Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, April 30

Carilah Ilmu !




Anakku! Carilah ilmu berteraskan agama agar kita dihormati dan hormat orang yang berilmu, Insya-Allah bahagia hidup di dunia dan akhirat.


~Dr Uthman el-Muhammady~

Monday, April 28

Meningitis



Meningitis. Wabak ini pernah menggemparkan negara tidak lama dahulu. Ianya mudah tersebar melalui batuk, bersin, ciuman dan persekitaran yang kotor serta nyamuk.


Apa yang membimbangkan, virus dan bakteria ini menyerang bahagian otak dan boleh membawa kepada kematian.


Seorang teman, Rina (bukan nama sebenar) pernah diserang virus ini semasa mengikuti pengajian di sebuah universiti di selatan tanah air. Beliau koma dan terlantar di hospital selama beberapa bulan. Sahabat-sahabat yang melawatnya menangis melihat tubuhnya yang dulu berisi itu cuma tinggal seolah-olah cuma tulang yang disaluti oleh kulit.


Setelah segala ikhtiar dilakukan dan berbakul-bakul doa dipanjatkan, dengan izin Allah akhirnya beliau pulih dari wabak ini. Bagaimanapun, segala memorinya hilang seperti CPU yang diserang oleh virus dan terpaksa direeboot semula. Tiada suatu apapun yang tinggal dalam memorinya. Beliau tidak kenal sesiapa sama ada ahli keluarga mahupun sahabat-sahabatnya. Untuk mengenali kawan-kawannya, Rina terpaksa membuka majalah sekolah dan kolejnya. Bukan itu saja, pembelajarannya di fakulti kejuruteraan menjadi lebih mencabar kerana beliau terpaksa menghafal semula sifir yang juga telah terdelete secara automatik dari ingatannya.


Kisah Rina bukan cerita rekaan. Ia kisah benar tentang begitu mudahnya untuk Allah mengambil semula segala ilmu dan kekuatan yang dikurniakan kepada hamba-Nya.







Saturday, April 26

Bahasa Melayu dalam Era Globalisasi I


Saya cintakan Bahasa Melayu namun saya bukanlah anti Bahasa Inggeris. Saya cintakan semua bahasa (dalam tingkat yang berbeza) yang ada di dunia kerana setiap satunya unik dan mengujakan. Setiap satunya mengingatkan kita akan kebesaran Allah Azza Wajalla. Setiap satunya memiliki nilai dan darjatnya yang tersendiri. Dan yang paling utama, setiap bahasa adalah pintu ilmu.

Dunia bergerak dari satu era ke satu era yang berbeza. Kurun ini kita menyaksikan peralihan dari era sains dan teknologi ke era ICT (informasi, komunikasi dan teknologi) dan kini era globalisasi, ilmu dan hikmah (knowledge & wisdom). Dalam peralihan era itu, bahasa menjadi medium utama perubahan. Bahasa yang hebat dan berguna akan terus bertahan dan berkembang. Sebaliknya, bahasa yang lemah akan tumbang, pupus dan akhirnya terus dilupakan.

Lalu timbul satu persoalan, di mana kedudukan Bahasa Melayu dalam kurun ini? Mampukah ia terus bertahan dan sejauhmanakah Bahasa Melayu berupaya menyumbangkan manfaat yang besar kepada dunia sejagat?


Friday, April 25

Mereka Sudah Pulang





Hari ini, seorang lagi jiran ibu kembali ke pangkuan Ilahi dalam usia yang relatifnya masih muda- 50 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu. Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.



Sebelum ini, kami dikhabarkan dengan kematian mengejut seorang teman yang meninggal dunia di dalam tidur. Malam sebelumnya, arwah baru sahaja membantu menggali liang untuk jenazah anak saudaranya yang meninggal dalam usia bayi. Ibu bapanya pengsan serta merta. Ibunya kemurungan sehingga membawa kepada kematiannya dua minggu lepas.



Kematian fitrah kehidupan. Setiap yang bernafas pasti merasai mati. Persoalannya, sejauh manakah kesediaan kita untuk mati dan menerima berita kematian insan yang kita sayangi? Ya, dunia ini pinjaman dan sampai masanya kita akan memulangkan semula apa yang kita pinjam samada dengan rela atau terpaksa. Mudah-mudahan, bila tiba masanya, kita memulangkan segala aset yang kita pinjam dengan hati yang bahagia.








Memilih Bakal Suami



Bercermat memilih bakal suami itu penting kerana perempuan bila dikahwinkan bererti ia diikat dengan ikatan yang kukuh (kerana kuasa talak tiada dengannya). Berlainan dengan lelaki, bila-bila masa sahaja ianya boleh melepaskan perempuan (isteri).

~ Imam al-Ghazali~

Thursday, April 24

Apa Ada Pada Pertanian?




Ketika kerajaan mengumumkan peralihan dari dasar perindustrian semata-mata kepada dasar pertanian, Ceri, Limau, Delima dan Cikulah antara warga tumbuh-tumbuhan yang melompat keriangan. Labu Air dan Labu Sayung memandang penuh kehairanan.


Labu Air: Ceri, kenapa suka sangat ni? Apa ada pada pertanian? Kampung sungguhlah kamu ni!


Ceri: Pertanian sangat penting untuk negara kita Cik Labu. Tanpa pertanian yang diurus dengan betul, kita akan kehilangan sumber asas kehidupan iaitu makanan.


Labu Sayung: Yala ceri... bila negara kita nak maju? Cuba tengok Kota Dedalu, tanpa pertanian pun boleh maju dengan pesat.


Ceri: Kota Dedalu maju kerana ada jiran yang baik hati dan naif macam kita dan Pekan Lama. Cuba kita sekat eksport makanan, air, tanah, pasir, minyak dan sumber asli ke Kota Dedalu, tak mustahil kota parasit itu bakal bangkrap dalam masa dua tahun.


Limau: Betul tu Ceri. Pertanian sangat penting. Cuba bayangkan, apa akan terjadi andai negara kita cuma dipenuhi oleh kilang elektronik, tekstil dan kenderaan bermotor. Tiba-tiba bekalan makanan dari negara jiran dan negara-negara Eropah disekat. Atau tiba-tiba berlaku peperangan, takkan kita nak makan mesin basuh, kain baju dan kereta yang ada di garaj rumah.


Ciku: Yalah Labu, kita bukan anai-anai. Anai-anaipun boleh makan kayu dan fabrik kapas, linen dan sutera saja. Tak pernahlah pula saya dengar anai-anai makan besi dan kaca. Nanti patah pula gigi mereka.



Wednesday, April 23

Damai Abadi


Bumi basah disimbah hujan. Ceri membuka tingkap keretanya luas-luas. Udara sejuk bertiup kencang- menyegarkan. Bacaan lunak Surah al-Fath Syekh Mahir, imam subuh Masjidil Haram menusuk ke tangkai hatinya- dalam. Benarlah pesan ibunya, sesungguhnya dengan mengingati Allah... hati-hati itu menjadi tenang dan tenteram.


Ramalan Bintang


Oleh Idris Musa dalam Harian Metro


KEKADANG hairan juga apabila umat Islam lebih percaya kepada tilikan bintang atau horoskop daripada qada dan qadar Allah.Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintang malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.


Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?


Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram. Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.


“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”


Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet. Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melihat jam.’ Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.


Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak.


Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.


“Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.


Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui,” katanya.


Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang.“Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.


“Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu. Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.


“Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.


Sepatutnya kita kena mempercayai kepada Allah, yang berkuasa atas segala-galanya, bukannya seperti ramalan bintang, hanya terikut-ikut dengan pengaruh orang Barat.


Kepercayaan kepada horoskop tidak lebih sekadar amalan orang Jahiliyah,” katanya.


Beliau berkata, orang Jahiliyah memang mempercayai benda karut seperti ini, sehingga menjadikan bintang dan matahari sebagai Tuhan sembahan mereka, membuatkan mereka berada dalam kesesatan.


“Orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan benda ini, walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah.“


Kelahiran manusia dan nasib baik atau buruk adalah ketentuan Allah.


“Teori horoskop itu adalah satu tilikan berdasarkan teori falsafah orang Barat dan mereka yang mempercayainya cuma dari sudut perasaan saja.


“Perasaan saja sudah boleh membuatkan orang yang mempercayai berasa ceria atau murung,” katanya

Tuesday, April 22

Bila Tugasan Datang Bergolek


Mabuk kerja? Adakalanya terdapat terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam satu masa. Usah terlalu cemas sehingga akhirnya semua kerja terbengkalai kerana terlalu panik. Realitinya, tanggungjawab sentiasa lebih banyak dari masa yang ada. Kebijaksanaan menyusun dan mengutamakan keutamaan adalah penting untuk membolehkan masa digunakan secara optimum.

Sebaiknya senaraikan tugasan-tugasan dan rutin harian yang perlu dilakukan samada yang sangat penting mahupun kurang penting. Kelompokkan tugasan kepada empat bahagian: penting & segera, penting tetapi kurang segera, kurang penting tetapi perlu segera, kurang penting tidak perlu segera. Oh ya, tambah lagi satu kategori: langsung tidak penting dan tidak bermanfaat seperti bergosip dan memfitnah orang lain di internet. Nilaikan keutamaan dan laksanakan tugasan mengikut keutamaan.

Jika tugasan boleh dilakukan secara berkumpulan, agihkan tugasan mengikut kesesuaian dan buat pemantauan. Berikan kepercayaan kepada individu lain meskipun anda seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan. Tugasan yang dilakukan secara berkumpulan lazimnya akan menghasilkan output yang lebih baik dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita boleh memanipulasi dan mempergunakan orang lain dengan sewenang-wenangnya.


Terdapat juga tugasan yang boleh dipecahkan dan hasilnya lebih mudah dilaksanakan. Contohnya menyiapkan kertas projek atau menulis buku setebal 200 ms. Pastinya mustahil dapat disiapkan dalam sehari. Bagaimanapun, ianya menjadi lebih mudah dan mengujakan apabila dipecahkan mengikut bab atau anda konsisten menulis 11 halaman sebagai contohnya setiap hari.


Dalam kesibukan itu, jangan lupa berikan masa untuk diri sendiri & keluarga atau individu yang signifikan dengan anda. Ya, walau sesibuk manapun, jangan lupa untuk tersenyum, mengambil pemakanan yang berkhasiat, beriadah, beristirehat, beribadah dan menyambung silaturahim. Kesemua itu penting supaya kehidupan kekal seimbang, ceria dan tidak terlalu tertekan disamping anda dapat menyempurnakan tugasan dengan efektif dan efisyen. Natijahnya, orang yang bijaksana sentiasa menguasai keadaan dan bukannya dikuasai oleh keadaan.


Monday, April 21

Tajdid Iman

Oleh Dr Juanda Jaya

UMAR al-Khattab adalah seorang pemimpin ulung dan khalifah ternama yang mencatat sejarah sebagai pemimpin utama umat manusia. Ketika menjadi khalifah, beliau berjumpa seorang peminta sedekah yang sudah tua dan lemah daripada bangsa Yahudi. Beliau terkejut kerana mendapati wujud di kalangan rakyat jelatanya peminta sedekah yang tidak berdaya. Beliau pun bertanya: "Mengapa orang tua ini meminta sedekah?" Lelaki itu menjawab: "Saya adalah pembayar jizyah, wahai Amirul Mukminin."


Mendengar keluhan Yahudi itu Umar terus memerintahkan pegawai kewangan Baitulmal: "Tidak patut sungguh! Pada waktu muda tenaga orang ini ditumpahkan untuk mencari nafkah hidupnya dan jizyah pula sentiasa dia bayar. Sekarang dia susah tua, maka mengapa kita biarkan dia meminta sedekah. Mulai sekarang hapuskan namanya daripada senarai orang yang dipungut jizyah, lalu pindahkan namanya ke dalam senarai orang fakir miskin yang berhak menerima zakat."


Adil, rahmat dan bertimbang rasa. Begitulah seharusnya gambaran Islam apabila menjadi dasar pada sebuah negara. Prof Yusuf al-Qaradawi dalam Al-Khasaisul Ammah Lil Islam, memberikan pandangan lebih luas mengenai ciri Islam yang merangkumi nilai utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, sejagat, sederhana dan gabungan transformasi serta ketetapan dalam seluruh ajarannya.


Nilai ketuhanan bermakna segala fahamannya tidak terlepas daripada bimbingan wahyu, sementara nilai kemanusiaan yang membawa ajaran mengakui dan membela hak asasi manusia sejagat. Adapun ciri yang ketiga ialah agama ini memiliki nilai sejagat iaitu mengatur segenap sistem hidup manusia secara lengkap bukan hanya aspek ibadah saja diutamakan, tetapi juga sistem politik, ekonomi, sosial, ilmu dan teknologi, kedaulatan negara dan kekuatan jihad diatur dengan sempurna.


Keempat ialah Islam bersikap sederhana, adil dan seimbang berlainan dengan fahaman dibuat manusia seperti fahaman sosialis yang menghapuskan hak setengah golongan daripada setengah yang lain ataupun fahaman kapitalis membebaskan golongan kuat memperhambakan yang lemah. Islam juga bercirikan transformasi dipadu kekuatan ketetapannya terhadap nilai wahyu. Islam menerima perubahan dan penggabungan nilai lama dan baru dengan syarat ia tidak merosak syariah yang suci kerana yang menciptanya adalah Allah Yang Maha Suci daripada kecacatan.


Islam yang cantik, ideologi sempurna, doktrin efektif, fahaman relevan. Tetapi sayang, ramai orang di luar Islam diberikan gambaran teruk mengenai agama ini, gerak kerja orientalis yang bersepadu berjaya menconteng arang ke wajah sejarah Islam. Ini ditambah dengan pengaruh media masa kini yang dikuasai kebencian terhadap Islam dan sumbangan besar serpihan kumpulan radikal menggunakan nama Islam sebagai alat untuk kepentingan peribadi dan golongan yang jelas bercanggah daripada sistem Islam yang suci berjaya mencorotkan kedudukan agama kita di mata dunia.


Jangan salahkan Islam, tetapi peribadi yang membawa nama Islam itu sebenarnya menjelekkan lagi wajah agama Allah ini. Islam tetap suci, tetapi perbuatan seorang Muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam.


Banyak sungguh yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi, akibat daripada kejahatan ini, maka orang komunis berpendapat agama itu candu bagi manusia. Sedangkan yang sekular benci mendengar sistem Islam cuba diterapkan dalam ekonomi, politik dan sebahagian aspek kehidupan. Mereka mahu memisahkan agama daripada kepentingan dunia.


Apakah kejahatan yang lebih dahsyat pada agama ini selain mengambilnya jika mendatangkan keuntungan dan membuangnya jika dilihat menjejaskan kepentingan hawa nafsu?


Keuntungan yang didapati daripada penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli perniagaan atau orang politik saja, tetapi juga pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya. Ada yang meminta bayaran untuk khidmat membaca al-Quran bagi arwah orang sudah meninggal. Jika begitu, bolehlah syurga itu dibeli untuk orang yang sudah mati, asalkan ada duit semuanya boleh diatur. Amalan yang langsung tiada sandaran daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW semakin subur.


Menambah cela pada wajah agama ini, semua itu kerana desakan kepentingan peribadi. Erti keikhlasan menjadi persoalan adakah memperguna agama boleh diterima sebagai usaha meninggikan kalimah Allah? Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


"Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukuman ke atasnya pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dihadapkan kepada Allah kemudian Allah mengingatkannya akan nikmat yang pernah dikurniakan ketika di dunia, maka dia pun mengingatinya, kemudian Allah bertanya: "Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku berikan kepadamu itu? Dia menjawab: Nikmat itu saya gunakan untuk berperang kerana membela agama-Mu sehingga aku mati syahid. Allah berfirman: Engkau bohong, sebenarnya engkau berperang dengan matlamat supaya engkau dipuji sebagai perwira dan sudah pun dikatakan orang begitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret wajahnya dan dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Jika orang yang syahid dipersoalkan matlamat jihadnya padahal dialah dipuji sebagai pahlawan dan seorang yang berani, bagaimana pula dengan orang dicela kerana terang-terangan merompak agama ini dan memperguna Islam demi kepentingan peribadi?


Namun demikian kita tidak menafikan masih ada yang memiliki setulus keikhlasan dalam memperjuangkan agama. Allah berfirman mengenai ciri umat yang bersih daripada segala kepentingan diri, bermaksud;


"Katakanlah: Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik."


Sifat paling menonjol dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi mungkar. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ubah dengan tangannya, Jika dia tidak kuasa, maka ubahlah dengan lidahnya. Barang siapa yang tidak kuasa dengan lidahnya hendaklah ubah dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)


Al-Imam Hasan Al-Basri berkata:


"Tidak sedikit orang yang mati syahid, tetapi bukan di medan perang melainkan di atas katilnya. Iaitu orang yang terus menerus bekerja keras melaksanakan kehendak Allah dan Rasul-Nya dengan menyampaikan dakwah, mempergunakan peluang, atau kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya. Sehingga tegaklah kalimah Allah."
Sumber:
Juanda Jaya, 2008. Tajdid Iman: Komplot pribadi rosak imej Islam, 21/04/2008, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20080420232233/Article

Friday, April 18

Jin, Syaitan, Hantu & ...


Di Kota Mekah, Kak Serai meminta Ceri bertemu dengan Ustaz Malinja. Katanya, manalah tahu ada jin menghuni dalam tubuh Si Ceri.


"Kak Serai selalu nampak Ceri ni macam khayal saja. Ada jin kot. Alang-alang Ustaz Malinja ada di sini, baik Ceri jumpa dia. Buang apa-apa yang patut".

Dalam nada gurauan Ceri membalas:


"Yalah kot Kak Serai, saya memang selalu berada di alam lain".

Ceri tertawa suka. Hobinya yang suka berfikir, merenung dan bertafakur selama berada di kota suci Mekah dan Madinah itu rupanya disalahtafsirkan oleh Kak Serai.

Malam itu, Kak Serai, Ustaz Malinja dan Ustaz Mahsuri datang ke bilik penginapan Ceri, Ciku dan Cempedak.

Teruja Ceri dibuatnya. Manalah tahu memang benar ada jin bersarang ditubuhnya dan tiba-tiba suaranya yang manis-manis buah dan merdu itu bertukar menjadi garau dalam sekelip mata. Atau tiba-tiba dia boleh bertutur dalam Bahasa Perancis, Turki atau Urdu dengan lancar seperti air terjun.

Ceri, Ciku dan Cempedak akhirnya disahkan bebas dari unsur-unsur jin oleh Ustaz Malinja. Setelah mereka semua pulang, Ciku dan Ceri berbalas pandang sambil tersenyum sesama sendiri.

Ciku: Eh .. Ceri! Awak percaya ke dengan jin?

Ceri: Jin memang wujud. Mereka itu antara spesies yang terkenal dalam al-Quran. Kufurlah kalau saya tak percaya akan kewujudannya.

Ciku: Syaitan?

Ceri: Mestilah percaya. Syaitan sebangsa dengan jin. Suku-sakat Iblis yang telah bersumpah untuk memperdayakan anak cucu Adam sampai kiamat.

Ciku: Hantu?

Ceri: Hantu apa? Hantu bungkus, hantu pocong, hantu penanggal, hantu laut, hantu susu...

Ciku: Ops! Cukup-cukup... seriau saya dibuatnya...

Ceri: Hantu... jembalang... saka... semua tu 'repackaging' atau 'penjenamaan semula' jin dan syaitan. Jangan risau. Mereka makhluk Allah juga. Tidak mampu memudaratkan kita melainkan dengan izin-Nya jua.

Ciku: Sekarang penerbit filem kita berlumba-lumba menayangkan filem-filem seram. Makin menyeramkan makin mendapat pujian.

Ceri: Hm... bahaya tu! Cukuplah dengan apa yang ada. Tak payahlah memberi idea tambahan kepada jin dan syaitan untuk menakutkan manusia atau buah-buahan macam kita.

Ciku: Itulah. Masalahnya, sekarang ini masyarakat buah-buahan kita lebih takutkan jin, syaitan dan yang sewaktu dengannya berbanding Allah.

Ceri: Bahaya tu! Kita mesti buat sesuatu...

Tentang Cinta

14 April 2008. Genap dua tahun permastautinan sahaya di Bandar Akademia yang kaya dengan bulatan serta pesat membangun ini. Semoga situasi bandar tercinta ini tidak menjejaki bandar Kajang dan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa sesak dan kaya dengan tol.


Masanya sudah hampir tiba untuk berhijrah. Masing-masing tertanya, saya mahu ke mana? Aha.. tunggu dan lihat. Jawapan tuntas akan diperoleh dua bulan lagi.




Malam Isnin kelmarin, usai majlis jamuan perpisahan pelajar tahun akhir, Dr. Gusni sempat menurunkan petuanya. Katanya, untuk berjaya kita mesti jatuh cinta. Ya, saya percaya, seperti saya juga, ramai orang mudah jatuh. Jatuh cinta dengan tesis, jatuh cinta dengan kerjaya, jatuh cinta dengan ilmu, jatuh cinta dengan empunya ilmu dan jatuh cinta dengan apa saja yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah Azza Wajalla.


Pesan Dr Gusni lagi, untuk berjaya dalam PhD terdapat empat perkara (saya sebutkan tiga sahaja) penting:




1. Mesti ada titik pertemuan tentang seluruh aspek kandungan tesis di antara pelajar dengan penyelia.




2. Kejar penyelia dan bukannya dikejar oleh penyelia.




3. Jatuh cinta dengan tesis kita.




Jadi, jangan takut jatuh cinta pada perkara yang sepatutnya. Ya... jatuh cinta yang bertempat dan bukan pada sebarang tempat. Cinta membahagiakan kita. Cinta menjadikan perjalanan hidup kita lebih indah, bercahaya dan mengasyikkan.

Thursday, April 17

Ya Taibah


Rindukan bumi Madinah al Munawarah? Mungkin video ini dapat mengubati kerinduan tuan.


Buah Pintar-Cerdas @ Genius


Ceri dan Limau bertemu lagi. Kali ini di bawah sepohon kurma dengan mayang yang mula berbunga lebat sambil menikmati kesegaran secawan teh suam-suam kuku.


Ceri : Ramai orang pintar tapi tak cukup bijak... (merenung ke langit cerah)


Limau: Ceri rasa, saya ni bijak tak? (berdoa Si Ceri akan mengiktiraf 'kebijakan'nya)


Ceri: Hm... kalau Cik Limau termasuk dalam kategori buah yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia untuk menghadapinya. Ya... pada saya, Cik Limau memang buah yang bijak. (senyum)


Limau: Kalau ingat tapi tak bersedia?

Ceri: Separa bijak (senyum)


Limau: Kalau langsung tak ingat? (nada mengusik)


Ceri: Wah! Itu masalah besar tu Cik Limau. Patutlah negeri Cik Limau banyak masalah. Kena mandi bunga tu... !

Saturday, April 12

Tragedi Sufiah



Tragedi yang berlaku kepada Sufiah bukanlah kisah luar biasa. Ia kisah lumrah yang dapat difahami dengan mudah. Ia boleh terjadi kepada sesiapa saja. Dan... seperti lazimnya, mencegah jauh lebih baik dari mengubat.






Sumber:

Wikipedia, 2008. Sufiah Yusof. Dilihat pada 10 April 2008. http://en.wikipedia.org/wiki/Sufiah_Yusof

Jane Kelly, 2008. The brightest family in Britain. Dilihat pada 10 April 2008. http://www.chinghai.org.tw/eng/news/98/h-1.htm

Friday, April 11

Pesan IV





Wahai insan beriman

tika kau marah pada si pulan

maafkanlah dia

kerna sering saja terjadi

saat doamu diperkenan

hatimu kan ikut terluka

melihat dia derita



Jauharat al Anfal, Makkatul Mukaramah

Thursday, April 10

Pengurusan Islam



Oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia

PENGURUSAN membabitkan proses pengumpulan dan penggemblengan sumber ekonomi termasuk manusia dan modal penting dalam mana-mana organisasi untuk mencapai matlamat yang sudah ditetapkan. Dalam pengurusan moden berasaskan pendekatan Barat, beberapa pendekatan pengurusan diperkenalkan dan konsep diperkenalkan F W Taylor pada 1909 digunakan secara meluas bertujuan meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Taylor berpendapat, untuk meningkatkan produktiviti hanya hal cara saintifik saja boleh digunakan di mana pekerja tidak perlu mencari jalan sendiri untuk menyelesaikan masalah kerja mereka sebaliknya akan dilatih untuk melaksanakan kerja yang ditetapkan oleh pengurusan. Pendekatan konsep pengurusan itu ada kecenderungan untuk menilai segala sesuatu dari segi keuntungan ekonomi. Penekanan adalah terhadap prestasi dan kecemerlangan yang diukur daripada keuntungan ekonomi berasaskan petunjuk kebendaan. Ada pakar pengurusan yang berpendapat konsep itu tidak sesuai dipraktikkan kerana ia melihat pekerja dalam perspektif negatif. Mengikut konsep pengurusan itu, pekerja harus diawasi dan hanya perlu buat apa disuruh tanpa perlu memberi sebarang pandangan kepada pengurusan.

Pakar itu berkata, Taylor tidak langsung ambil peduli mengenai perasaan pekerja walaupun pada hakikatnya, perasaan pekerja boleh mempengaruhi produktiviti kerja. Jika seseorang pengurus mengamalkan sepenuhnya model pengurusan Taylor, bentuk pengurusan menjadi kaku dan menjejaskan produktiviti kerja disebabkan pekerja rasa terkongkong. Beberapa pakar pengurusan Barat membuang istilah pengurus dan pengurusan serta menggantikannya dengan konsep pemimpin dan kepemimpinan. Andainya manusia sebagai tenaga kerja dalam organisasi tidak boleh diurus, dikerah, diarah atau diatur, mereka perlu dipimpin supaya dapat menyumbang dengan cukup berkesan dalam proses mewujudkan nilai tambah kepada sistem ekonomi. Pakar pengurusan menekankan kepemimpinan ialah semangat, menghendaki personaliti contoh dan wawasan ke hadapan. Pengurusan perlu tetapi ketua penting. Kepemimpinan dan pengurusan tidak sama. Kepemimpinan mengenai beri arahan, membina kumpulan dan menjadi penggerak kepada yang lain melalui teladan dan perbuatan.

Justeru, satu lagi model pengurusan moden sudah dibentuk ke arah mementingkan kesejahteraan pekerja. Pengurusan moden juga memberi penekanan kepada nilai sejagat atau pandangan meluas dalam mengutamakan nilai murni dianggap sebagai nilai positif. Jepun memperkenalkan pendekatan pengurusan seperti Just-In-Time, Quality Control Circles (QCC), dan Tota; Quality Management (TQM). Negara Barat memperkenalkan konsep Management by Objectives (MBO), Management By Walking Around (MBWA) dan Management By Walking Outside (MBWO).

Jepun, dalam pendekatan pengurusannya memberi penekanan kepada pengurusan pekerja dengan melihat sikap, ketaatan kepada organisasi, mementingkan kualiti, peningkatan teknologi dan kepuasan pelanggan. Ini bermakna pendekatan pengurusan Jepun dan Barat mementingkan pengamalan nilai murni.

Model pengurusan saintifik diperkenalkan Taylor dan model pengurusan yang mementingkan kesejahteraan pekerja mempunyai persamaan dengan konsep Pengurusan Islam. Konsep Pengurusan Islam merangkumkan kedua-dua pendekatan di mana pekerja harus mengikut hukum syarak yang ditetapkan Allah, dan sebaliknya manusia tidak perlu pengawalan rapi. Pekerja diamanahkan melaksanakan tugas masing-masing dan berdasarkan amanah itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang baik tanpa perlu diawasi atau dipaksa.

Sistem pengurusan Barat kini menekankan konsep nilai bersama sebagai asas untuk maju ke depan dalam organisasi. Tom Peters dalam bukunya In Search Of Excellence menekankan nilai bersama akan mengawal kemahiran, strategi, struktur, sistem dan gaya pengurusan. Di Jepun, pegangan Zen Buddhism menjadi teras syarikat seperti Matsushita kerana pengasasnya percaya moral dan agama memainkan peranan penting dalam organisasi.

Penekanan kepada sistem nilai dalam konsep pengurusan moden adalah sama dengan konsep Pengurusan Islam. Dalam konsep pengurusan moden, sistem nilai yang diterima oleh satu masyarakat berbeza dengan masyarakat lain. Sistem nilai diamalkan dalam pengurusan moden adalah sistem nilai yang boleh berubah mengikut keadaan semasa. Krisis nilai timbul dan bertapak dalam kehidupan manusia apabila kemahuan hawa nafsu dan pengaruh syaitan menjadi pegangan dan manusia tunduk kepada keduanya dalam membuat keputusan serta peri laku. Manusia sanggup melakukan perkara bercanggah dengan nilai sejagat, menyeleweng dan mengubah nilai diamalkan supaya dapat memenuhi kepentingan kebendaannya.

Sistem nilai Islam mengatasi masalah bertukarnya nilai sejagat sesuatu masyarakat. Ini membezakan konsep pengurusan moden dengan pengurusan dalam Islam yang bermula dengan hakikat setiap manusia melihat peranannya sebagai khalifah serta pemegang amanah di dunia. Perspektif tauhid memberikan ukuran sejagat dan memberikan takrif tepat mengenai sistem nilai yang harus diikuti setiap manusia. Pokoknya, ia berasaskan pada teras bahawa setiap manusia dilahirkan di dunia sebagai hamba Allah dan perlu sentiasa setia kepada Allah. Mereka perlu memainkan peranan penting sebagai khalifah dan pemegang amanah. Jawatan, ilmu, kemahiran dan segala keupayaan termasuk masa adalah amanah Allah kepada kita untuk digunakan dengan berkesan. Kita akan dihisab atas tindak tanduk di dunia apabila tiba hari akhirat nanti. Ini satu bentuk pengawalan yang menentukan kita tidak akan mengubah sistem nilai.

Dengan itu, pengurusan Islam tidak menghadapi perubahan nilai. Islam mengikat manusia dengan iman, ilmu dan amal. Islam menguasai manusia dengan hukum 'pahala-dosa'. Dalam Islam, tauhid menekankan kesetiaan kepada Allah dan Rasul SAW sebagai nilai utama yang mengatasi segala nilai lain diwujudkan dalam sistem organisasi. Ia memberikan implikasi bahawa setiap manusia berkhidmat untuk kebaikan manusia dengan matlamat mendapat keredaan Allah bukan untuk matlamat kebendaan. Sebagai pemegang amanah kepada Allah, manusia akan menggunakan segala ilmu, harta, kemahiran dan keseluruhan dirinya untuk kepentingan ummah. Kerja dan kegiatan adalah sebagai satu proses ibadah, motivasinya bukan ganjaran dunia tetapi pengharapan balasan di akhirat.
Berasaskan paradigma tauhid, kita dapat memupuk satu matlamat hidup yang jelas dapat dipraktikkan termasuk memainkan peranan sebagai pemimpin, pengurus dan usahawan. Kita menyedari kehidupan di dunia mempunyai tujuan lebih jauh dan tinggi daripada kesenangan di dunia untuk mencapai keredaan Allah.


Rujukan

YPeIM, 2008. Pengurusan Islam utama sifat amanah, dilihat pada 9 April 2008, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20080408232835/Article





Masjid Taqwa



Alang-alang membina masjid, biarlah ianya dibina atas dasar taqwa. Hari ini, ada orang membina masjid sekadar untuk bermegah. Hari ini, ada orang membina masjid sekadar untuk menempa nama dan kemasyhuran. Hari ini, ada orang membina masjid sekadar untuk dijadikan perhiasan. Hari ini juga, ada orang membina masjid untuk memecah-belahkan kesatuan. Benar, tanpa sedar adakalanya kita turut menyumbang kepada pembinaan masjid dhirar. Kita tidak memerlukan masjid yang besar dan gah namun senyap sunyi dari jemaah terutamanya di waktu Subuh dan Isyak. Binalah masjid untuk keperluan manusia dan bukannya untuk sekadar dihuni oleh para jin dan malaikat agar tidak berlaku pembaziran tetapi keberkatan.


Ya, alang-alang membina masjid, biarlah di bina atas dasar taqwa agar datanglah keberkatan yang melimpah ruah. Masjid taqwa jantung hati masyarakat. Di situ denyutan nadi masyarakat bermula. Tempat melimpahnya cahaya Ilahi. Cahaya berlapis cahaya. Melimpah-limpah dan akhirnya menerangi seluruh kehidupan masyarakat. Dan hanya jiwa yang bercahaya akan memancarkan cahaya yang sebenarnya.