kita terasa hidup seakan mimpi. Sekejap kita berpijak di rumput hijau, sekejap kita terbang mencecah awan, membelah lautan luas- merentas segala gunung dan lembah. Masa pantas berlari. Semalam kita terasa seolah baru dilahirkan, membesar menjadi kanak-kanak yang comel dan pintar, remaja yang lasak, aktif dan ceria, dan kini menjadi individu dewasa yang matang dan berhemah.





Mana lebih indah, hidup atau mimpi? Bagi saya, pastinya kehidupan itu lebih indah kerana kita berupaya memilih dan mengatur kehidupan dengan penuh kebijaksanaan. Dalam mimpi, kita terpaksa mengikut skrip tetapi di alam nyata kita berhak merancang dan menentukan sendiri tindakan yang bakal dilakukan. Ya, bersama kita nikmati kehidupan ini. Jadikan setiap saat adalah saat-saat yang indah lagi membahagiakan kerana kita sentiasa punya 'kuasa' untuk menikmatinya.


Bak kata penyu tua, Master Oogawa dalam filem animasi Kungfu Panda :



"Yesterday is a history, tomorrow is a mystery,

today is a gift...

and that's why it is called as 'present' "



Sunday, June 15

Gemilang




Terjagaku dari tidur yang lena

Melangkah tenang menuju jendela

Kabus menyelubungi subuh

Mengimbas segala kenangan yang lalu


Lautan luas telah ku renangi

Segala onak ranjau yang berduri

Tak kenal dan tak ku peduli

Ku terus mencuba

Kecapi hingga kini


Bersama-sama tempuhi segala

Walau jalanan masih jauh

Hanya kau dan aku yang tahu


Saat gemilang yang aku nantikan

Hampir menjelma di depan mataku

Ku percaya saatkan tiba

Hanya menunggu tika dan masa


Bersama-sama

Tempuhi segala

Saat gemilang akan tiba

Kan kita kecapi bersama


Sungguh aku berjanji

Dengan diriku sendiri

Untukku menggenggami

Ikhlas, sabar, benar


-Ella

Obor Hemah


Puisi Obor Hemah nukilan S.N. A. Samad Said ini diambil dari laman Dr.MAZA. Sila klik pada foto yang dilampirkan untuk mendapatkan saiz paparan asal.

Saturday, June 14

Seadanya: Solo atau Berdua



Ramai individu yang masih bersendirian mengadu kesepian kerana masih belum mempunyai pasangan hidup. Tidak kurang juga yang terlalu bimbang jika mendapat gelaran andartu, andalusia (anak dara lanjut usia), jejaka pencen atau bujang terlajak. Dalam pada itu, ramai juga individu yang telah berkahwin menyatakan rasa kesal dengan perkahwinannya. Ada yang teraniaya, ada yang merasakan belum puas menikmati zaman bujang, ada yang merasa terbeban dengan tanggungjawab dan ada pula yang tidak berpuas hati dengan pasangannya. Kesemua ini jika tidak ditangani dengan baik akan membawa stres berpanjangan.


Walau apapun status diri anda, anda berhak untuk merasa bahagia. Orang yang bahagia menerima keadaan dirinya seadanya, bersyukur dengan apa jua yang dimilikinya, redha dengan ketentuan-Nya, optimis dengan apa jua yang melingkunginya, mencari hikmah pada setiap apa yang dihadapinya, cermat dalam setiap langkahnya, bijaksana dalam mengurus kehidupannya dan sentiasa mengadakan penambaikan dari masa ke semasa. Ya, tidak kira apapun statusnya, solo atau berdua, anda berhak memilih untuk bahagia dan bertindak sebagaimana orang-orang yang bahagia.

Friday, June 13

Subsidi Petrol di Pejabat Pos

Sila klik pada rajah untuk paparan sebenar.

Subsidi Petrol di Pejabat Pos I


Sila klik pada rajah untuk paparan sebenar.

Thursday, June 12

Ratu Tudung

Miss Headscarf Denmark 2008

Peniaga Contoh

Makan apa saja hanya dengan RM 2.00 di kedai makan milik En. Khalid Ahmad di Terminal Feri Kuala Kedah, Kedah.

Monday, June 9

Dunia Baru


Petang Isnin yang damai. Awan gemuk sarat mengandung hujan. Daun pohon ru bergoyang lembut dihembus bayu laut Tanjung Balau. Ikan-ikan kecil berenang-renang di celah -celah batu. Empat orang kanak-kanak kecil berbaju oren limau Sunkist berlari berkejar-kejaran sambil tertawa riang di gigi pantai. Ceri tersenyum tenang. Duduk santai di tepian samudera dan membiarkan separuh dari tubuhnya ditengelami air jernih laut yang sesekali berombak perlahan. Sungai matanya sudah lama kering. Segala kepedihannya seolah telah meresap jauh ke dasar bumi. Tekadnya bulat. Mulai saat ini, walau apa jua yang terjadi, dia hanya mahu memandang ke hadapan dan mencipta keindahan.

Sunday, June 8

Stres: Butang Hijau


Stres? Terdapat pelbagai cara untuk menangani stres. Antara yang paling mudah adalah dengan menukar cara gaya berfikir iaitu dari pemikiran negatif ke positif.

Bayangkan kita mempunyai dua butang pemikiran yang boleh dikawal. Letakkan butang itu dimana-mana sahaja bahagian yang mudah dicapai. Mungkin anda boleh bayangkan ianya terletak dibahagian dada seperti Ultraman atau dibahagian kepala seperti Teletubbies.


Butang hijau bersinar menandakan pemikiran positif, manakala butang merah menyala menandakan sebaliknya. Butang hijau adalah baik sangka, optimis, sabar, redha, berani, tenang dan tawakal. Butang merah adalah prasangka, ketakutan dan rasa curiga yang meluap-luap. Butang hijau mendorong manusia berfikir secara waras, kreatif dan berhikmah. Butang merah pula mendorong individu menjadi pemarah, terlalu risau, cemburu buta dan bertindak terburu-buru.

Contohnya, ketika sedang memandu Perdana hitam metalik baru, tiba-tiba sebuah Perodua Kancil merah memotong laju dengan berbahaya. Ramai memilih untuk membebel dan memaki hamun sehingga letih. Sayangnya, tenaga yang digunakan untuk bebelan dan makian tersebut tidak menyelesaikan masalah sebaliknya hanya meninggikan lagi kadar stres, tekanan darah dan cenderung menyusutkan kadar pahala sedia ada. Dalam menghadapi situasi ini, jika kita menggunakan butang hijau, mungkin kita akan tertawa kecil kerana membayangkan pemandu Perodua Kancil itu sedang senak perut yang tidak dapat ditahan-tahan atau isterinya sedang kesakitan untuk melahirkan cahaya mata sulung.

Apakah warna butang anda sekarang? Jika merah, segera tekan butang hijau supaya diri menjadi lebih tenang, rasional dan dapat mengawal keadaan. Dalam menjalani kehidupan, terdapat pelbagai perkara dan situasi yang tidak dapat dielakkan. Namun kita boleh memilih untuk menghadapinya dengan hati yang ceria atau sekadar merungut sehingga tumbuh 'sesunggut' dan seterusnya memudarkan lagi aura seri di wajah nan bercahaya.

Produk Pelancongan Utama


Thursday, June 5

Tips Penjimatan Minyak Petrol



1. Elakkan memandu pada waktu puncak. Keluar ke pejabat lebih awal dan pulang lebih awal atau setengah jam lebih lewat.

2. Berkongsi kenderaan ke pejabat atau ke lokasi yang sama (jika sesuai)

3. Kurangkan penggunaan penghawa dingin

4. Elakkan memandu di tempat/ laluan yang diketahui sesak kecuali terdesak

5. Keluarkan barangan yang tidak diperlukan di dalam kenderaan untuk mengurangkan bebanan

6. Isi minyak semasa dalam perjalanan dan elakkan tabiat keluar rumah semata-mata untuk mengisi minyak.

7. Bertukar kepada kenderaan berkapasiti kecil atau mempunyai enjin khas yang direkabentuk untuk menjimatkan penggunaan minyak

8. Servis kereta secara berkala untuk meningkatkan kecekapan enjin

9. Pastikan tayar kereta berada dalam keadaan baik (tidak botak atau terlalu kempis)


ATAU


10. Gunakan kenderaan awam (yang cekap dan efisyen sahaja)

11.Bertukar kepada NGV, kenderaan solar, hidro atau elektrik (jika kemudahan untuk isian/caj semula tenaga mudah diperolehi)


ATAU


12. Simpan kenderaan anda di rumah sebagai perhiasan atau tempat menyimpan barangan anda untuk sementara dan gunakan basikal atau berjalan kaki sehingga harga minyak jatuh atau sehingga anda berjaya menemui sebuah telaga minyak secara rahsia :)