Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, January 31

Mawar Langit


Al- Fatihah untuk Allahyarham Datuk Ishak Baharom


BEKAS Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rasmi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB), petang semalam, adalah seorang tokoh agama yang dihormati, bukan saja di Selangor, malah di seluruh negara. Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia. Ishak, adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, yang berasal dari Melaka. Beliau yang mempunyai lima adik beradik mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf yang berasal dari Manung, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.


Pada Julai 1994, Maznah meninggal dunia ketika berusia 50 tahun selepas berada dalam keadaan koma ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Beberapa tahun selepas kematian Maznah, Ishak berkahwin dengan seorang pegawai tadbir di Jabatan Pendidikan Selangor, Khalijah Abdullah, 48, dan mereka mengambil anak angkat, Nasim, yang kini berusia dua setengah tahun. Ishak bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 hingga 1941 dan pada 1945, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India. Beliau digantikan Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebagai mufti Selangor pada 1998 dan berkhidmat sehingga kini.

Sepanjang Ishak menjadi mufti selama 12 tahun, beliau terpaksa melalui pelbagai kontroversi. Antaranya ialah apabila beliau menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan tiga gadis Islam yang juga model sambilan, menyertai satu pertandingan ratu cantik pada 1997. Pendirian tegas beliau bukan saja menyebabkan ramai pihak terkejut, ada yang mempertikaikan tindakan Jais. Ia juga menimbulkan satu lagi kontroversi, apabila akhbar lidah rasmi Pas, Harakah, melaporkan Ishak menuduh iman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terpesong berikutan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes penangkapan tiga peserta terbabit. Lanjutan daripada laporan Harakah itu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tersinggung dengan kenyataan Ishak, namun isu berkenaan dianggap selesai selepas Ishak menjelaskan keadaan sebenar. Pun begitu, tidak lama kemudian, Ishak melahirkan rasa sedih dan kekesalannya kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang mempertahankan tindakan Jais menahan ketiga-tiga gadis itu. Kenyataan Ishak itu dikatakan dibuatnya ketika beliau menyampaikan satu ceramah di Masjid Az-Zubir Ibnu Al-Awwam di Cheras. Ketegasan Ishak dalam isu membabitkan akidah dan cara hidup umat Islam di Selangor memang sudah diketahui sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai mufti. Pada awal 1996, Ishak mengeluarkan kenyataan mengharamkan perbuatan merokok di kalangan umat Islam. Beliau yang juga Pengerusi Perunding Hukum Syarak Selangor ketika itu, memberi penjelasan bahawa ada bukti kukuh mengapa perbuatan merokok dianggap sebagai haram. Antara alasan yang diberikan ialah ia membahayakan kesihatan dan hakikat itu sudah diakui pakar kesihatan sendiri. Ishak juga pernah membuat kenyataan bahawa pinjaman yang dibuat penjaja dan peniaga kecil Melayu daripada along atau ceti haram menunjukkan mereka tidak mengambil berat soal halal haram hingga sanggup membuat pinjaman atau berurusan dengan mereka. Ishak menegaskan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana ia ada unsur riba yang hukumnya adalah dosa besar.
Sepanjang beliau menjadi mufti sehingga ke akhir hayatnya, Ishak menjadi penceramah dan pendakwah bebas walaupun beliau pernah diharamkan kerajaan Selangor, daripada menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu pada November 1998. Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada Februari 1999.
Secara peribadi, Ishak berpegang kepada prinsip jika kita berbuat baik kepada orang tanpa mengira kaum dan keturunan, Tuhan akan membalas perbuatan dengan balasan yang baik. Selain itu, Ishak percaya setiap individu tidak perlu berkira untuk membantu atau berkorban kepada individu lain asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama dan berada di jalan yang benar.
Biarpun Ishak sering berdepan dengan pelbagai kontroversi, dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang hayat beliau, Ishak tetap disayangi keluarga dan orang yang mengenalinya sehingga akhir hayat beliau. Ishak menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dirawat di HSB akibat pendarahan dalam otak selepas tidak sedarkan diri sejak pagi kelmarin, kira-kira 30 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tahun pada 1 Januari lalu.
PROFIL Ishak Baharom

Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.

Ishak adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, berasal dari Melaka.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf dan dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.

Ishak berkahwin dengan Khalijah Abdullah, 48, selepas kematian Maznah.
Sumber: Berita Harian

Wednesday, January 30

Cintai Ilmu



Cinta kepada ilmu adalah asas kepada penguasaan ilmu


**

Perintah Iqra' mengajak kita membaca, menyelidik dan menguasai ilmu dengan berpaksikan tauhid - kerana Allah. Kepandaian tanpa berpaksikan tauhid cenderung menjadikan manusia menyalahgunakan kepandaiannya untuk kepentingan diri sendiri dan menzalimi orang lain.



~Prof Dr. Zakaria Stapa~

* Wacana Hadhari Siri ke-3, Peneguhan & Penguasaan Ilmu: Dimensi Kritikal Islam Hadhari, Bilik Majlis, UKM



***



Ilmu tidak binasa sebelum ia senghaja dirahsiakan


**

Sarjana Muslim tidak boleh bersifat taqlid. Ilmu mesti bersandarkan dalil dan fakta yang jelas.


~Prof. Dr. Yusof Qardhawi~

Wacana Sinikal


Kita mungkin pernah berseorangan, namun kita tak pernah bersendirian... kerana malaikat bukan orang.


~Prof. Zakaria Stapa~
* Wacana Hadhari Siri ke-3, Peneguhan & Penguasaan Ilmu: Dimensi Kritikal Islam Hadhari, Bilik Majlis, UKM

Syair Iqbal


Oleh Allamah Muhammad Iqbal bin Nur Muhammad bin Rafi


Wahai Muslimah Kelumbungmu hijab yang memelihara kehormatan kami.

Suatu rahmat bagi kami, kekuatan agama kami, asas umat kami.

Bibir putera-puteri kami mereguk susu di dadamu,

Sejak mula belajar menyebut kalimah La ilaha illallah,

Cintamulah yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami,

Panahan kilat kami beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.

Wahai Muslimah Tinggi, tinggi, keinginan yang bergelut dengan dirimu!…

Teladan sempurna, Fatimah ‘Afifah itu,

Meskipun sekalian makhluk mentaati suruhannya,

Namun ia menenggelamkan iradatnya dalam keredaan suaminya yang salih.

Terdidik tabah dan rendah hati,

Sedang bibirnya mentilawah kitab suci,

Ia memutar kisaran gandum di rumahnya

Insaflah sentiasa akan tuladanmu, Fatimah

Agar dahanmu akan membuahkan Hussin yang baharu,

Taman sari kita berkembang mekar dengan zaman kencana.


***Syair ini diceduk dari laman Ibnu Ahmad Al-Kurauwi




Sunday, January 27

Telur di Hujung Tanduk


Barangsiapa yang takut kepada syubhat bererti dia telah menyelamatkan agama dan nama baiknya. Orang yang terjerat pada soal syubhat, ia bagaikan telur di hujung tanduk yang berkemungkinan besar jatuh pada yang haram.
~Yusof Qardhawi~

Ilmu dan Amal


Orang beramal tanpa ilmu seperti penelusur jalan tanpa jalan. Lebih banyak mendatangkan mafsadat dari masyalat. Kerana itu, carilah ilmu selagi tidak membahayakan ibadah. Tuntutlah ibadah selagi tidak membahayakan ilmu. Sebab, ada sementara kaum menuntut ibadah tetapi meninggalkan ilmu, sehingga mereka memerangi umat Muhamad dengan pedang. Sekiranya mereka berilmu, hal demikian tidak akan mereka lakukan

~Hasan Basri~

Saturday, January 26

Ikan di Laut, Asam di Darat...

Ikan di laut... asam di darat, dalam periuk bertemu jua.


Begitulah episod terakhir seekor ikan dan sekeping buah asam jawa. Setelah nyawa tercerai dari badan, akhirnya bertemulah ia di dalam periuk yang panas menggelegak. Meskipun peribahasa ini membawa maksud yang murni, namun sesekali apakata kita melihatnya dari sudut pandang yang berbeza.


Hidupan laut terutamanya ikan (kecuali ikan paus) istimewa sifatnya. Meskipun hidup puluhan tahun di dalam air masin, rasanya tetap tawar. Bagaimanapun, sejurus saja ia mati, sesudu kecil garam sudah cukup untuk menjadikannya masin. Ajaib, bukan?


Ikan lambang hati manusia. Hati yang hidup umpama seekor ikan yang sihat dan bebas berenang di laut luas - tidak sesekali dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang sentiasa melingkunginya. Jati dirinya tetap utuh meskipun sentiasa merantau dari satu benua ke benua yang lain.


Akhir kata, semoga hati kita sentiasa hidup agar kita tidak dipertemukan dalam periuk yang menggelegak panas itu. Sebaliknya, biarlah kita berhimpun dalam suasana ceria dan damai di taman Firdausi. Aaamiin..! :)


Wednesday, January 23

Perjuangan Pangkal Kejayaan




oleh Masuri S.N. (Martina)


Sejak dahulu turun temurun,

Berzaman-zaman berkurun2,

Sejarah menukilkan,

riwayat menyebutkan,

Perjuangan itu pangkal kejayaan.


Bukankah sesudah hujan lebat,

Segala tumboh2an segar sehat,

Bukankah satelah ayer bah melimpah,

Sekali pantai berubah!


Bila waktu menchapai hujong usaha,

Adakah hasil atau kechewa,

Maka berjuang hebat itulah penutup kata,

Pemutus akhir hina atau mulia.


Bukankah berjuang itu maha dahshat,

Hebat ngeri payah gelisah resah,

Tetapi berjuang juga 'kan jadi hebat,

Bagi Perwira yang berhati tabah.


Kerana itulah disa'at pembangunan ini,

Jiwa semangat kita mesti tahan uji,

Berjuang sajalah lambang kita kini,

Dalam menchapai cita2 suchi.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 4, Apr 1947

Tuesday, January 22

Spesies Yang Terancam

Jika ditanya, spesies apakah yang paling terancam di dunia.. jawapan saya adalah MANUSIA. Agaknya, kenapa ya?

Friday, January 18

Ummatan Wasatan

Tinggi ilmunya
Tajam fikirnya
Luhur imannya
Murni jiwanya
Indah akhlaknya
Santun bicaranya
Tertib tingkahnya

Strategik perancangannya
Efektif uslubnya
Efisyen perlaksanaannya
Unggul kepimpinannya
Cemerlang natijahnya

Wednesday, January 16

Segmen Kembara

"Celupkan jarimu ke laut luas. Setitis air yang mengalir dari hujung jarimu itulah kehidupan dunia. Selebihnya... yang tertinggal di laut luas itulah akhirat".

Ternyata, persinggahan manusia di dunia ini sebentar cuma. Namun, persinggahan inilah yang bakal menentukan kejayaan dalam segmen kembara pada fasa berikutnya: alam barzakh (alam kubur) dan alam akhirat. Yang pasti, detik kematian bukan bermakna kembara terakhir kehidupan lantaran nantinya sesudah itu setiap kita akan dibangkitkan dari pembaringan, dihakimi dengan telus dan adil di mahkamah mahsyar dan diberikan pembalasan yang setimpal berasaskan bukti-bukti sahih yang jauh lebih terperinci dari CCTV, bersifat zero defect (tiada sebarang ralat atau kecacatan) dan kebal rasuah.

Saturday, January 12

Jutawan Budiman




Tokoh Maal Hijrah 1429


Penganugerahan Tan Sri Syed Mokhtar A-Bukhary sebagai tokoh Maal Hijrah adalah saat keemasan yang dinanti-nantikan. Inilah rupa bentuk hartawan yang kita mahukan. Hartawan berjiwa taqwa yang menyumbang kepada pemantapan ekonomi negara dan kesejahteraan ummah. Inilah jua sebahagian daripada acuan yang kita inginkan daripada generasi muda negara - tekun, istiqamah dan penuh iltizam.


Pengangguran


Umum melihat isu pengangguran sebagai satu aspek yang negatif. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada 20,000 graduan yang dilabelkan sebagai menganggur dan 'gagal' mendapatkan pekerjaan. Persoalannya, benarkah mereka benar-benar 'menganggur' atau tidak melakukan sebarang pekerjaan? Atau dalam bahasa yang lebih mudah, rutin hariannya cuma makan, tidur dan melepak?


Senario 'pengangguran' ini juga malahan mengakibatkan segelintir masyarakat memandang rendah terhadap keperluan pendidikan tinggi dengan dialog tipikal seperti ini :


" Buat apa belajar tinggi-tinggi. Menghabiskan duit dan akhirnya menganggur".





Jutawan Muda

Setiap perkara mengandung hikmah tersendiri bagi manusia yang sentiasa optimis dan berbaik sangka kepada Allah. Kesempatan dari limpahan sumber tenaga manusia pintar di dalam negara sewajarnya digunakan sepenuhnya untuk melahirkan jutawan muda dan melonjakkan kemajuan negara secara bersepadu. Program-program keushawanan dan slogan 'pertanian adalah perniagaan' sedikit sebanyak berjaya membuka minda masyarakat untuk menjadikan keusahawanan sebagai budaya dan melihat pertanian sebagai sektor yang sangat bermanfaat dan menguntungkan. Yang pasti, minda muda masakini perlu diubah daripada sekadar memburu peluang kerjaya kepada mencipta peluang kerjaya untuk diri sendiri dan orang lain. Peluang untuk menjana pendapatan lumayan terbuka luas dalam apa jua sektor terutamanya dalam bidang pertanian, industri hiburan dan perfileman, latihan dan pendidikan, sastera, kesenian, sukan dan pelancongan.


Jutawan Pintar

Hari ini, deretan nama jutawan muda mula muncul satu persatu. Muda, kaya dan terkenal - pastinya mereka ini menjadi idola kepada generasi muda. Apapun, menjadi jutawan di usia muda turut mengundang cabaran yang tersendiri. Justeru, untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi 'ujian-ujian khas' ini, generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang bersepadu dan keimanan yang kental dan tahan diuji. Dalam erti kata lain, 'muda, kaya dan terkenal' masih belum memadai tanpa ' ketaqwaan dan kebijaksanaan ' dalam memacu kehidupan.




Tuesday, January 1

Kementerian Pembangunan Lelaki dan Bandar

Hari ini kita punya kementerian khas untuk wanita dan pembangunan luar bandar. Khas untuk membela dan membangunkan wanita yang sering diberikan stigma sebagai kaum yang lemah dan masyarakat luar bandar yang sering disinonimkan dengan perkataan miskin, kolot dan mundur. Persoalannya, adakah kaum lelaki benar-benar kuat dan apakah masyarakat bandar benar-benar maju dan hebat?

Senario
Bilangan siswi mengatasi siswa di Institusi Pengajian Tinggi bukanlah suatu perkara yang asing lagi. Jika dahulu nisbah siswa kepada siswi adalah 7:1 kini angka tersebut sudah terbalik kepada 1: 7. Malahan dalam sesetengah universiti dan jurusan tertentu, nisbahnya lebih dari itu.
Dalam badan-badan kerajaan dan korporat, sebahagian wanita kini berada dalam hirarki tertinggi dalam organisasi. UM, UKM dan yang terbaru UPSI kini diterajui oleh wanita. Bank Negara Malaysia, sebuah organisasi yang gah dan disegani juga diterajui oleh wanita. Itupun kita belum lagi menyemak kepimpinan di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang rata-ratanya semakin dimonopoli oleh wanita.

Ke Mana Belia Lelaki?

Senario di atas bukanlah suatu yang menghairankan. Namun, dalam kita berbangga dengan kredibiliti wanita hari ini, ianya mengajak kita berfikir untuk mengembalikan semula darjat lelaki ke tempat yang selayaknya. Ketidakseimbangan ini perlu segera diperbetulkan. Populasi lelaki berbanding wanita adalah lebih tinggi. Justeru, secara logiknya tidak sepatutnya senario ini timbul apabila peluang sama rata diberikan.


Ke mana menghilangnya belia lelaki kita. Soalan ini ringkas dan mudah dijawab namun jawapannya sering saja membuat hati sedih dan tersayat. Daripada 27 buah Pusat Serenti di Malaysia, 26 daripadanya dipenuhi oleh kaum lelaki. Itupun belum ditambah dengan pusat pemulihan dadah yang dimiliki oleh individu perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Sehingga Mei 2002, Menteri Dalam Negeri telah meluluskan pendaftaran dan penubuhan 187 buah pusat pemulihan persendirian (PPP) bagi rawatan dan pemulihan penagih dadah iaitu terdiri dari 121 buah klinik swasta dan 66 buah dikendalikan oleh pihak swasta, orang perseorangan, badan bukan Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukarela sebagai alternatif kepada rawatan dan pemulihan yang disediakan oleh Kerajaan (Agensi Dadah Kebangsaan, 2007).

Lelaki.. Satu Tanggungjawab

Menjadi lelaki bermakna memikul tanggungjawab yang berat. Justeru, persediaan mental, fizikal dan spritual yang kukuh diperlukan. Fitrahnya lelaki adalah sebagai pelindung dan pemimpin bagi wanita. Namun, bagaimana kaum lelaki mampu melaksanakan amanah ini dengan tubuh dan pemikiran yang telah diracuni oleh dadah, rokok, arak, pornografi dan perilaku songsang yang tidak bertamadun?